Pengajaran Dari Deretan Langkah

11:44 PTG


   Adakah ianya sekadar berjalan-jalan kosong?Atau saya akan punya manfaat daripada langkah-langkah ini?Monolog hati keseorangan.Tengahari yang bersaksikan waktu Zuhur baru sahaja bermula,menjadi cerita bermulanya satu persiapan yang akan dilaksanakan.Seusai solat zuhur mengabdikan diri kepada yang mencipta sekalian alam,ada perancangan yang sudah di atur bersama kawan.Mungkin bukan untuk diri sendiri.Tetapi sekadar meneman seorang teman yang pinta sedikit pertolongan.Barangkali bukanlah terlalu penting,tetapi dengan adanya seorang peneman,perjalanan menjadi sedikit senang.

   Biarkanlah.Saya sedia meluangkan sedikit masa untuknya.Sekali-sekala,kita perlu memenuhi tuntutan kawan yang memerlukan sekelumit bantuan.Lagi pula,diri sendiri seakan punya keinginan untuk membantu dengan daya yang ada,disamping meronda menghilangkan kongkongan perasaan di dada.Kongkongan yang biasa-biasa sahaja,cuma sekadar mencerna minda dengan sedikit suasana.Mungkin bakal menjadi ilham dalam apa-apa penulisan di lain ketika.

   Tiba di stesen KTM,saya mendapati pelbagai ragam manusia yang sedang menanti keretapi tersebut untuk mengangkut mereka ke destinasi yang ingin dituju.Pelbagai ragam.Mungkin terkadang harus menjadi sekilas pandang untuk menjaga mata.Terutama sekali bagi gadis-gadis yang merelakan aurat mereka diperhatikan oleh orang disekelilingnya.Apakan daya,mungkin dia sudah terbiasa.Apa yang mampu,kita doakan sahaja yang terbaik untuk mereka.Siapa tahu,kerana doa yang secara tidak sengaja itu diaminkan para malaikat,terus naik ke langit tanpa hijab,sehinggakan Allah,memakbulkan apa yang ingin kita hajatkan.

   Berdiri adalah suatu senaman.Hanya itu yang harus difikirkan tatkala kerusi-kerusi yang tersedia,sudah lama dilabuh oleh tubuh-tubuh mereka yang datang awal.Ruang untuk duduk kepada diri sendiri,mungkin ada,tetapi untuk menghimpit-himpit antara satu sama lain,mungkin sedikit kurang selesa.Makanya difikirkan,berdiri juga satu senaman.Sambil sekali sekala,menukarkan antara kaki kiri dengan kaki kanan sebagai tongkat menampu tubuh.Silih berganti kiri dan kanan.

   Bersabar pula,sebahagian daripada iman.Kali ini perkara itu pula yang harus difikirkan.Kata orang yang punya jiwa,penantian itu suatu yang menyakitkan.Benarkah?Barangkali sudah terbiasa,dan itulah suatu komitmen yang harus difikirkan jika ingin menunggang kenderaan awam ke mana-mana destinasi yang ingin dituju.Tunggulah dengan sabar.

   Cuaca mungkin sedikit membahang.Dada langit seakan mendabik dengan begitu bangga dek sinar mentari yang mencengkam terik pada tubuh manusia.Biarkan.Itulah kitaran alam.

   Sambil menanti,saya memerhati.Sekeliling tempat saya berada.Dalam sembang bersama kawan,mata turut berceloteh dengan suasana.Melihat gerabak-gerabak besi landasan keretapi yang begitu pekat disalut karat,terfikirkan keadaan hati yang semakin melarat.Karat hati lebih membahayakan dalam diri manusia.Karat yang mungkin tidak mampu dilihat.Namun sedikit sebanyak akan mempengaruhi akhlak.Besi itu sudah terlalu lama tentunya berjasa.Sehingga rela mengorbankan diri dimamah karat yang membelunggu diri bersama usia.Begitu juga dengan hati kita.Selagi dia terus terleka dengan kehendak yang berlandaskan nafsu semata,karat yang merantai jiwa,pastinya mengalih fokus dari mentaati yang Esa.Apa yang mampu mengembalikan kejernihan hati,hanyalah taubat yang terus dilakukan demi sebuah keinsafan kepada diri sendiri.

   Lantai,tiang,pokok-pokok yang tumbuh elok di luar pagar,habis ditatap satu persatu dalam penantian itu.Terus kaki membuka langkah merapati sesuatu yang menarik kehendak hati untuk diperhati dengan lebih dekat.Dalam langkah itu,sendi-sendi yang sudah lenguh berdiri direnggang kuat.Sedikit kegemertakan tulang belulang di dalam otot kedengaran.Merapati apa yang ingin dilihat.Peta.

   Pada peta itu ada simbol-simbol yang menjadi penunjuk kepada mereka yang merantau.Pentingnya untuk mereka membuat analisa sebelum meneruskan perjalanan.Dalam peta itu dapat dilihat secara kasar,"Anda berada di sini." sebagai penunjuk destinasi pemerhati peta itu sendiri di mana.Berselerakan jalan-jalan yang seakan benang-benang tebal di atas sebuah hamparan.Peta yang merupakan suatu penunjuk arah,untuk sampai ke destinasi bagi mereka yang belum terbiasa dengan tempat yang ingin dituju.

   Kehidupan juga begitu.Petunjuknya adalah Al-Quran dan As-Sunnah.Dua perkara penting yang akan membawa seseorang menjalani kehidupan dengan aman dan bahagia.Jika teruji,mereka bersabar.Jika limpahan nikmat diberi,mereka bersyukur.Dua situasi yang berbeza,tetapi tetap membawa hubungan erat kepada pencipta.Sungguh,itulah orang yang beruntung.

   Langkah ini.Jika hanya berjalan kerana suatu keperluan peribadi,maka keperluan peribadi sahaja yang mungkin dipenuhi.Namun jika peluang yang terselang dek menunggu ketibaan keretapi atau renggangan masa untuk sampai ke destinasi,jika dimanfaatkan untuk menginsafi diri dalam secebis saat yang berbaki,insyaallah,dapat melemahkan ego yang membelenggu diri.Sedar akan hakikat hidup di dunia,yang telah banyak mencemarkan diri sendiri,tetapi kerana adanya kegemerlapan bintikan cahaya di hati,dekatlah ia demi sebuah keinsafan untuk menghambakan diri kepada Ilahi.

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments