Terus Bangkit
12:36 PG
Baru kelmarin peristiwa itu berlaku.Broga Semenyih,menjadi saksi.Kami berkumpul di awal pagi.Sebelum sinar mentari menyelak langsir malam di tirai langit.
Sungguh mencabar pastinya bagi diri saya.Mungkin tidak bagi sesetengah orang yang sudah menjadi kebiasaan,apatah lagi menjadi hobinya ketika hujung minggu.Saya fikir,ketinggiannya lebih kurang dengan Bukit Keluang di daerah saya di Besut negeri Terengganu.Rupanya ada jauh bezanya.
Sekadar ingin berkongsi bagi yang sudi menatap tulisan ini.Seperti biasa.Perkara asas dalam kehidupan iaitu saling berkongsi dan yang menjadi sebaik-baik perkongsian adalah berkongsi dalam menasihati.
Saya mungkin boleh dikategorikan sebagai seorang lelaki yang biasa-biasa sahaja.Tidaklah begitu gagah perkasa sehingga mendaki bukit dianggap senaman ringan sahaja.Namun,ada sesuatu yang saya kukuhkan di dalam benak fikiran ketika langkah terus dibuka dalam mendaki bukit Semenyeh itu.
Mungkin tidak salah andai kata saya mengemukakan perkongsian yang berbau peribadi sedikit.Mengenai sejauh mana kita ingin terus membina alasan,sedangkan perkara itu melemahkan kita.
Kita mungkin tidak kuat.Tapi apa kita betul-betul lemah.Ayat sama sahaja dari segi masksud sebenarnya.Cuma pembawaannya sahaja yang lain.
Tidakkah sahabat sekalian fikir.Kehidupan yang kita lalui ini penuh dengan pancarobanya yang tersendiri.Lain orang,lain yang dihadapi.Selagi perkara itu menguji kekuatan dan keharmonian hidup kita.
Lalu,apa yang cuba saya kaitkan di sini adalah mengenai pengalaman saya mendaki bukit tersebut.Penat sememangnya penat.Peluh,lenguh,mengaduh,bercampur baur silih berganti.Penat apatah lagi.Itulah kehidupan.Namun,bagaimana saya bisa sampai ke puncak dengan mengahadapi banyak perkara yang boleh membuka alasan kepada saya untuk tidak meneruskan pendakian?
Ianya kerana saya hanya memandang puncak impian.Itulah perkara yang terus berlegar di dalam benak fikiran saya.Jujurnya,saya tidak banyak bercakap dengan kawan-kawan yang lain semasa pendakian.Rasa lenguh dan penat seakan diuli dalam satu mangkuk bernama 'keluhan'.Namun keinginan sampai ke puncak,menjadi taruhan yang sungguh menguatkan.
Melihat mereka-mereka yang berehat di tepi,saya juga terfikir,andai baiknya berehat seketika.Tetapi itu hanya memakan masa untuk kami sampai ke puncak.Lalu kami teruskan,walaupun perlahan.
Setelah berada di puncak,subhanallah,tidak tergambar indahnya permandangan ini.Hilang segala penat yang pernah membahang diri.Sempat juga saya tertidur sebentar sementara ikhwah yang lain rancak bersembang.
Takjub dengan maha agung Allah s.w.t. dalam menciptakan kejadian langit dan bumi.Sementara berada di puncak,saya dapat memerhatikan manik-manik cahaya lampu ciptaan manusia yang seakan gugusan bintang di hamparan bumi.Sungguh indah permandangan bukit bukau yang indah warnanya diselaputi kabus-kabus pagi.
Percayalah,indah sekali permandangannyaa.
Itulah yang apa yang ingin saya impikan ketika awal permulaan pendakian.Saya ingin melihat sesuatu yang indah,walaupun ketika itu hanya berbekalkan imaginasi saya sendiri.
Maka tidakkah kita ingin kehidupan yang indah di akhirat nanti?Cukuplah Al-Quran dan hadis sebagai panduan untuk kita mencapai keredhaan Ilahi,demi kebahagiaan hakiki di syurga nanti.
Marilah kita bersama-sama membawa perubahan dalam kehidupan kita.Bina jambatan yang terus mendekatkan kita kepada Allah s.w.t.Bertaubatlah selagi peluang yang ada pada kita.Beribadahlah selagi kudrat bersama kita.
Astaghfirullah...
0 comments