Saling Menasihati
7:00 PGAlhamdulillah dipanjatkan kepada Allah s.w.t. atas kurnian segala nikmat yang telah diberikan. Termasuk nikmat itu adalah ketika kita masih boleh mengingati-Nya ketika kita sedang teruji dengan kesulitan. Bukankah itu tanda hati kita masih mencari-Nya? Maka bersyukurlah terhadap ujian yang bisa mengembalikan hati kita untuk mengingati-Nya.
Semalam telah berlangsung pertemuan saya dengan sahabat-sahabat baru semester ini. Tugas ini, bukanlah dipinta, apatah lagi mahu dipilih, tetapi keyakian orang lain terhadap diri saya untuk memikul tanggungjawab ini. Menjadi pengendali kepada sebuah bulatan gembira.
Walaupun perkara ini boleh dikatakan sebagai aktiviti tahunan universiti, namun saya sangat rungsing akan tanggungjawab yang sememangnya besar ini.
Seharian sebelum hari pertemuan semalam bermula, membuatkan hati dan fikiran saya sedikit berlegar-legar di ruangan akal. Mana tidaknya, saya bukanlah orang yang layak untuk membawa perkara ini. Bukanlah saya seorang yang baik apatah lagi suci. Saya punya pekatnya hitam yang tersendiri.
Namun saya bulatkan juga hati yang longlai ini untuk menerima perkara ini sebagai takdir daripada Allah. Semalam telah menyaksikan pertemuan saya dengan mereka. Saya sangat bersyukur, apabila melihat senyuman-senyuman mereka ketika kami bertemu.
Sesi perkenalan yang sungguh santai. Terkadang bibir mengukir senyuman, terkadang cadar muka berkedut mendengar pengalaman unik masing-masing. Saya pula teruja berkenalan dengan mereka. Saya memang suka berkenalan dengan ramai orang. Dari situ banyak hikmah yang boleh saya perolehi.
Habis sahaja sesi perkenalan kami, saya mula kekok untuk memasuki sedikit pengisian. Saya sudah merancang, sebolehnya pertemuan pertama ini, kalau boleh tidak mahu lebih daripada satu jam. Agarnya pertemuan ini tidak mula terbancuh dengan suasana kebosanan.
Tetapi pertemuan tanpa memperingati diri masing-masing dengan perkara yang bisa membina iman, adalah suatu perkara yang sungguh merugikan. Maka saya berkongsilah sedikit sebanyak.
Pastinya mengenai perubahan. Setiap daripada kita mahukan kehidupan yang lebih baik bukan? Maka kehidupan tanpa penambah baikan adalah kehidupan yang penuh dengan kerugian.
Saya berkongsi kepada mereka mengenai pentingnya sentiasa memperbaharui diri sendiri. Pentingnya untuk kita memikirkan mengenai hakikat hidup di muka bumi ini. Siapa kita, dan kemanakah kita akan pergi setelah kehidupan dunia ini.
Hanya dengan sinopsis tersebut, saya ingin merancang agar pertemuan kami yang seterusnya bisa berkisar dalam skop yang lebih jelas demi kebaikan bersama.
Saya sangat berharap, agar ikatan ukhwah kita, akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat, dan kembali bersambung di dunia akhirat. Ketahuilah sahabat, saya bukanlah yang terbaik. Maka peganglah tangan saya juga. Kita saling menasihati. Daripada situ, ukhwah menjadi saksi. Kita menuju reda Ilahi. Walaupun kita masih dalam proses mujahadah menuju Ilahi.
0 comments