Umur Iman Kita
1:31 PG
Setiap yang hidup, akan mengalami pelbagai perubahan seiring meningkatnya usia, dek peredaran masa yang berlaku. Makhluk di muka bumi ini, tidak akan terlepas daripada mengalami perubahan dari segi sifat semulajadinya. Bahkan, benda ciptaan manusia sendiri akan punya hak kemampuan untuk sesuatu benda itu berfungsi dengan baik.
Lihatlah pada makhluk bergelar manusia. Tidakkah kita perhatikan? Bagaimana diri kita mengalami perubahan demi perubahan?
Saat kita dilahirkan. Kemudian kita berkehendak untuk bebas bergerak. Seterusnya merangkak. Diajar betatih untuk melayakkan diri berjalan. Kita kemudiannya menjadi kanak-kanak. Riang ria menjalani kehidupan. Menangis ketawa mengikut emosi yang menjengah badan. Kita seterusnya menjadi remaja. Episod konflik sebuah kehidupan yang penuh dengan pelbagai kehendak dan emosi yang berkecamukan. Begitulah seterusnya.
Kita dapat melihat secara zahirnya manusia itu mengalami perubahan umur seiring peredaran waktu. Perubahan secara biologinya sendiri.Begitu juga pada haiwan dan pertumbuhan tumbuh-tumbahan.
Akan tetapi, adakah kita mengira bahawa iman kita akan berubah dan bertambah dengan beredarnya masa?
Sahabat, ketahuilah, iman kita juga punya usianya. Namun tidaklah ia akan bertambah sendiri. Bahkan hanya menjanjikan semakin turun iman seseorang itu apabila tiada perubahan yang dilakukan, sedangkan waktu terus berjalan.
Mari kita renungi bersama. Apakah iman kita pada hari ini, sama seperti hari-hari sebelum ini? Terus, bagaimanakah untuk kita memastikan umur iman kita semakin matang dan bertambah?
Jawapannya telah Allah nyatakan di dalam kitab suci Al-Quran.
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Al-Ankabut: 2-3)
Maka ujiannya adalah, bagaimana kita terus berusaha untuk meraih redha Allah dalam kehidupan kita. Setiap daripada kita diuji dengan cara yang berbeza, akan tetapi ujian yang Allah berikan itu adalah dengan tujuan yang sama. Ianya untuk melihat, siapakah diantara kita yang cekal menghadapi.
Ketika nikmat diberi, apakah kita mensyukuri? Ketika musibah yang menyambar, adakah kita tega bersabar?
Perkara inilah yang akan membuktikan usia iman kita. Sekiranya kita tidak bisa mengurus kehidupan dunia dengan menyeimbangkan kehendak akhirat, maka jangan aneh jika umur mencecah usia, imannya persis kanak-kanak sahaja.
Kerana apa?
Kerana tiada pembaharuan dalam kehidupan. Tiada usaha untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik. Tiada daya usaha untuk mendalami dan menghayati kehendak agama yang perlu kita tunaikan.
Astaghfirullah, adakah kita mahu menjadi manusia yang rugi?
Pastinya tidak! Maka, tidakkah kita mahu mengambil, kesempatan yang Allah berikan ini, untuk berlari menuju redhanya. Dunia dipegang erat ditangan, akan tetapi, hati berkobar-kobar mahukan keredhaan tuhan. Bukankah ini manusia yang Allah mahukan?
Ibarat benih yang dicampakkan di bumi menjadi daratan yang berhias indah tanam-tanaman, dicampak di langit, menjadi gugusan bintang yang menghiasi malam.
Marilah kita sama-sama mematangkan iman dalam diri kita. Pertingkatkan kefahaman ilmu agama, agar kita menjadi orang yang benar-benar berkehendakkan redha Ilahi. Mungkin rebah ketika, untuk terus bangkit, jangan kita tunda.
Iman adalah refleksi hati yang akan membenihkan pelbagai perkara dalam diri kita. Jika kita sama sahaja dengan hari kelmarin, maka apa tujuan hari ini diberi?
Marilah kita sama-sama berdoa antara satu samalain. Agar Allah merahmati kita. Memberi keampunan kepada kita. Agar kita kembali merasakan diri hamba. Bukan hamba dunia yang punya nafsu yang bersikap raja.
0 comments