Dapat berada di dalam bulan Ramadhan, adalah satu nikmat yang cukup besar bagi mereka yang benar-benar menghayati segala janji-janji dan kelebihan-kelebihan yang pernah dinyatakan di dalam al-quran mahupun hadis. Alhamdulillah kerana Allah masih memilih kita untuk menjadi tetamu Ramadhan, yang pada bulan ini, diberitakan pelbagai ganjaran yang menarik dan berlipat kali ganda.
Namun harus kita sama-sama renungi. Jujur dengan diri sendiri buat seketika. Sejauhmanakah kesan-kesan Ramadhan yang sebelum ini telah mengubah diri kita? Sejauhmanakah penghayatan kita terhadap bulan barakah ini, terkesan kepada hati kita? Adakah suatu perasaan yang berbeza disaat kita sudah menempuhinya?
Dalam menasihati dan menginsafi diri sendiri, kita harus jujur tanpa sebarang kompromi. Jika mahu dibuka persoalan lain untuk bertanyakan keberkesanan Ramadhan sebelum ini, tentulah bosan untuk kita jawab satu persatu.
Mengelola detik-detik hari yang dilalui sepanjang Ramadhan pada tahun ini, ketika ini. Apa kita benar-benar berusaha untuk mempertingkatkan amal ibadah kita. Ketika saya menulis coretan ini, kita berada pada Ramadhan yang ke-15. Sudah separuh dari bulan Ramadhan.
Mengaitkan bulan ini dengan tarbiyah, adalah satu perkara yang sungguh sinonim. Dari kecil lagi kita telah dididik untuk berusaha mempertingkatkan amal ibadah di bulan ini. Mana tidaknya, kalau ditanya, semua orang boleh mengemukakan satu-persatu kelebihan-kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan. Paling tidak, semua orang boleh menjawab, setiap amalan digandakan ganjarannya.
Alhamdulillah. Sewajarnya untuk kita mengetahui perkara tersebut sebagai ramuan untuk kita beramal dengan ilmu yang benar.
Sayang sekali, andai peluang yang Allah berikan kepada kita, kita persiakan dengan perkara yang tiada manfaat apatah lagi seakan menjalani hari-hari biasa di bulan-bulan lain. Ketika inilah kita hendak mengejar solat secara berjemaah. Solat sunat Terawikh yang hanya ada di bulan Ramadhan. Zakat fitrah dan sebagainya.
Marilah sama-sama kita menghidupkan Ramadhan kali ini, dengan usaha-usaha murni untuk mendidik diri masing-masing untuk lebih dekat kepada Allah. Ketika syaitan dibelenggu, jangan pula nafsu yang merantai kita.
Tanamkan dalam diri, "Aku ingin jadikan Ramadhan kali ini, Ramadhan terbaik yang pernah aku lakukan.". Dan yang paling penting, kita dapat membina kelainan dalam diri kita, selepas mengakhiri bulan tarbiyah ini. Insyaallah. Sama-sama kita menasihati, agar hidup kita diberkati.