Hati Yang Terjajah

1:09 PG



   Seringkali kita mempelajari sejarah,tentang saat-saat kejatuhan sesebuah empayar ataupun penguasa sesebuah negara.Sejarah yang memaparkan tragedi-tragedi yang menjadi punca,yang menjadi sebab,yang menjadi faktor,keruntuhan sebuah kuasa besar.

   Negara kita sendiri adalah contoh yang paling hampir dengan kita.Bagaimana tanah air yang bergelar Tanah Melayu,menjadi rebutan para penjajah yang berfikiran kolot untuk merakus kelebihan pada tanah orang lain,demi memuaskan nafsu semata.Kerana kepentingan mereka,mereka menjajah.Tanpa memikirkan pedihnya mereka yang terjajah.Bukan dilayan baik,bahkan diperhambakan tuan,di bumi sendiri.

   Namun,dalam sebalik kejatuhan yang kita lihat.Pastinya ada kesedaran yang menjadi penguat.Kesedaran inginkan kebebasan.Kesedaran untuk menjadi pejuang.Walaupun nyawa yang akan dipertaruhkan.

   Kenapa wujudnya golongan ini?Golongan yang inginkan kemerdekaan.Golongan yang sanggup bermati-matian demi mendapatkan kembali kemerdekaan?Kenapa mereka wujud.

   Jawapannya sudah hadir di balik ayat persoalan itu tadi.

   Kerana kesedaran!

   Kesedaran akan peritnya sebuah penjajahan.Kesedaran akan pahitnya diperhambakan.Kesedaran akan hancurnya sebuah kebahagiaan yang diimpikan.

   Mana tidaknya.Anak isteri,berbanting tulang.Demi kepuasan tetamu yang tak diundang.Diri sendiri diperhambakan.Seperti berada di bumi orang.

   Itulah hakikat,peritnya sebuah penjajahan.Bukan suatu perkara yang diundang.Tetapi kerana tidak rapi sebuah benteng pertahanan.Pastinya yang lemah akan ditindas tanpa belas kasihan.

   Bagaimana pula dengan hati?

   Tajuk yang tertera,besar berdiri di atas susunan isi.Hati yang terjajah?Apakah sama dengan huraian yang berjelar-jelar sebentar tadi?

   Tidak.Tidak sama sekali.

   Hati yang terjajah,adalah hati yang menyimpang dari fitrah.Kerana jajahan ini bukan jajahan kekerasan,melainkan jajahan yang mengasyikkan.Sedangkan fitrah kejadian dirobek nafsu,dek kepuasan,kesucian dipertaruhkan.Akhirnya diri,diperhambakan kelalaian.

   Makanya perkataan kesedaran tadi yang menjadi pengubah konflik sebuah penceritaan.

   Begitu juga dengan hati kita.Apa hati kita pernah terjajah?Berdasarkan kata hati diri sendiri.Bukan saya yang menjadi pentafsir kehidupan saudara dan saudari.Tetapi saya cuma ingin menyedarkan diri kita bersama-sama.Tidak lain dan tidak bukan,melainkan kerana cintakan saudara.

   Jujurlah dengan kesucian hati.Apa ia telah dicemari?Kekesalan itu,adalah ayat yang pertama sebuah perubahan.Tetapi kata putus asa itu,pastikan tiada dalam kamus kehidupan kita.Kerana ianya hanya akan melemahkan.Buat apa disimpan.

   Sebaliknya,berpeganglah kepada erti kata harapan.Agar ianya menjadi semangat untuk terus kembali ke pangkal jalan.Begitu juga dengan diri saya.Kita sebenarnya,sama-sama mengharapkan sebuah kebahagiaan.Tetapi konflik yang hadir,sering menjadi halangan.

   Apa kita mahu terus menerus menyalahkan keadaan?Sedangkan kita sering mendengari dari ayat suci Al-Quran,Bahawa Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum,melainkan mereka mengubah dirinya sendiri.

   Perubahan itu hanya akan hadir,jika kita memiliki ilmu mengenainya.Ilmu yang menjadi cahaya,atas dasar apa kehidupan kita sering tergendala.Bagaikan awan gelap,yang sering berada di atas kepala.Tepislah ia.

   Sudah tiba kita menyaksikan pelangi disebaliknya.

   Bangkitlah demi kemerdekaan hati.Ubatlah dengan saling memperingati.Agarnya yang silam,bisa diinsafi,peluang yang ada,disyukuri,panjang usia,tekad memperbaiki diri.

   Jangan sampai,hati terjajah lagi.Andai rebah sekali lagi,bagkitlah demi maruah diri.

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments