Persiapan Menghadapi Mati

6:00 PTG



   Alhamdulillah, pada hari ini, sempat mengambil ibrah di tanah perkuburan bersama sahabat-sahabat yang lain. Kelainan itu sedikit terasa kerana persinggahan di tanah kubur kali ini, bukanlah bersemadinya pusara datuk nenek atau waris, akan tetapi melawat waris seagama islam yang lain di tanah kuburan.

   Bersama dengan kitab suci Al-Quran, kami melangkah masuk dengan salam. Sunyi sepi di kawasan perkuburan ini. Kelihatan sedikit damai apabila kawasannya dijaga dengan begitu baik. Secara tidak sengaja, hati ini memikirkan atuk dan nenek yang telah kembali ke rahmatullah insyaallah. Terkenang seketika waktu mereka ada di sisi. Namun sekarang, mereka hanya dalam memori. Seolah-olah, setelah berpisah dengan dunia yang fana ini, masing-masing punya urusan masing-masing.

   Melihat susunan kubur yang berada dalam keadaan begitu rapi, membuatkan hati sedikit insaf memikiri, walaupun mereka semua disusun dengan baik, namun belum tentu nasib mereka di alam sana sama belaka. Mereka mungkin punya kehidupan yang tersendiri.

   Kami disuruh untuk mencari kubur yang paling mendapat perhatian. Bukan untuk dipuja atau melakukan ritual, tetapi sekadar menguji kami, manakah yang kami lihat senang di mata. Masing-masing cuba menunding jari ke arah kuburan yang indah dengan batu nisan yang cantik-cantik, dengan susunan dan aturan batu sungai yang sungguh menarik. Lompokan batu sungai yang berwarna putih dan hitam menjadi seri pada sesetengah pusara.

   Akhirnya, kami mengambil tempat duduk di satu pusara yang punya pokok-pokok yang menghijau banyak di sekelilingnya. Jeda seketika sebelum mendengar apa-apa bicara daripada salah seorang antara kami.

   Selesai sedikit pengisian, masing-masing diberi peluang untuk berkongsi ilmu seketika.

*****

Tiba gilliran saya, saya hanya mampu berkongsi secebis ilmu sahaja.

   Bila tajuk yang diberikan kepada saya adalah "Persiapan menghadapi mati" saya terfikir, apakah perkongsian yang ringkas tetapi punya isi dan mudah difahami. Apatah lagi dengan kondisi saya sebagai seorang pendosa, bukanlah orang yang alim dan kuat pegangan agamanya.

   Maka saya ingin membawa kita sama-sama merenungi, kalam Allah dalam Al-Quran di dalam surah Al-Mulk. Kerana surah ini selalu menjadi santapan kami di zaman asrama di SMKANI suatu ketika. Maka inilah surah terdekat yang berada di dalam fikiran.

   Di dalam surah ini, kita lihat ayat yang ke 2:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
 “(Allah-lah) yang menciptakan kematian dan kehidupan supaya Dia menguji kalian, siapa di antara kalian yang lebih baik amalannya. Dia adalah Al ‘Aziz (Maha Perkasa) Al Ghafur (Maha Pengampun).”
[QS Al Mulk: 2]

   Ibrah daripada ayat ini jelas, bahawa Allah menjadikan kematian dan hidup itu, untuk menguji kita. Ujian itulah yang membuahkan pelbagai amal. Samada untuk bersabar, atau berputus asa. Samada untuk bersyukur, atau kufur.

   Dan sekiranya kita punya sejarah silam yang kita sendiri ketahui, kita tidak sewajarnya berputus asa daripada rahmat Ilahi. Mungkin kita cemburu melihat mereka yang sudah lama berada di dalam jalan kebenaran. Punya hati yang khusyuk dengan penuh keimanan. Seolah-olah amalan mereka sudah begitu berlambak untuk mendapat kasih sayang Allah.

   Kita lihat kembali di dalam ayat yang saya kongsikan tadi. Allah mengatakan ahsanu amala, yaitu lebih baik amalannya. Bererti, Allah tidak melihat sejauhmana banyak amalan kita, akan tetapi, sejauhmana berkualitinya ibadah yang kita lakukan dengan masa yang berbaki, setelah ditampar Mak Cik Hidayah.( Ayat sesetengah buku zaman sekarang).

   Jadi, manfaatlah sepenuhnya peluang yang ada. Kadangkala istiqamah dengan amalan yang kecil akan membuahkan kecintaan yang lebih tinggi kepada Allah berbanding, amalan yang begitu banyak, sedangkan hati merasa berat. Pandai-pandailah kita mentarbiyah hati, agarnya ikhlas kembali kepada Ilahi.

   Inilah sebaik-baik persediaan kita menghadapi mati. Kembali kepada Ilahi dengan sepenuh hati. Ketika kita benar-benar terjentik dengan keinsafan yang menerjah diri.

   Pesanan yang sesuai untuk memotivasikan diri saya sendiri. Sama-samalah kita berdoa agar Allah menjadikan kita orang yang tidak berpaling setelah dibentangkan kebenaran di hadapan kita.

   Astaghfirullah...

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments