Kita Tak Sama
12:23 PG
Apa saya seorang sahaja yang baru memberi fokus untuk membaca cerita sepanjang kehidupan almarhum Ahmad Ammar.Maaf,mungkin saya yang tidak peka dengan perkara penting ini sebelumnya.Kecuaian dalam mengikuti isu semasa yang sungguh bermanfaat.Saya sudah mendengar mengenainya,cuma tidak memberi perhatian secara khusus.Alhamdulillah.Sekelumit kesedaran membuka mata,untuk berkenalan dengan seorang pejuang ini.
Dalam penghayatan setiap bait-bait indah yang tersusun di dalam kitab tersebut,sungguh,diri ini seakan terlalu kerdil dalam dunia tuhan Yang Maha Agung ini.Betapa indah,sebuah kenangan yang penuh dengan matlamat dan visi serta misi dalam meneruskan kehidupan.Sebuah kekuatan dalam cita-cita yang tinggi dalam membangunkan ummah.Satu harapan yang ingin dirialisasikan,demi memenuhi tuntutan besar tuhan yang menjadikan manusia,dengan bertujuan sebagai khalifah di muka bumi ini.
Kisah seorang pemuda yang ingin mewakafkan diri untuk pembangunan ummah.Bertekad menyelusuri jejak-jejak pejuang islam ternama satu ketika dahulu seperti Abu Ayub al-Ansari,Jalaluddin Rumi,Muhammad al-Fatih,Khilafah Uthmaniyyah,Said Nursi mahupun Tayyip Erdogan.
Inilah antara kisah perjuangan zaman ini.Menjadi kewajaran kepada kita untuk mengenali manusia seperti ini.Sudahlah kita berada terlalu jauh dari kehidupan Rasulullah,dan para sahabat,maka yang dekat dengan kita,apa kita tidak mengenali mereka?
Inilah kelemahan diri kita yang harus kita perbaiki.Begitu saya,begitu juga kita.Kita yang semakin hari sering terleka.Tidak terleka,kita sering ingin mempertingkatkan jati diri untuk lebih matang melebihi usia.
Namun,usah kecewa wahai teman.Mungkin kita punya jalan cerita yang tersendiri.Untuk menyamakan diri kita dengan mereka yang punya kekuatan dan impian yang tinggi,mungkin kita merasakan kita lebih kecil daripada biji sawi.
Percayalah.Allah itu maha adil.Dia punya asbab untuk membina cerita yang berbeza kepada manusia yang penuh dengan kelainan yang tersendiri.Namun untuk membezakan tujuan hidup,TIDAK SAMA SEKALI.
Adz-Dzaariyaat (51 ayat 56) :
"Dan tidak aku jadikan jin dan manusia kecuali hanya untuk beribadah kepada-Ku."
Itulah tujuan utama Allah s.w.t. menciptakan manusia.Namun ujian yang sedikit berbeza,adalah kerana Allah s.w.t. tahu,kita punya kekuatan yang berbeza.
“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…
( Al-Baqarah: 286)
Sekali lagi Allah menunjukkan kepada kita,suatu kelainan cerita kepada manusia yang berbeza,dengan menggunakan plot ujian yang tidak sama dalam cerita kehidupan kita,tetapi tetap dengan tujuan yang sama.
Apa kita merasakan kita masih terlalu hina berbanding mereka yang punya kekuatan yang berbeza dari kita?
Jika Ya,maka tepislah sejauh-jauhnya.Sungguh,Allah itu tidak zalim,melainkan kita sendiri yang menuruti hawa nafsu,sehingga menunggang balikkan kesucian fitrah kita sebagai manusia.
Jangan putus asa.Allah masih membuka pintu taubat kepada manusia,sebagai tanda kasih sayang-Nya kepada hamba.
Cuma terserah kepada kita,samada merasakan diri sendiri berdosa untuk kembali kepada kasih sayang Yang Maha Esa.
Jangan sampai kita merasakan peluang kembali tertutup,sehingga kita berputus asa untuk terus kembali kejalan fitrah.Teruskan menjentik iman agar tidak terlena dari terus mempertingkatkan kemajuan diri di dunia dan di akhirat.
Jangan sesekali merasakan Allah s.w.t. itu jauh sedangkan kita yang sering menjarakkan diri daripada kebenaran.
Astaghfirullah.
Yakinlah.Cerita kehidupan kita akan dibentangkan kepada Allah s.w.t. dengan hikmah dan keupayaan kita yang tersendiri.Yang paling penting,kita harus sedar satu perkara:
"Mujahadahlah yang akan menentukan keindahan sebuah cerita.Iaitu orang yang sering kembali mendambakan kasih sayang pencipta.Mereka yang takutkan terleka.Mereka yang terus berusaha,untuk kekal di atas jalan ketaatan kepada Yang Maha Kuasa."
0 comments