Tidak Minat Membaca? Apa Puncanya?

11:30 PTG



   Suka untuk saya berkongsi mengenai perkara ini kepada sahabat yang membaca. Mungkin saya dikategorikan sebagai seorang yang minat membaca apabila melihat kepada rak-rak buku yang ada di bilik saya. Namun, untuk mengakui saya minat membaca, sebenarnya saya tidaklah terlalu yakin bahawasanya saya minat membaca. Akan tetapi, jika ditambah dan ditolak, mungkin jawapannya, YA!

   Tidak minat membaca?

   Seringkali saya mendengar luahan sahabat saya mengenai perasaan mereka yang tidak minat membaca. Kata mereka, membaca mudah mengantuk. Mudah rasa boring. Tidak menarik lagi jujur. Dan ada juga yang mengatakan boleh membaca, tapi tidak begitu lama. Kadang-kadang satu buku yang nipis pun boleh mengambil masa yang lama.

   Namun, saya sebagai orang yang mendengar alasan itu, terus bertanya. Kerana saya sememangnya tidak berpuas hati dengan alsan yang diberi.

   Kenapa tidak minat membaca? Apa punca dan sebab sebenarnya?

   "Err.... dah cakakpan tadi?"

   "Tak, bukan itu jawapan yang sebenarnya." Saya memangkah jawapan yang diberikan. Bunyi macam aneh, saya yang bertanya, tetapi saya pula yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Baiklah, mari saya bawakan sebab yang sebenar.

   Saya tidak pasti andai jawapan sebenar yang saya kemukakan ini menyebabkan ada pihak yang merasakan jawapan ini tidak rasional. Akan tetapi, apabila situasi ini berlaku kepada saya, dan saya terangkan kepada yang bertanya, kebanyakan mereka mengiyakan dengan penuh yakin dan percaya. Kerana akhirnya mereka faham.

   Apa puncanya?

   Sebenarnya, kepada sahabat-sahabat yang merasakan diri mereka tidak minat membaca, atau sahabat yang sedang membaca apa yang saya kongsikan ini pernah mengalami situasi yang sama daripada kawan-kawan kenalan sendiri, ada punca dan sebab sebenar kenapa kita tidak dapat merasai nikmat membaca. Dengan erti kata mudah, perasaan untuk minat membaca itu tidak ada dalam diri.

   Berilah buku apa sekalipun. Yang pastinya jika ada kumpulan-kumpulan tulisan pada setiap helaian, maka perasaan bosan terus menerjah diri, maka fikirkan perkara ini.

   Sebenarnya, kita(senang untuk pantulkan kepada diri saya juga) yang tidak merasakan minat membaca, bukan kerana membaca itu yang membosankan. Bukan kerana membaca memerlukan masa yang banyak. Bukan kerana kita dilahirkan untuk tidak membaca. Akan tetapi?

   Akan tetapi, kita tidak minat kepada penulisnya!

   Ya, kerana penulislah yang akan mempengaruhi kita untuk menghargai dan meminati apa yang ditulis. Begitu juga orang yang sedang berkasih. Tidak kira sejauhmana kekasihnya menghantar surat cinta yang panjang lebar. Panjangnya madah, sehingga ke Makkah. Mereka akan sanggup membaca.

   Mungkin akan ada yang kata tidak. Akan tetapi, jika benar-benar meminati penulisnya, minat dengan cara cakap penulis, cara hidup penulis, mungkin kerana penulis yang penuh menginspirasikan, dan pelbagai lagi sebab lain yang ada pada penulis yang membuatkan seseorang itu betul-betul berminat dengan segala macam yang penulis itu kongsikan. Maka pastinya, kita yang membaca tidak akan rasa bosan atau jemu apabila membaca dengan apa yang cuba disampaikan.

   Inilah punca utama yang saya katakan kepada kawan saya. Tidak suka membaca buku karangan Dr. Yusuf Al Qaradawi yang menarik dan mantap, bukan kerana isi yang boring, tetapi penulisnya sendiri kita tidak kenal. Perkara ini baru sahaja saya alami apabila kawan saya kata suka mendengar perkongsian yang saya baca daripada buku Fiqah Keutamaan dari karangan penulis yang saya maksudkan sebentar tadi.

   Namun, apabila saya cadangkan untuk membacanya sendiri, timbullah jawapan yang saya kemukakan diawal tadi.

   Perkara lain yang saya tambah, apabila kita sudah terlampau meminati penulis atau pengarangnya, kadangkala apa yang ditulispun entah apa maksudnya kita suka. Sebut tanpa fahampun jadilah.

   Inilah yang berlaku kepada sesetengah kita yang meminati lagu-lagu dari luar negara. Yang saya maksudkan bukanlah lagu barat seperti yang kita ketahui, kita sendiri belajar bahasa Inggeris (walaupun mungkin berlaku juga), akan tetapi seperti Jepun, Korea, Arab ataupun dari pelusuk bumi mana datangnya.

   Ya, mungkin ini tidak ada kaitan dengan membaca, namun inilah contoh terdekat untuk dibawa mengenai meminati penyanyi, sehingga lagu apa yang dinyanyikan sekalipun kita suka untuk layan dan nyanyikan. Boleh jadi juga menyukai rentak lagu, walaupun maksudnya entah ke mana perginya.

   Begitu juga saya tanya kawan saya itu. Suka tak membaca Al-Quran?

   Katanya suka. Lalu saya tanya, adakah kerana maksudnya?

   Katanya tak juga. Kerana bukanlah dia fahami semua maksud andai sekali baca tanpa tafsiran.

   Maka yang ada saya katakan adalah mungkin kerana dua keadaan. Samada kerana cinta kepada Allah sebagai Yang Agung kalamnya, ataupun kerana yakin pada ganjaran yang ada apabila membacakan ayat suci tersebut.

   Keyakinan dan kecintaan inilah yang akan melahirkan minat dalam membaca.

Saranan kepada yang ingin berjinak dengan membaca

   Ramai yang tahu, membaca ini banyak kelebihannya. Banyak ilmu-ilmu baru yang akan diperolehi. Buktinya seperti kawan saya tadi, suka apabila saya kongsikan, namun berat untuk dibacakan sendiri. Maka apakah solusi terbaik untuk mula meminati membaca? Agarnya, ilmu-ilmu baru akan terus bercambah di minda kita?

   Maka jawapannya, kenalilah penulisnya!

   Ramai penulis-penulis yang hebat di atas muka bumi ini. Samada dari golongan yang terdahulu, ataupun golongan yang sekarang (ayat tinggi sikit bagi). Ya benar, saya tidak menipu kalian.

   Kalian pilihlah sendiri identiti-identiti penulis yang sahabat minati. Pasti ada yang menarik hati. Penulis menarik, pembaca pasti tertarik. Lihatlah pada inspirasi yang ada pada diri penulis, insyaallah, kita sendiri akan gembira untuk membaca, apa yang dibicarakan, begitu juga dengan apa yang dituliskan.

   Kerana itu, ada sesetengah orang yang sangat suka untuk mendapatkan tanda tangan penulis apabila membeli sesebuah buku. Baginya suatu penghargaan apabila penulis buku yang menulis buku yang dibeli itu menurunkan tanda rasminya sendiri.

Bacalah

   Memetik Kalamullah yang pertama diturunkan kepada manusia di dalam surah Al-Alaq ayat pertama, "Bacalah! dengan nama Tuhanmu yang menciptakan". Teruskanlah usaha untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan.

   Selain daripada mendengar secara berdepan, mungkin ada baiknya membaca apa yang dituliskan ketika berjauhan. Tidak kiralah daripada ulamak mana sekalipun. Pakar motivasi mana sekalipun. Penulis muda mana sekalipun. Pilihlah yang dapat mempertingkatkan ilmu kita dan memberi manfaat kepada pembacaan kita.

   Teruskan minat membaca. Sepertimana yang saya katakan sebentar tadi, dalam bicara ada hikmah, pastinya dalam penulisannya juga hikmah. Jika kita dapat menyelaminya dalam kedua-dua keadaan, maka beruntunglah kita.

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments