­

Disebalik Cermin

12:50 PG

Rendah diri itu suatu nilai yang berharga


   Subuh baru sahaja berlalu.Terkadang,hati gagah untuk mengisi kelompangan dengan membaca ayat-ayat suci Al-quran.Begitu juga terkadang,jika terlalu longlai badan dibuai ngantuk,lena yang menjadi ganti.Inilah kelemahan yang harus sama-sama kita perbaiki hari demi hari.

   Bila kehidupan harian baru sahaja hendak bermula,kita akan persiapkan diri dengan sebaiknya.Ianya bukan sekadar rutin harian yang menjadi amalan,namun merupakan suatu tuntutan agar badan kita berasa segar untuk memulakan hari-hari baru dalam kehidupan.Bermula dengan mandi,sedikit makan dan minum,membetulkan sendi-sendi yang lama diulik mimpi,kita mula membina kekuatan untuk membuka langkah baru.Boleh jadi kita hendak ke kelas,atau mencari rezeki.

   Dalam melihat kebersediaan diri itu,cermin pastinya menjadi teman yang baik untuk menilai.Menilik wajah ciptaan Allah.Mengukir senyuman demi satu kekuatan.Senyum itu juga dapat menjernihkan hati yang suram,disamping satu senaman yang baik untuk urat-urat di bahagian wajah.

   Disebalik cermin itu,ada sesuatu yang harus kita ambil kira.Ya,disebalik cermin.

   Disaat kita memerhatikan satu wajah yang terpampang di kaca cermin,kita lupa banyak perkara yang ada disebaliknya.Bukan disebalik fizikal cermin tersebut,tetapi disebalik wajah yang terpantul dalam cermin itu.

   Ianya adalah syukur.Bercakap mengenai syukur,sesuatu yang pastinya tidak bernoktah.Bersyukur atas kurniaan nikmat yang Allah berikan kepada kita.Tapi untuk kali ini,kita bincangkan erti syukur disebalik cermin itu sahaja.

   Di dalam cermin yang memantulkan objek dihadapannya itu,punya suatu kesyukuran yang sangat besar untuk kita fikirkan disaat kita melihat ke dalamnya.Itulah satu peluang dari Allah s.w.t.

1.Bersyukur dengan peluang yang diberikan

   Andai kita mampu lagi melihat wajah di dalam cermin itu,iaitu diri sendiri,maka itulah satu peluang kepada kita untuk meneruskan kehidupan di dunia ini.Meneruskan kehidupan itu punya makna yang penuh dengan cabang-cabangnya,tetapi perkara yang pasti adalah,peluang untuk terus hidup itu adalah untuk memperbaiki segala kelemahan dan mempertingkatkan amalan demi kehidupan di dunia,apatah lagi di akhirat yang kekal abadi.

   Ketika menulis artikel ini,saya teringatkan sebuah cerita hantu yang sering berlegar tatkala diri masih kecil,tetapi turut terbawa-bawa sehingga menulis artikel ini kembali.Cerita dimana orang yang telah mati iaitu menjadi roh,tidak mampu melihat dirinya di dalam cermin.Kononya kan.

   Jadi kita yang masih mampu melihat diri kita di dalam cermin itu,bermakna kita masih punya peluang untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada dalam diri kita.Bukan segala kekurangan,tetapi ikhtiar kita untuk membetulkan kekurangan yang ada.Sungguh,Allah melihat mujahadah kita untuk membaiki diri,bukan kesempurnaan yang telah kita kecapi.Kerana di dalam dunia ini tiada yang sempurna.

2.Bersyukur dengan nikmat yang ada pada diri kita

   Kita melihat diri kita.Kita mampu melihat itu juga satu nikmat.Mampu mengukirkan senyuman.Itu juga satu nikmat.Hidung yang walaupun tidak begitu mancung,melaluinya masih boleh bernafas dengan elok,juga satu nikmat.Pelbagai macam nikmat yang elok tersusun di kepala kita.Namun kita yang sering lupa.

   Kerana itu saya tiba-tiba terdetik untuk membincangkan hal ini.Agarnya kita akan sama-sama mencuba sedaya mampu untuk mempertingkatkan daya kesedaran untuk bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah ini.Kita lupa,kerana itu nikmat ini tidak terasa nilainya.Bukankah begitu sahabat?Astaghfirullah...

3.Bersyukur dengan persekitaran

   Kita yang berada di dalam negara yang masih berada dalam zon selesa dari kekejaman fizikal,inilah suatu kesyukuran yang harus kita pertimbangkan.Walaupun hakikatnya negara kita sering terjajah dengan ideologi-ideologi Barat,secara fizikalnya kita masih selesa dalam suasana tanpa kehancuran sepertimana negara-negara Islam yang lain yang terus dikecam ganas.

   Peluang untuk kita melihat persekitaran yang tiada kerosakan ini harus kita hargai dengan merenungi nasib-nasib saudara seislam kita yang berada di luar sana.Mereka yang dahagakan kedamaian.Mereka yang dahagakan kemerdekaan.Peluang dalam suasana seperti ini harus kita pelihara dari ancaman-ancaman luar yang datang dalam masyarakat kita.

   Makanya kita harus menjaga diri kita sebaiknya.Menjaga diri dengan baik,dengan menunjukkan contoh yang terbaik.Jangan hanya kerana ingin mendapat perhatian daripada orang lain,kita mengetepikan fitrah yang ada dalam diri kita sendiri.

Kita yang sering terlupa

   Dengan kelemahan yang ada pada diri saya,mungkin ini sahaja yang saya dapat kongsikan.Namun pada hakikat yang sebenarnya,banyak lagi nikmat yang tidak terhitung banyaknya disaat kita melihat diri kita di dalam cermin.Disebalik cermin yang harus kita sama-sama syukuri.Insyaallah.

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments