Dilema Si Mujahadah!

7:58 PG



   Sungguh, saya meyakini. Setiap daripada kita yang ingin melakukan perubahan dalam hidup akan mengalami suatu pergolakan jiwa yang sungguh hebat.

   Kenapa saya menamakan Si Mujahadah?

   Kerana Mujahadah itu sendiri adalah berasal daripada perkataan "jihad" yang literalnya difahami sebagai usaha yang bersungguh-sungguh dalam mencapai redha Allah. Dalam pengajian ilmu tasawwuf, perbincangan mujahadah ini menjadi suatu topik yang sungguh menarik untuk dibincangkan. Begitu juga kaitannya dengan aklak seseorang.

   Namun kali ini, saya ingin menyentuh soal cabaran yang dihadapi oleh mereka yang ingin terus bermujahadah dalam kehidupan mereka. Termasuk diri saya sendiri. Mujahadah ke arah kehidupan yang lebih diredhai.

   Melihat kepada cabaran-cabaran inilah, kadangkala menjadi dilema kepada kita yang baru berjinak dengan dunia bermujahadah menuju cinta Allah. Bahasa biasanya disebut tarbiyah(mendidik diri) Kadangkala, cabaran itu dilihat ringan oleh seseorang, tetapi tidak kepada mereka yang tidak mengetahui cara mengendalikan, akhirnya, mujahadah terasa lelah, bahkan boleh menyebabkan seseorang itu terus rebah.

   Sahabat semua ingin tahu? Saat saya menulis coretan demi coretan di maya ini, saya terasa dipukul ombak yang datang meluncur laju dari seribu batu. Mana tidaknya, saya bukanlah manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan. Akan tetapi, andai kata saya berhenti daripada terus berkongsi kepada sahabat semua secebis perkongsian, maka sayalah si bakhil yang terlaknat tuhan.

   Maka, untuk tidak memberikan bendera kemenangan kepada musuh ketat manusia bernama syaitan, saya meneruskan legasi yang sekecil ini untuk terus berjuang. Hakikatnya diri juga berdosa.

   Bagi saya, ini salah satu mujahadah.

Sokongan untuk terus bermujahadah

   Tidak akan menjadi sebuah cerita andai tiada konflik dalaman yang berlaku. Maka, apatah lagi dengan berjihad melawan kehendak nafsu dan keinginan daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan suruhan dan larangan Allah s.w.t. Untuk terus gagah berada dalam jalaln perubahan, bukanlah sesuatu yang boleh dinoktahkan dengan segera.

   Antara cabaran yang akan dihadapi adalah, sejauhmana kita mendapat sokongan daripada orang sekeliling kita. Maka menjadi suatu perkara yang mustahak untuk kita melihat ahli-ahli daripada keluarga kita, rakan-rakan kita, mungkin juga kenalan kita.

   Maka di sini, lihatlah. Lihatlah sejauhmana cabaran yang saya maksudkan itu hadir. Mungkin bagi kita, perkara ini tidak terlalu serius, akan tetapi, orang yang mengalami situasi-situasi yang berbeza, akan punya keputusan yang berbeza.

   Perkara yang ingin saya sentuh di sini adalah apabila, mujahadah dan perubahan yang ingin dibawa dalam kehidupan, tidak seiring dengan situasi dan keadaan yang kita hadapi.

   Namanya juga membawa perubahan,maka jika keadaan mula terasa berbeza inilah cabaran.

   Wahai sahabatku yang tega membawa pembaharuan dalam kehidupan, ketahuilah, mujahadah itu mungkin sedikit pahit. Namun kalian tahu apa yang menyebabkan ianya menjadi manis?

   Ikhlas kerana Allah

  Kerana itu niat itu sangat penting. Niat adalah akar tunjang yang akan terus menahan pokoknya daripada tumbang apabila disapuk dek angin dan haiwan.

   Mungkin kemanisan itu sukar kita rasai pada awal pembawaan diri. Namun, dengan keyakinan yang mantap untuk mencapai redha Ilahi, akan membuatkan kita seakan-akan seorang manusia yang sangat cintakan kekasihnya. Kata orang, lautan api sanggup kurenang.

   Apatah lagi apabila kecintaan kita itu kepada pencipta segala kehidupan. Tidakkah lautan mujahadah yang berduri besi, dengan bara api yang mendidih, ditambah dengan aroma yang busuk, sanggup kita redah?

   Allah tidak pernah meninggalkan hambanya keseorangan.

Surah Ar-Rad, ayat 11:

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.

Tidak mahu kembali ke jalan maksiat

   Jangan disangka, apabila berada di atas jalan mujadah mendidik diri, kita akan seratus peratus menjadi manusia yang tidak berdosa. Walaupun itulah apa yang kita mahukan, kerana itu kita memilih untuk berubah.

   Suka untuk saya peringatkan, jarum syaitan itu ada dalam pelbagai bentuk dan saiz. Sesuai melihat kepada kehendak keadaan yang berlaku, maka akan ada perancangan yang begitu rapi tersusun. Jika kita tidak siapkan kelengkapan kita menghadapi asakan ini, kemungkinan kita akan tersungkur oleh tipu saya mereka.

   Saya ingin mengaitkan dengan situasi orang sekeliling sebentar tadi. Jika ada yang melemahkan, pasti ada yang menguatkan.

   Tidak bermakna kita harus beruzlah(mengasingkan diri) dalam kehidupan kita secara 360 darjah. Tetapi kita harus pandai membawa diri dengan bijak merancang dan berpendirian.

   Kuatkan prinsip kita dalam memilih jalan ini.

   Ya benar. Banyak kehendak kita yang melalaikan akan melambai ke arah kita. Mereka kata mari, tetapi jika kita tidak pandai mengatur nafsu dan emosi, kita mungkin kembali menjadi hamba kepada perkara yang harus, akhirnya leka daripada melakukan yang wajib.

   Inilah cabaran kita. Dikaitkan dengan apa yang saya ceritakan sebentar tadi mengenai orang sekeliling.

   Kita tidak boleh terlalu berharap, semua orang akan memahami perubahan yang kita lakukan. Kadang-kadang, hanya kerana kesilapan yang lalu yang pernah kita lakukan, mereka menjadi tawar hati dengan kita. Maka di sinilah kita harus melihat kembali niat kita.

   Kepada siapakah mejuhadah ini ingin kita halakan?

   Simpanlah dilema yang membelenggu itu dengan keyakinan dan pendirian yang mantap terhadap usaha untuk meraih redha Allah. Kita memang tidak sempurna, maka akan ada suatu masa,kita mungkin dicemuh sesiapa.

   Saya sendiripun sudah memikirkan hal ini. Namun untuk terus berhenti, ibarat sijil penghargaan yang berharga diberi kepada musuh manusia itu sendiri.

   Manusia yang pertama sendiri terlanjur melakukan kesilapan, akan tetapi diterima kembali hanya kerana taubat dan keinginan yang kuat untuk kembali mecapai keredhaan tuhan. Tidakkah kita ingin kembali mencapai nikmat redha daripada Allah?

   Maka, teruskan bermujahadah!

   Insyaallah sahabat sekalian, sama-samalah kita bawa perubahan.

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments