Cinta Kembali Bersujud
11:30 PTG
Entah mengapa, kalau bukan kerana dia telah menyebut insyaallah sebentar tadi, pastinya dia tidak akan sudi untuk menghadirkan diri. Kerana sepertinya apabila dia menyebut insyaallah, orang itu lantas menunjukkan wajah yang penuh gembira dan penuh harapan.
"Apa yang mereka mahu bincangkan sebenarnya ni?" Faruq bermonolog seorang diri sambil menunggu seseorang untuk hadir di beranda bilik kuliah. Dia ingin bergegas pulang, namun dia cuba untuk menunaikan hajat dari perbincangan sebentar yang dimaksudkan.
Sementara menunggu, Faruq hanya mengamati simpang siur mahasiswa yang lalu lalang di hadapannya. Masing-masing menunjukkan wajah yang ceria sahaja apabila waktu kuliah tamat.
"Assalamualaikum." kedengaran lembut sebuah salam dari belakang. Lantas Faruq membalas.
"Maaf buat awak menunggu lama." Annur sedikit terangguk tanda maaf kerana membuat Faruq menunggu. Mana tidaknya, dilihat Faruq lebih awal keluar dari bilik kuliah.
Sekilas Faruq melihat kelibat seorang lagi di balik tiang. Faruq mula tidak selesa. Insan itu punya cerita dengannya. Tiba-tiba sahaja Faruq membuat pelbagai andaian mengenai hajat Annur mahu berjumpa dengannya.
"Faruq. Saya ini kawan rapat dengan Mawaddah semenjak dia sudah mula mendekati jalan-jalan perubahan." Annur membuka bicara lantaran melihat kondisi Faruq yang tidak berubah apabila melihat Mawaddah di belakang.
Faruq hanya mengangguk. Menunggu bicara seterusnya daripada Annur. Dia tidak mahu tergesa-gesa. Sekurang-kurangnya, dia ingin membuka ruang untuk memahami kondisi sebenar terlebih dahulu.
"Awak pun tahukan. Dahulu Mawaddah bukan begini orangnya?" Annur sengaja menimbulkan persoalan, mahu mendapat respon daripada Faruq.
Faruq menatap mata Annur seketika, kemudian cepat-cepat mereka mengalih pandangan serentak. Faruq menombak mata Annur seketika kerana seakan-akan dapat membaca apa yang ingin disampaikan seterusnya.
"Berterus terang sahaja apa tujuan mahu berjumpa sekejap ni?" Faruq tidak mahu berlama-lama. Suasana sudah semakin lengang. Waktu tengahari sebegini, sememangnya tiada kuliah. Perpustakaan berhampiranpun sudah ditutup kerana waktu rehat. Walaupun dua perempuan satu lelaki, fitnah itu bisa saja datang dari pelbagai ruang.
"Saya tahu kisah kamu dengan dia. Dia sudah menceritakan segala-galanya."
Telah Faruq jangka perkara itu. Kerana sejak kebelakangan ini, Mawaddah sering dilihat bersama dengan Annur.
Annur mematikan kata sebentar. Dia menoleh ke belakang, melihat kelibat Mawaddah yang membelakangi di balik tiang. Dia kembali menghadap Faruq.
"Saya sudah cuba untuk memahamkan dia. Namun, ianya bukan suatu perkara yang mudah. Jadi, saya harap, awak boleh selesaikan perkara ini secara berdepan. Jangan risau, saya akan berada di sini sekali. Dia mahu mendengar dari suara awak sendiri."
"Apa yang hendak saya katakan?" Faruq mohon cadangan. Difikirannya, masalah dengan Mawaddah sudah selesai melalui sms sahaja. Segala-galanya sudah diterangkan, namun tidak disangka ada perkara lagi yang harus dijelaskan. Apatah lagi secara berdepan. Serius pula jadinya.
"Bagi penjelasan yang muktamad kepada dia. Kalau boleh jangan terlalu menggantung kata-kata awak sehingga orang tidak faham. Jelaskan dan bagilah kata putus dengan cara yang berhikmah."
Faruq menggaru kepala yang tidak gatal.
"Baiklah. Saya akan selesaikan segalanya di sini." Faruq seolah-olah membuat jaminan. Dia mengangguk.
Terus, Annur berlalu mendapatkan Mawaddah.
Setelah mereka berdua berada betul-betul dihadapan Faruq, suasana jeda seketika. Menunggu salah seorang bersuara. Annur serba salah menjadi orang tengah.
"Ada apa yang perlu saya jelaskan lagi?" Faruq tiba-tiba bersuara. Cuba profesional
Mawaddah masih lagi menatap lantai. Jemarinya yang menggenggam tangan Annur semakin bertambah erat. Annur merasakan riaksi yang berlaku kepada Mawaddah setelah Faruq bertanyakan hal sedemikian. Tidak semena peristiwa di dunia pesanan ringkas menerjah fikiran.
Telah dia luahkan perasaannya kepada Faruq melalui SMS. Pengakuan yang jelas, walaupun berselindung dibalik susunan ayat. Walaupun tanpa suara. Dalam SMS yang dihantar,sudah cukup menjadi wali untuk mewakili rasa.
Namun tidaklah seperti kehendak, apabila yang dibalas tidak seperti yang dihajat. Seolah-olah memberi bunga dibalas rumput. Penjelasan yang diberikan seolah-olah belum cukup untuk menyelesaikan cengkaman akar harapan yang semakin menjalar di dalam sanubari.
"Apa yang awak mahu saya lakukan agar awak menerima perasaan saya?" Mawaddah menggagahkan diri untuk bertanya. Dia ingin perkara yang berlegar di gelegar fikirannya segera berhenti.
"Apa kamu masih mahu saya memikirkan tentang perasaan kamu?" Faruq bernada dengan suara yang diramu dengan sedikit kebingungan. Kononnya perkara ini seolah-olah dibangkitkan kembali setelah difikirkan selesai.
Annur hanya menelinga. Sekadar menjadi tugu saksi bahawa Mawaddah dan Faruq tidak berdua-duaan.
"Saya tidak faham dengan jawapan kamu. Jodoh itu di tangan Allah. Maka adakah ruang untuk saya mengharapkan jodoh saya adalah kamu?" Mawaddah bersuara sedikit keras. Namun, dia masih tidak berani untuk mengangkat pandangannya menatap Faruq.
"Memang jodoh itu di tangan Allah. Allah berhak menjodohkan saya dengan sesiapa sahaja. Dia menciptakan, apatah lagi berhak menentukan."
Suasana sepi seketika setelah Faruq memangkas persoalan Mawaddah dengan segera. Tentang hal ini, memang sudah dibincangkan dalam SMS. Tak sangka, maksud sebenar belum sampai.
"Jadi, adakah ruang untuk saya berharap.....jodoh saya adalah dengan kamu?"
Soalan yang sungguh berani.
Faruq mengerti, dalam kondisi ini, seharusnya dia lebih jelas dengan kata putus YA atau Tidak. Namun, Faruq masih meletakkan, perlbagai perkara mungkin boleh berlaku. Apatah lagi, takdir itu adalah rahsia untuk dia tetapkan dengan terburu-buru. Mahu sahaja dia katakan tidak, namun keraguan dengan cara berhikmah itulah yang membuatkan dirinya sukar untuk berkata Tidak!
Apakah kerana dia terlalu ingin menjaga hati orang lain?
"Saya tidak berhak untuk menentukan siapa jodoh kamu dan siapa jodoh saya. Buat masa ini, lebih baik kita menjaga hati masing-masing, fokus kepada cita-cita, sayangi keluarga dan ibu bapa. Akan tiba masanya nanti, perkara mengenai jodoh akan selesai. Tidak begitu?"
"Kalau begitu Faruq, salah siapa yang menghadirkan perasaan ini?"
"Tidak ada salah siapa. Bahkan salah kalau kamu berfikiran sebegitu. Kerana itu adalah fitrah ujian kepada sesiapa sahaja yang bergelar manusia normal yang punya hati dan perasaan. Tugas kita untuk menjaganya. Itu sahaja."
"Memang saya sedang berusaha untuk menjaganya. Tapi sekurang-kurangnya, saya ada kata putus dari hati kamu. Tidak adakah sedikit perasaan untuk saya. Sekurang-kurangnya, perasaan ini berasa selesa dan tenteram." kali ini Mawaddah menatap Faruq, kemudian dialihkan ke arah lain apabila pandangan mereka mula bertembung.
"Kalau Ya, apa solusi kamu, kalau Tidak, apa solusi kamu?"
"Saya fikir kamu boleh nilai sendiri. Dan saya tahu, kamu pastinya mahu yang terbaik. Kerana itu saya cuba memperbaiki diri saya. Saya sedar saya selama ini sudah terlalu jauh dengan kebaikan. Langsung tidak menghiraukan soal agama. Namun perasaan cintakan awak membuatkan saya sedar bahawa saya punya tuhan."
Nafas ditarik.
"Saya berubah untuk membuatkan awak yakin dengan saya. Awak tahu, perubahan ini sungguh sakit. Jilbab ini, berapa ramai kawan-kawan saya yang mengejek saya hipokrit, munafiq dan fasiq. Tapi saya yakin pada Allah. Kerana Allah menguji saya dengan awak. Awak telah banyak memberi saya kekuatan. Saya tidak peduli apa yang berlaku. Asalkan saya dapat menjadi lebih baik, dan lebih baik daripada awak. Apa awak belum rasa apa yang saya rasa?"
"Apa yang awak mahu saya rasa?" Faruq dengan nada yang mendatar bertanya.
"Saya mahu awak rasa yang awaklah kekuatan untuk saya terus berubah. Kerana Allah telah uji saya melalui awak untuk terus berubah."
"Jadi awak mahu saya rasa cinta dan ingin menjadikan awak pasangan hidup?"
"Saya tidak boleh memaksa. Tapi jika niat awak murni kerana ingin terus membimbing saya menjadi orang yang lebih baik, mungkin suatu hari nanti awak sendiri akan memahami perasaan awak."
Suasana jeda kembali. Mata Mawaddah bertakung manik-manik air, namun digagahkan agar tidak mengelar pipi. Annur pula kali ini memegang erat jemari Mawaddah. Mawaddah terasa sedikit puas.
"Saya kesihan dengan kamu dan diri saya." Faruq bersuara mendatar.
"Maksud kamu?" Annur bingung.
"Err... maaf, saya mencelah." Annur setibanya sedar, dia tidak harus masuk campur ketika ini.
"Syaitan menjadikan saya bahan untuk melalaikan keikhlasan kamu. Perubahan yang kamu lakukan, Allah uji melalui perasaan kamu kepada saya."
"Saya tidak mengerti maksud kamu." Mawaddah membalas segera sebelum Faruq terus mengungkapkan bicara yang tidak diketahui tujuannya.
"Kalau kerana saya kamu ingin berubah, perubahan kamu ini tidak ubah seperti hijrah Ummu Qais. Berubah kerana keinginan yang kamu mahukan, bukan ikhlas kerana Allah."
Annur mengangguk perlahan.
"Kamu tidak berhak menguji keikhlasan seseorang." Mawaddah menempelak.
"Semua jelas Mawaddah. Telah kamu jelaskan satu-satu tadi. Saya berharap kamu bisa fikirkan kembali. Apa yang kamu harapkan daripada perubahan kamu ini. Tanyalah dengan sepenuh ikhlas dengan hatimu."
"Kamu lagi-lagi mahu pertikaikan soal ikhlas. Saya ikhlas ingin berubah. Walaupun kamu adalah satunya. Tapi ujian hati ini menyedarkan aku kembali bahawa aku sudah lama leka selama ini."
"Apa tanpa saya kamu akan terus berhijrah?" Faruq bertanya.
"Insyaallah saya akan terus berada di jalan ini. Cuma andai kata kamu meraikan perasaan ini, saya akan menjadi lebih kuat dan tabah."
Annur menggosok belakang Mawaddah perlahan. Ada bau sebak dalam nada bicara yang didengari. Jauh dalam lubuk hati, Annur mahu Faruq terus memberikan penjelasan lagi dan lagi. Agarnya lebih terkesan, kerana kali ini, nasihat itu daripada Faruq sendiri. Walaupun sebelum ini, pernah dia menasihati persis apa yang Faruq sebutkan tadi.
"Malulah pada diri kamu Mawaddah. Kamu seolah-olah ingin berpoligami dengan cinta Allah. Sedangkan Allah tidak memerlu sekutu untuk meningkatkan cinta kepada-Nya." Faruq bernada sedikit tegas.
"Kalau tidak, katakan sahaja tidak Faruq." Mawaddah sudah malu seribu bahasa, dia tidak mampu menampung beratnya air mata. Diheret tangan Annur untuk segera berlalu.
"Mawaddah!" Faruq menahan langkah mereka dengan memanggil nama itu. Langkah berhenti tapi Mawaddah tidak tega berpaling.
"Surah At-Taubah ayat 24. Insyaallah."
Mawaddah berkerut rupa, menahan apa yang diterima. Namun digagahkan untuk menelan hakikat ini. Nafas dalam ditarik. Dia seperuh menoleh ke belakang.
"Terima kasih. Kamu sudah benar-benar membuat saya malu untuk melihat kamu. Saya tetap menghargai suratan takdir ini. Hidayah Allah melalui kamu Faruq. Assalamualaikum."
"Waalaikummussalam..."
"Mawa, tunggulah Ann." Annur mengejar langkah pantas Mawaddah. Faruq hanya memerhati langkah itu berlalu pergi.
*****
"Mawa, tidak perlu difikirkan lagi. Dia sudah memberi penjelasan yang cukup jelas. Dia tidak memandang perkara ini serius untuk diberi perhatian." Annur cuba memujuk Mawaddah. Melihat Mawaddah yang dari tadi berteleku dalam posisi tahiyat akhir seusai solat isyak berjemaah.
"Saya malu Kak. Saya malu dengan diri saya. Saya telah mempertaruhkan hati kepada seseorang yang tidak langsung ingin menyahut perasaan saya." Mawaddah bersuara perlahan. Dia langsung tidak menatap wajah Annur. Sekadar melihat melalui ekor mata sahaja.
"Tapi saya bersyukur..." getaran sebak mula bergoncang dikerongkong.
"Saya bersyukur kerana saya jelas dengan kecintaan Allah dalam diri saya. Saya salah dalam meletakkan kekuatan mencintai-Nya. Saya menipu diri sendiri." manik suci mula berpisah dari kelopak mata. Hiba mula memeluk emosi dengan penuh erat.
Annur melihat sekeliling. Suasana sudah lengan seusai habis berdoa. Dalam tinjauannya itu, dia terlihat sesuatu yang mengembalikan ingatannya terhadap sesuatu. Dia bingkas bangun.
Lekas kembali mendapatkan Mawaddah.
"Ini, masih ingat pesanannya yang terakhir?"
Mawaddah melihat apa yang dihulurkan Annur. Dia menatap mata Annur sedalam-dalamnya. Mata berkaca itu, inginkan jawapan yang dimaksudkan. Annur mengangguk.
"At-Taubah, ayat 24." mindanya mencedok kembali kotak memori tengahari tadi.
Dalam lemah jemarinya membelek mendapatkan ayat itu, dia benar-benar bersedia untuk mengetahui, apa yang ingin dimaksudkan daripada pesanan terakhir itu.
Ya, ini dia.
Surah At-Taubah ayat 24 yang bermaksud:
"Katakanlah,'Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu bimbangkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusan-Nya.' Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik."
Hatinya tertikam pedang keinsafan. Berdarah emosi, malu kepada Tuhan. Hijrah selama ini yang berada dalam mainan syaitan. Angan dan igauan ikhlas,yang tidak kesampaian.
"Ya Allah, Engkau Yang Maha Satu,
Tidak memerlukan kecintaan palsu,
Keaslian cinta yang tidak perlu bersatu dengan kehendak nafsu yang terburu,
Sedangkan aku hambamu yang telah tertipu,
Hijrahku kerana manusia yang kukagumi bertakhta di hati,
Takhta yang menjadikan ikhlas sebagai hamba abdi,
Akhirnya aku sendiri mengotori cinta yang suci,
Terimalah taubatku ini Ya Allah,
Aku kembalikan cinta ini, dengan sujud padamu,
Aku ingin,
Cinta kembali bersujud."
Dahi Mawaddah mula menjamah sejadah. Hatinya penuh pasrah. Apa yang terkandung dalam ayat At-Taubah. Cukup untuk menjelaskan hakikat cintakan Ilah.
Annur membenarkan Mawaddah berkhalwat dengan Allah dalam sujudnya itu. Biarkan....
BIARKAN CINTA KEMBALI BERSUJUD.
0 comments