Hikmah Dalam Menegur
12:28 PG
Sememangnya kita dapat lihat dengan sendiri.Betapa semakin hari,semakin berleluasa maksiat di muka bumi ini.Kita tidak menafikan zaman sebelumnya juga punya masalah tersendiri.Namun perkara yang juga penting adalah ketidakmampuan kita untuk menyangkal bahawa dunia pada zaman kita hidup sekarang ini,mampu memperlihatkan perkara yang jauh dari tempat sendiri.Itulah yang dikatakan dunia tanpa sempadan.
Saya sebenarnya tergerak untuk menulis artikel ini disebabkan suatu paparan media yang cukup mengejutkan saya sendiri.Ketika ini,perkara itu menjadi viral di laman Facebook.Masalah itu biarlah saya ketepikan.Lebih baik kiranya saya fokuskan masalah kebejatan moral itu di dalam skop yang lebih besar iaitu maksiat.
Selagi perkara itu adalah perkara yang dimurkai Allah s.w.t. maka sudah tentunya bergelar dosa.Tiada guna kita fokuskan kepada isu semasa yang menjadi viral pada waktu-waktu tertentu,sedangkan lambakan lagi perkara lain yang sebenarnya di dalam aspek yang sama tiada beza dengan dosa.
Berbalik kepada tajuk yang menjadi mahkota artikel ini "Hikmah Dalam Menegur",tentunya berkaitan dengan cara-cara menegur sesuatu perkara.Perkara yang difokuskan disini adalah dosa.
Sungguh Menyampah,Akan Perkara Sampah
Lihatlah sendiri di alam maya.Lambakan info-info media yang tidak putus-putus memperkatakan masalah yang berleluasa di dalam atmosfera masyarakat.
Kita yang pada dasarnya menggunakan kecanggihan teknologi untuk menjadi seorang yang peka dengan isu semasa,akhirnya terpana dengan hidangan yang bernanahkan maksiat oleh kaum dan bangsa sendiri.Tidak semena alat untuk berkomunikasi menjadi suatu yang menyampah untuk diikuti perkembangannya.
Itu kita.Orang yang masih merasakan nanah maksiat itu menyakitkan dan menggerunkan.Terus bagaimana mereka yang terleka?
Di sinilah bermula satu cerita lain yang membawakan plot baru yang pastinya timbul polimik yang tersendiri.
Sungguh,saya sedih melihat sesetengah sahabat kita yang terlalu melulu dalam menegur mereka yang leka.Sepertinya kita sudah memasuki isi yang penting berkaitan artikel ini.
Pelbagai teguran yang dilihat sebagai menasihati terpesong dari landasan yang sebenar.
Sememangnya kita sendiri yang tidak alim membenci perkara keji.Kerana kita dilahirkan dalam keadaan fitrah yang mana menyukai kebaikan.Malah keupayaan manusia untuk tidak mempercayai tuntutan agama sendiri,terpaksa melaksanakan undang-undang semata-mata ingin kemakmuran dalam kehidupan terpelihara.
Itulah suatu perkara yang kita sendiri sedari.Melihatkan mereka yang rancak melabuhkan teguran semena tanpa mengira adanya batu karang yang cantik yang harus dijaga.Itulah akhlak kita sendiri.
Ada beza sahabat,antara teguran dengan cacian.Dua pandangan yang sangat berbeza.
Memandang sesuatu maksiat dengan pandangan menghina,kita akan tersasur daripada tujuan utama iaitu ingin menyedarkan mereka yang terleka.Perkara yang akan timbul adalah merasakan diri terlalu betul dalam keadaan yang berlaku,sehingga akhlak sendiri bercelaru.
Inilah perkara yang harus kita perhatikan dalam diri kita sendiri.Membenci itu sewajarnya berputik dalam hati kerana suatu maksiat yang pastinya terkeji.Namun sekiranya tindakan menegur dengan bahasa-bahasa kesat,ayat-ayat seakan akulah malaikat,sindiran yang tiada beza menunjukkan keburukan akhlak,akhirnya kita sendiri yang tersasar dari matlamat,sehinggakan sama melakukan satu maksiat,cuma dalam berlainan topik dan muka surat.
Berbeza pula kepada mereka yang melihat sesuatu maksit dengan pandangan untuk berdakwah.Lebih tepat diperincingan maknanya disini sebagai suatu tindakan untuk menyedarkan mereka yang silap,untuk merasakan diri mereka diraikan untuk kembali bertaubat dan mengubah segala yang telah mencemarkan cerita kehidupan.
Perasaan murni ini harus kita semaikan dalam diri agar mereka yang melakukan perkara maksiat,merasakan adanya suatu peluang untuk mereka kembali kepada jalan yang benar.Perasaan yang murni ini juga akan melahirkan rasa bertanggungjawab dalam diri,untuk mencerminkan kesalahan kita sendiri.Inilah apa yang dikatakan,memandang sesuatu perkara yang berbeza,tetapi membawa keuntungan kepada mereka yang memerhati.
Kita cuba melihat kekurangan yang ada dalam diri kita sendiri di samping menegur mereka.
Memandang dengan pandangan ingin berdakwah juga,akan membuahkan suatu perasaan lain,yang akan mengalih fokus kita,bukan sahaja kepada mereka yang melakukan maksiat,tetapi kepada asbab lain yang mendorong mereka untuk melakukan perkara yang salah itu.Maka,kita akan lebih bijak bertindak dalam mempersoalkan masalah yang berleluasa dalam kalangan masyarakat kita.
Malah,dengan perasaan ingin memakmurkan kehidupan bermasyarakat,kita bukan sahaja duduk di hadapan alat komunikasi moden masing-masing tanpa melakukan sebarang tindakan.
Tindakan yang dimaksudkan bukanlah bererti sesuatu yang drastik seperti terus ingin menjadi seorang perdana menteri atau sebagainya,tetapi bertindak dengan mempersiapkan diri sendiri,dengan menunjukkan contoh yang terbaik dan membuka ruang kepada orang lain untuk serta kembali memartabatkan nyawa yang diberikan kepada Allah s.w.t. kepada kita.
Jangan sampai orang berkata kepada kita "Kuman di belakang orang lain nampak,gajah di depan mata sendiri tidak terlihat".
Insyaallah,sama-samalah kita mempertingkatkan iman masing-masing,disamping berhikmah dalam menegur.Ingatlah,hati manusia itu sifatnya berbolak balik.Boleh sahaja Allah s.w.t. membalikkan hati pendosa sehingga menjadi orang yang sangat mentaati perintah-Nya,begitu juga sebaliknya.
Astaghfirullah.
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum,sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."
0 comments