Sebab Cinta Itu Disulam
11:51 PTG
Pagi ini saya melawat kedai menjual buku.Alang-alang sudah berada di bandar,sengaja saya mencuci mata di kedai buku yang sering menjadi tempat saya memborong buku.
Ketika asyik membuat bacaan muka surat daripada buku yang berbeza-beza dengan kakak,kakak saya tertarik dengan satu ayat.Dia lantas menunjukkan ayat tersebut kepada saya.Ayat itu diquotekan dan di tulis besar pada halaman itu.Bahasanya sudah jelas,tetapi mungkin saya yang sukar mendapat apa yang cuba disampaikan.Lalu saya mohon kakak saya untuk menjelaskan.
"Maksudnya?"
"Maksudnya dia mahu cakap.Bila kita sudah tua berusia,orang yang sangat rapat dengan kita semakin kurang.Sampai satu tahap,kita akan tahu,hanya kerana cintakan Allah,orang sekeliling masih mencintai kita."
Saya sengaja buat muka berkerut,mohon diperincikan lagi.
"Semakin kita tua,kawan-kawan kita semakin tiada.Lebih-lebih lagi yang sudah mati.Sibuk dengan urusan sendiri.Jadi jika kerana Allah hubungan itu dicipta,pastinya umur bukan halangan.Kerana akan ada orang yang terus bersama kita."
Mengangguk.Benar sekali.
Ketika ini kita mungkin punya kawan yang ramai.Punya kawan yang menjadi tempat bersuka tawa.Beriang ria.Kawan yang menjadi tempat kita memohon pertolongan,begitu pula kawan yang mengharapkan sesuatu daripada kita.
Masing-masing punya alasan sendiri untuk terus bersama kita.Kerana kita punya kelebihan?Atau kerana mereka mahu menggunakan kita untuk suatu tujuan?
Apa jika kita sudah semakin tua,semakin meninggalkan riang di waktu muda,kita akan terus bersama mereka?Mereka yang punya anak untuk dijaga.Punya anak untuk dipelihara.Punya cucu untuk membelai manja.Maka kita di mana?
Di sinilah apa yang cuba penulis itu maksudkan barangkali.Bagaimana cinta antara sahabat dan orang lain,hanya akan kekal lama jika alasannya adalah perkara yang tidak akan pupus dan hilang,iaitu kerana pencipta.Maka kita menjangka,sahabat itu kekal selamanya?
Pastinya perkara itu tidak mustahil,tetapi logiknya,manusia punya kesibukan yang tersendiri yang harus dilalui.Harus diselesaikan dan harus diberi perhatian.Apakah kita benar-benar menjadi orang yang disayangi di saat waktu harus dibahagikan kepada yang lebih memerlukan.Ketika ini kita akan berfikir,apa mereka benar-benar mencintai kita kerana Allah?
Kerana Allah itu tidak mati dan tidak akan hilang,pastinya dengan alasan ini, kasih sayang kekal berpanjangan,antara insan dengan insan yang lain.
0 comments