Nyata Keagungan Allah s.w.t.

4:00 PTG


   Dalam dunia yang serba indah ini,siapapun mungkin terpedaya.Segala yang mempesona,pastinya menarik minat sesiapa untuk terus mencintainya.
   Dunia ini,pentas kehidupan setiap manusia.Boleh jadi tempat untuk mereka berlakon.Boleh jadi tempat untuk mereka menghayati cerita yang dibawakan di atas pentas tersebut.Lantai ujian yang seakan berjongkang-jongkit,pastinya menggelincirkan mereka yang lemah dan tidak bermaya.
   Apa kita mahu menjadi mereka yang rugi?
   Selagi nafas dikandung badan,itulah suatu peluang yang terus diberikan tuhan kepada kita untuk terus mengagungkan kekuasaan-Nya sebagai pencipta sekalian alam.
   Saya sungguh tertarik untuk menyaksikan bagaimana pencerahan yang dibawakan oleh Dr.Zakir Naik dalam video-video yang dikongsikan di youtube,bagi merobekkan kekeliruan sesetengah mereka terhadap kehidupan dalam beragama.Apatah lagi perkara yang dibincangkan atau lebih diertikan kemusykilan mereka yang bukan islam terhadap ajaran Islam itu sendiri.Terkadang,kita perlukan pengisian yang membawa pencerahan dalam kekeliruan ajaran agama Islam,kerana kita sendiri berkemungkinan punya cebisan tanggapan yang mengelirukan,tetapi malu untuk bertanya.Apatah lagi apabila bersangkut paut dengan akidah dalam beragama.
   Hidup ini seperti yang sering kita bincangkan sebelum ini,adalah bukan suatu pilihan.Tetapi kita yang menyanggupkan diri untuk memikul tanggungjawab sebagai makhluk Allah s.w.t. yang punya akal dan nafsu.Malah merupakan makhluk Allah yang diiktiraf sebagai sebaik-baik makhluk di muka bumi ini.
   Sungguh saya tertarik dengan kekeliruan yang dibawakan oleh seorang yang bukan beragama islam kepada Dr.Zakir Naik dalam dewan yang penuh barakah untuk membincangkan segala salah faham terhadap agama,iaitu terfokus kepada agama islam khususnya.
   Antara kekeliruan yang dibawakan adalah,bagaimana Tuhan itu sanggup untuk menciptakan manusia yang telah diketahuinya sebagai makhluk yang akan berpaling dari-Nya?Bukankah itu suatu perkara yang tidak masuk akal sebagai tuhan yang maha mengetahui,tetapi turut menciptakan kejadian manusia ini di muka bumi?Lebih kurang begitulah apa yang dibawakan oleh lelaki yang mengajukan soalan tersebut.Sahabat boleh membuat carian sendiri di Youtube untuk melihat secara jelas video mengenai perbincangan tersebut.
   Apa yang ingin saya ceritakan adalah penjelasan Dr.Zakir Naik itu sendiri mengenai kehidupan penciptaan manusia.Apatah lagi yang bertanya itu mengemukakan satu ayat Al-Quran yang dirasakan punya kekeliruan iaitu,kenapa tuhan Islam menyuruh manusia untuk  melihat gunung-ganang dan langit dan bumi?Kekeliruan yang membawa suatu penjelasan yang lebih terperinci apabila membawakan ayat tersebut.Kerana sangkanya,tuhan ingin menyuruh manusia untuk berfikir bahawa dunia ini terjadi dengan sendiri seperti fahaman yang dibawakan oleh orang Ateis dalam menolak sebarang agama.
   Ternyata TIDAK!!!
   Kejadian langit dan bumi itu adalah suatu bukti yang jelas untuk membuktikan wujudnya tuhan.Golongan Ateis menyangka,kejadian seluruh muka bumi dan alam semesta ini adalah disebabkan satu letupan yang besar yang membawa kepada suatu proses yang agak lama dalam menyempurnakan alam ini.Jika difikirkan dengan dasar kejujuran berserta logik akal,teori sains sendiri menyatakan letupan tidak akan menghasilkan suatu galur yang baik selepas proses itu.Ini sama sekali bercanggah dengan teori sains sekiranya orang Ateis ingin mengatakan kejadian bumi ini adalah tercetus daripada satu letupan pada abad-abad yang berjuta tahun lamanya.Mustahil suatu kejadian bumi yang penuh sistematik ini terjadi dengan satu kebetulan yang penuh dengan kesempurnaan.Dari dasar laut,hingga puncak bukit.Susunan yang begitu sistematik dengan pelbagai keunikan dan kecantikan.
   Justeru persoalan mengenai tuhan menjadikan manusia yang telah diketahui akan menentang-Nya pula cukup mudah diterangkan oleh Dr.Zakir Naik.Sebenanrnya saya tidak bercadang untuk menerangkan satu persatu di sini,melainkan untuk menggalakkan sahabat sekalian melihat sendiri video tersebut.Bukan bermakna kita sekeliru orang Ateis atau orang yang tidak beragama bertanya,tetapi untuk  mengisi kelompangan dengan suatu ilmu yang boleh dikatakan cukup berguna suatu hari nanti untuk kita berdepan dengan orang bukan islam pada suatu hari yang akan datang.Agarnya kita punya hujah,untuk memberikan mereka sedikit pencerahan dan suatu tanggapan yang baik untuk mereka terus mengkaji dengan lebih mendalam mengenai agama kita sendiri.

   Saksikan video tersebut di Sini
Dr  Zakir Naik Berhasil Menjawab Pertanyaan Sulit…: http://youtu.be/sLQY0LElwws

   Sahabat sekalian.Kita punya banyak waktu.Kadang-kadang kita langsung menganggap agama ini sebagai suatu bahagian yang melengkapkan puzzle kehidupan.Ternyata silap sahabat.Kita tertipu.Maka tidaknya kita sebagai orang alim,adakah memilih untuk manjadi jahil?Maka fikirlah sahabat.
   Secebis teguran ini sememangnya tertuju untuk diri sendiri.Tetapi kalau tidak dikongsi,apa kita akan bertemu di sana suatu hari nanti?Sahabat punya kelibahan yang tersendiri.Maka tolonglah antara kita untuk sama-sama menginsafi diri.Saya terleka,jentiklah perlahan.Kalian terleka,warkah ini sebagai hantaran.Tidak lain dan tidak bukan,untuk kembali mengingati diri sebagai seorang hamba.Hamba yang punya tuhan untuk diagungkan.
   Sekali sekala,isilah waktu dengan keinsafan.Agar kita tidak berlama-lama dalam kelalaian.
   Astaghfirullah...

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments