Bawa Perubahan Secara Perlahan
11:44 PTG
Ceritanya begini.Semakin hari kita semakin dewasa.Isu matang sering menjadi persoalan.Maka kita terfikir,apa kita cukup matang dalam kehidupan?
Masing-masing punya definisi sendiri untuk menterjemahkan istilah matang itu mengikut pandangan masing-masing.Ada yang beranggapan "berdiri di atas kaki sendiri" atau membawa maksud kurangnya kebergantungan kepada kedua ibu bapa itu adalah matang dan berdikari.Namun jangan terlebih mentafsir sehingga merenggangkan hubungan kekeluargaan dengan ibu bapa sendiri.
Begitu juga mereka yang beranggapan bahawa mereka sudah mampu untuk berkahwin kerana merasakan diri sudah cukup matang menghadapi karenah rumah tangga suatu hari nanti.
Terpulanglah kepada diri masing-masing berkaitan perkataan itu.
Tapi apa yang ingin saya tekankan di sini,lebih tepat sebagai matang dalam erti membawa perubahan dalam kehidupan.
Apa yang ingin diperkatakan dengan matang dan perubahan secara perlahan?
Sungguh,kita sememagnya mengharapkan sesuatu yang indah sahaja di dalam kehidupan kita.Siapa kata dia memang dilahirkan untuk merasa derita,maka dia telah melakukan kesilapan besar.Namun jangan bersedih.Ibaratkan seorang guru yang mengajar.Mereka terlalu sayangkan anak murid mereka yang kecewa dengan markah rendah.Tetapi kerana ingin menyenangkan hati mereka,dan ingin membenarkan mereka mengubah kesilapan mereka,guru itu memberi peluang kepada anak muridnya untuk membuat pembetulan.Agarnya suatu hari nanti mereka tidak mengulangi kesalahan yang sama,selain itu dapat menjamin keupayaan mereka untuk menghadapi masalah yang sama.
Apatah lagi kasih sayang Allah s.w.t. kepada hamba-Nya.Kalau begitu apa gunanya antara 99 nama Allah s.w.t. itu iaitu Maha Penyayang dan Maha Mengasihani?
Itulah satu kata kunci yang membuka suatu kekuatan baru kepada kita untuk sentiasa mengubah kesalahan di dalam kehidupan.Marilah menjadi matang.
Sebagaimana cerita seorang guru yang ingin anak muridnya cemerlang,begitu jugalah Allah s.w.t. kepada kita agar berjaya di dunia dan di akhirat.Malah lebih luas lagi kasih sayangnya.Diceritakan,andai kata kasih sayang Allah itu ingin diterjemahkan dengan dakwat,pasti tujuh lautan dakwat belum mampu menterjemahkan kasih sayang-Nya.
Seringkali kita melihat di laman sosial,mereka yang begitu yakin dengann azam pada tahun baru mereka ketika tahun baru sahaja tiba.
Perkara yang pasti daripada mana-mana manusia sekali pun akan azam mereka,mereka berkehendakkan sesuatu yang baru untuk kehidupan mereka.Mungkin tindakan memilih masuknya tahun baru itu sahaja tidak seberapa baik untuk dinilai.Namun,berkehendakkan perubahan dalam kehidupan,adalah impian setiap manusia.Apatah lagi mereka yang berazam untuk meninggalkan kejahilan yang pernah dilakukan.
Hidup tanpa ujian,ibarat cerita tanpa konflik.Ketika perubahan sedang dirancang,pastinya musuh ketat manusia turut membuat persediaan.Itulah syaitan,musuh utama manusia yang diiktiraf di dalam kitab suci Al-Quran.
Maka timbullah rasa serba salah untuk berubah.Pelbagai alasan yang cuba dikaitkan.Dikatakan perubahan yang ingin dibuat sukar dek persekitaran,atau mungkin kerana pengaruh kawan,atau mungkin kerana masalah keluarga,atau mungkin dan mungkin yang lain,yang pastinya alasan semata.
Oleh kerana itu sahabat,kita perlu sedar,untuk melakukan perubahan,tidak perlulah terlalu drastik.
Macam mana tidak boleh drastik?Tiada perubahanlah yang akan dilihat?
Tenang sahabat tenang.Pastinya perubahan yang dirangka adalah untuk melihat hasilnya.Namun kita juga harus bijak dalam memikirkan risiko yang akan datang.
Risiko ini kita terjemahkan dalam makna "Apa mampu kita istiqamah dengan perkara baru yang kita buat?"
Itulah persoalannya.Sungguh,Allah s.w.t. sangat menyukai amalan seorang hamba yang sedikit,tetapi berterusan.
Sebagai langkah awal,kita periksa dahulu kekurangan yang mengganggu ketenteraman jiwa kita.Perkara-perkara dosa yang sering menjadi perosak amalan seharian kita.Bagi mengelakkan kesalahan yang sama ataupun dosa,kita harus melihat pangkal utama yang menjadikan kita bertindak sedemikian.
Contoh mudah saya bawa kiranya,solat subuh.Kita kadang-kadang tersasur menunaikan solat fardu subuh di dalam waktu yang telah ditetapkan.Makan kita melihat,apa kita sudah cukup rehat?Pukul berapa untuk kita benarkan tubuh badan kita beristirehat di malam hari?Terus kita sedar,jika kita bersengkang mata di malam hari,tetapi berkehendakkan bangun awal subuh keesokannya,ianya suatu perkara yang cukup sukar.
Berbeza pula kepada mereka yang benar-benar berniat untuk bangun awal dan mengambil anisiatif dengan mengunci jam loceng atau sebagainya.Jika tersasur sekali pun kekesalan pastinya menerjah hati.
Inilah pangkalnya.Bagaimana mahu kita cipta perubahan jika kita tidak mengesali kesalahan yang pernah dilakukan?Apa kita akan mengambil tindakan lain sedangkan dosa itu sudah sebati dengan hati dan menjadi kebiasaan?
Lihat kembali teman hati kita masing-masing.Begitu saya,begitu juga sahabat.
Perkara yang juga penting dalam membawa perubahan adalah dengan melakukan perkara kebaikan,walaupun dilihat kecil.Andai perkara baik yang terlintas di hati,ikutlah dan lakukanlah dengan segera.
Andai kata kita melihat sampah di jalanan.Tidak jauh dari situ adalah tong sampah.Maka ringankanlah tangan untuk mengambil dan membuang sampah tersebut.tidak bermakana kita mengutip semua sampah yang ada di kawasan itu.Kita juga perlu logik dalam bertindak.Maksudnya lebih kurang membantu seringan yang mampu.Mana tahu ada yang melihat,dan turut serta melakukan amalan tersebut?Siapa sangka?Maka berlakulah satu kitaran kebaikan kerana perbuatan kita.
Masyaallah,sungguh besar ganjarannya.
Asalnya amalan itu sekadar terdetik di hati.Terus bertindak dengan melakukan sekecil-kecil amal itu,insyaallah andai istiqamah,tentunya amalan itu mendapat keredhaan Ilahi.
Itu hanya sebagai contoh.Perkara yang sebenarnya ingin ditekankan adalah kata hati yang murni,usah bertangguh dalam mengerjakannya.
Astaghfirullah.Sama-samalah kita membawa perubahan dalam hidup kita.Agar ianya menjadi lebih berharga.
0 comments