Hakikat sebuah Kehidupan Mengenali Tuhan
6:56 PTG
Alhamdulillah, segala puji dipanjatkan kepada Allah s.w.t. kerana masih diberi peluang untuk terus hidup di atas muka bumi ini. Selain untuk terus beribadat, ianya juga untuk melangsaikan hutang dosa dengan taubat. Semoga daripada rahmat dan rahman-Nya, kita diberi keampunan dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh di akhirat kelak.
Artikel ini sekadar untuk berkongsi kepada sahabat semua, pengisian usrah santai saya bersama kawan-kawan semester satu. Sangat bersyukur, kerana mereka sudi untuk melapangkan masa, demi sebuah pertemuan untuk saling memperingati antara satu samalain.
Sebelum pertemuan itu berlaku, pastinya saya akan rasa serba salah dengan diri sendiri. Pastinya. Akan tetapi, segala keraguan, kekusutan, dan was-was yang berlaku itu, tidak lain dan tidak bukan, datangnya daripada syaitan. Makhluk yang sememangnya pada awal kehidupannya di bumi, penuh dengki dan benci terhadap kita semua anak cucu Nabi Adam.
Maka saya tepis keraguan itu dengan mengharapkan pertolongan Allah. Saya tidak boleh menjadikan igauan tidak sempurna yang akan menghalang usaha ini. Lalu saya dengan sedikit perancangan, merancang untuk pengisian untuk pertemuan kami kali ini.
Mungkin sekiranya ada sahabat yang melihat kepincangan dalam penulisan saya ini boleh tegur atau lembut menasihati. Agarnya, saya akan dapat perbaiki dari masa ke semasa. Insyaallah.
Kepada sahabat-sahabat juga, saya sarankan untuk sediakan Al-Quran di tangan. Kerana pada pertemuan kami kali ini, saya sangat merancang untuk bermain membelek-belek muka surat Al-Quran.
Pertemuan Usrah Santai
29/10/2015
Objektif:
- Menyelesaikan permasalahan akidah. Memantapkan keyakinan hidup bertuhan.
- Menyedari hakikat pilihan di muka bumi.
- Peluang untuk kembali.
Sedikit huraian mengenai objektif:
1. Objektif pertama tidaklah terlalu berat sebenarnya. Walaupun yang ditulis berkaitan isu akidah. Ianya sekadar memupuk kembali rialiti hidup sebagai hamba di dunia ini.
2. Seperti kebiasaan, setelah datangnya kebenaran, kita yang mengambil pilihan. Maka saya tertarik untuk memahamkan konsep pilihan dalam pertemuan kami kali ini.
3. Dengan membuat pilihan, pastinya saya mengharapkan pertemuan kali ini, dapat melahirkan rasa insaf dalam diri kami, untuk sama-sama kembali kepada Allah s.w.t.
Tajuk: Hakikat sebuah Kehidupan
Mengenali Tuhan.
Tilawah: Surah Al-Mulk
(Dibincangkan
tadabburnya di akhir bicara)
Apabila kita berbicara mengenai
hakikat hidup, kita tidak boleh lari daripada mempersoalkan siapa
yang menghidupkan kita. Kalau saya bertanyakan kepada anda semua,
siapa yang mencipta kita, pasti kita akan menjawab tanpa perlu
mengambil tiga saat untuk berfikir. Kerana kita sudah dididik begitu
dari kecil lagi.
Dari ibu bapa, tadika, sekolah
rendah, begitu juga dengan sekolah menengah. Tetapi, sejauhmanakah
perkara yang kita ketahui itu benar-benar memberi kita keyakinan
untuk mempercayai hakikat pencipta yang mencipta kita? Sejauhmana
kepercayaan kita kepada pencipta, membawa kita untuk mencintainya
melebihi segala-galanya.
Kalau saya bertanyakan kepada
kalian, siapakah yang paling kalian percaya?
Adakah rasa percaya itu, menyebabkan
kita berasa cinta dan sayang kepada orang tersebut?
Sudah pasti kita akan mencintai dan
menyayangi dia, kerana kita yakin, dia tidak akan pernah melupakan
janji, tidak akan pernah menyakiti kita, tidak pernah berkehendak
untuk berbuat jahat kepada kita. Kerana kita sudah benar-benar
mengenali siapa dia yang sebenarnya.
Sampai satu tahap, apabila kita
mendengar sesuatu yang buruk mengenainya, kita tidak akan mudah
terburu-buru untuk percaya.
Itu keyakinan dan kecintaan kita
kepada manusia.
Sejauhmana pula keyakinan,
kepercayaan dan kecintaan kita kepada Allah sebagai pencipta?
Sejujurnya saya ingin berkata,
masalah yang kita hadapi pada hari ini adalah, kita tidak
sebenar-benarya mengenali pencipta kita. Buktinya kita kadangkala
tidak yakin dengan Allah. Kerana tidak yakin, kita mula mudah putus
asa apabila diuji. Bila kita mudah berputus asa dengan rahmatnya,
maka mustahillah kita akan menjadikan Allah sebagai kecintaan kita
melebihi segala-galanya.
Kata orang tak kenal, maka tak
cinta. Maka kita kena mengenali-Nya terlebih dahulu. Sebagaimana
terdapat dalam sebuah hadis:
"Barang
siapa yang mengenal dirinya, niscaya dia akan mengenal Tuhannya."
Kerana itu, berbeza antara orang
yang tahu dengan orang yang faham. Sebagai contoh, ada pelajar A dan
pelajar B di dalam sebuah kelas. Mereka diajar 1+1=2. Pelajar A hanya
sekadar mengetahui 1+1=2, manakala pelajar B faham, kenapa 1+1=2.
Maka apabila diberikan soalan lain, 1+2, pelajar A pastinya tidak
dapat jawab kerana tidak pernah mengetahui, berapakah jawapan untuk
1+2. Akan tetapi, pelajar B pastinya boleh menjawab, kerana memahami
kaedah tambah sesuatu nombor dengan nombor yang lain.
Dalam erti kata kehidupan kita pada
hari ini, sejauhmanakah kita benar-benar memahami tujuan penciptaan
kita? Ke manakah kita akan pergi setelah mati?
Pernahkah kita memberi peluang untuk
serius dalam memikiri hal ini? Inilah, inilah persoalan yang
seharusnya kita ketahui dan fahami jawapannya.
Kita lihat sendiri dalam kehidupan
manusia, daripada sekecil-kecil ciptaan manusia, semuanya ada sebab
dan tujuan penciptaan tersebut. Manusia mencipta pensil, untuk
menulis. Namun apabila menemui ketidak sempurnaan ketika menulis,
seperti tersalah eja atau sebagainya, manusia mencipta pemadam untuk
menyelesaikan permasalahan tersebut.
Manusia mencipta pelbagai jenis
perkara, daripada kreativiti, kepada inovasi, seterusnya mengalami
pelbagai transformasi, kemudian berlaku reformasi apabila sesuatu itu
memerlukan proses tersebut. Semuanya direka dan dicetuskan untuk
dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
Begitulah hebatnya akal manusia yang
Allah berikan kepada manusia berbanding dengan makhluk-makhluk yang
lain. Akan tetapi, sejauhmana manusia itu berfikir, kenapa dia
diciptakan? Andainya manusia mula memikiri akan hakikat hidup ini,
lalu berusaha untuk mencari kebenaran, pastinya Allah tidak akan
pernah meninggalkan hambanya keseorangan.
Saya tertarik untuk membawa kalian
meneliti kalam Allah yang diceritakan di dalam Al-Quran.
Buka surah Al-Anbiya' ayat 58-67.
Lihatlah sejauhmana bodohnya manusia
yang cuba untuk menolak kebenaran yang nyata. Ini kerana mereka telah
meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada nenek moyang mereka,
sehingga menjadi buta untuk menerima kebenaran.
Apakah kita mahu menjadi seperti
mereka?
Ya, kita beragama islam. Tetapi
sejauhmana kita mengenali Allah sebagai tuhan. Paling tidak,
sejauhmana kita benar-benar berusaha memahami kebenaran.
Yakinlah sahabat, perkara ini tidak
lain dan tidak bukan, kita sendiri yang memilih untuk tidak mahu
berfikir. Kerana banyaknya kecintaan kita pada dunia.
Kita mahu salahkan siapa dengan
kelalaian kita? Sedangkan Allah telah meletakkan fitrah kejadian kita
untuk mencintai-Nya. Sebagaimana dijadikan fitrah kepada kita untuk
berasa lapar dan dahaga. Mencari tempat tinggal untuk berteduh.
Bernafas untuk terus bernyawa.
(Ar-Ra'd:11) Menjelaskan kepada kita
bahawasanya, kebaikan-kebaikan itu sudah dekat dengan kita.
Al-Quran itu kebenaran yang nyata.
Segala yang ada padanya, tidak bisa disangkal oleh ahli sains mahupun
sesiapa.
Al-Kahf ayat 54.
Semoga kita tidak menjadi
orang-orang yang rugi, setelah dibentangkan kebenaran kepada
kita.(Al-Kahf: 57)
Allah tunggu taubat
kita.(Al-Hadid:16) Allah tanya kita, belum tibakah?
Jadi, inilah bukti kasih sayang
Allah, Allah mempertemukan kita semua pada malam ini. Dengan taufiq
dan hidayah-Nya. Untuk kita saling memperingati, agar kita kembali
menyucikan hati. Dengan menjadikan saya sebagai perantaran, bahkan
untuk peringatan kepada diri saya sendiri. Berapa ramai lagi di luar
sana, yang masih teruji dengan pelbagai mehnah duniawi.
Tetapi kita diberi kekuatan untuk
bertemu dan berkongsi.
Kerana Allah itu maha adil. Allah
tidak akan benar-benar memberi seksaan yang pedih kepada kita,
sekiranya Dia sendiri tidakpun menyalurkan peringatan demi peringatan
sepanjang hidup kita.(Al-Kahf:58)
Kerana itu, manfaatlah peluang yang
ada. Kerana tidak lain dan tidak bukan, peluang ini untuk membawa
kita bersungguh-sungguh mengejar cinta-Nya.(Ghafir:67) Jadi, dengan
fasa yang masih berbaki ini, semoga kita tidak sia-siakan atau bertangguh,
kerana apa? Kerana “ di
antara kamu, ada yang dimatikan sebelum itu”. Yaitu,
tidak perlu tua untuk mati, kerana syarat mati, bukan usia.
*Kembali kepada awal tilawah.
Jangan kita berputus asa dengan
rahmat-Nya. Terus kita pertingkatkan mutu ibadah kita. Kita kejar
balik cinta yang kita tertinggal. Jangan pula kita putus asa hanya
kerana kita sudah lama terleka. Seolah-olah tidak cukup untuk kembali
mengadu untuk mendapat keampunan-Nya.
Sebagaimana di dalam Surah
Al-Anbiya, Allah membuktikan di dalam kisah-kisah para Nabi bahawa,
keampunan dan makbulnya doa manusia, hanya kepada mereka yang
sungguh-sungguh merayu dan mengharap. Kisah Nabi Lut, kisah Nabi
Dawud, Kisah Nabi Ayub, Kisah Nabi Yunus, dan seterusnya.(Ghafir:60)
“Berdoalah, nescaya Aku perkenankan
”.
Jadi tugas kita,
terus berdoa dengan usaha dan bersangka baik dengan Allah. Kerana
itulah janji-janji Allah.
Kerana apa yang Allah lihat, adalah
amalan yang terbaik yang boleh kita laksanakan. Bukan kualiti, tapi
kuantiti. Istiqamah yang sedikitpun, insyaallah akan sering bertambah
cinta kita kepada Ilahi.
*****
Pertemuan kami bermula pada pukul 9:20 dan alhamdulillah, berakhir pada 10:20. Saya hanya merancang untuk melakukan pertemuan yang tidak terlalu lama, kerana dibimbangi kawan-kawan saya akan tepu menerima. Namun, saya sangat bersyukur kerana kami seronok berbincang antara satu samalain.
Untuk pengetahuan sahabat, tulisan di atas hanyalah lakaran kasar untuk saya bersedia sebelum bertemu dalam bulatan. Pastinya dalam perkongsian saya semasa pertemuan itu sedikit lain huraiannya. Namun secara kasar, berkisar dalam perbincangan tersebut sebagaimana yang telah dirancang.
Astaghfirullah.
0 comments