Dilema Pendosa Perindu Syurga

12:56 PG


   "Kau tidak cari kerjakah cuti-cuti ini?" Saya bertanya,memandangkan kawan saya itu Kamal(bukan nama sebenar) baru sahaja menghabiskan peperiksaan akhir di tingkatan enam.Itulah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).Pengajian Usuluddin aliran yang di ambil.

   "Hajatnya mahu carilah.Hendak duduk sahaja sambil goyang kaki memang tidaklah." lantas dia membalas.Penuh yakin pastinya.Apakah kita mahu menjadi orang yang rugi sedang kelapangan diberikan Ilahi?

   "Kerja yang macam mana itu?" mahu lebih mendalami perancangan sahabat ini.

   "Entah lah.Masih fikir-fikir dahulu."

   Jeda seketika.Saya hanya mengharapkan dia sambung bercerita.

   "Hari itu,Abu dengan Azfar ada mahu bekerja dekat kedai ini.Tapi aku terangkan sahaja kenapa tiada kewajaran untuk bekerja di situ." suaranya berbau kesal.

   "Kenapa tidak boleh?"

   "Mana tidaknya.Aku tidak ingin menjadi salah seorang yang terlibat dalam menjual perkara haram.Rokok itukan haram.Niat kita mungkin bagus,tapi jika kita bersekongkol dalam perkara yang haram,aku rasa tidak elok.Aku tidak ingin termasuk dalam golongan yang dimaksudkan dalam hadis mereka-mereka yang turut berdosa dalam perkara haram."

   Tidak semena saya teringatkan sepotong hadis yang pernah dipelajari.Hadis tersebut yang berbunyi;

"Dari Annas bin Malik katanya : Bahawasanya Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaknat sepuluh golongan yang berkaitan dengan arak iaitu : Yang memerahnya, yang minta diperahkannya, yang meminumnya, yang membawanya dan minta dibawa kepadanya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang makan harganya, yang membelinya dan yang minta dibelikan".
(Riwayat Al-Imam At-Termidzi)

   "Owh,memang perkara yang patut dihindarkan selagi berkait dengan perkara haram." saya mengiakan.Walaupun hadis tersebut membincangkan perihal arak,namun para ulama telah mengkiaskan pengharaman tersebut dengan perkara-perkara yang sewaktu dengannya.Termasuk rokok.
   
   Di Malaysia,Majlis Fatwa telah memutuskan bahawa rokok adalah haram semenjak ia diwartakan pada tahun 1995.Boleh rujuk pada link ini untuk mengikuti perkembangannya di media.


   "Kalau jual alat seperti kondom itu,aku masih boleh terima.Kita mungkin boleh menggunakan alasan perancangan keluarga.Tetapi untuk rokok,memang tidak boleh dinafikan lagi." lantang di berbicara.

   Sungguh saya kagum dengan huraian itu.Mungkin ini secara tidak langsung menjentik minda saya,memandangkan saya tidak pernah berfikirkan hal itu sebelum ini.Ada benarnya.Walaupun kita hanya menjadi Cashier sahaja,kita turut terlibat dalam jual beli tersebut.

   Secara tidak langsung,saya teringatkan kedai-kedai yang pernah menjadi perhatian saya untuk dijadikan kerja sambilan.Seingatnya,kedai-kedai tersebut memang menjual rokok.Saya terkesima seketika.Kenapa saya tidak fikirkan perkara sebegini sebelum ini.

   "Bagus juga penerangan kamu.Kenapa aku tidak terfikir sebelum ini." rasa bersalah pastinya menghentap jiwa.Belajar,tapi tidak diamalkan.

   "Itulah.Benda-benda macam ini kita kena fikir.Kalau tak,sia-sia belajar.Sudah berdosa,ada tambahan.Tapi alhamdulillah juga sebab mereka berdua terima dengan hati terbuka."

   "Memang patut difikirkan.Kagum aku dengan bakal ustaz ini.Tak rugi ambil usuluddin." saya mencucuk gurau.Dalam gurau,ada kagum terselit.


Kerana kita,perlu sedar hakikat dosa


   Ada orang kehairanan apabila saya sering membicarakan mengenai dosa.Ya,saya akui kerana saya pendosa.

   Namun persoalan di sini,bukan berlegar dalam erti kata dosa yang pernah kita lakukan.Dalam setiap dosa itu,ada pintu taubat yang sering terbuka luas untuk kita.Tanda kasih dan sayang Allah kepada hambanya.Seusai bertaubat,ikhtiar untuk menghindari dari mengulangi perkara yang sama.Yang telah berlaku,urusan kita dengan Allah sahaja.

Tetapi dosa yang sangat perlu kita takutkan adalah dosa yang tidak kita ketahui.

   Apa kita sudah benar-benar menjalani kehidupan kita tanpa dosa besar ataupun kecil?Kita mungkin melihat perkara ini secara kasar sahaja.Makanya kita merasa selesa.

   Kerana apa saya tekankan soal dosa yang tersembunyi?

   Ingat!Tersembunyi adalah perkara yang kita tidak ketahui.

   Apa kita sudah cukup mengetahui segala-galanya?Untuk diri saya sendiri.Saya berani mengatakan TIDAK!Apa kita sudah cukup arif dalam menekuni ilmu agama kepada kita?

   Dan yang lebih penting.Apa kita selalu membuka minda kita dengan ilmu-ilmu yang baru,yang tiada dalam silibus pelajaran di sekolah?

   Inilah perkara yang harus kita takutkan.Ingat.Saya pernah tekankan dalam artikel sebelum ini.Semua ilmu yang terbuku,sudah tersedia di kedai buku.Guru-guru dan para ulama',sudah tersedia berkongsi ilmunya di setiap genap.Cuma kita sahaja.Sejauh mana berasa selesa,atau rasa berdosa.

   Saya sering tegaskan pada diri sendiri.Andai terlalu malas untuk menghadirkan diri di majlis ilmu,biarlah kita menjemput ilmu hadir dalam hidup kita.Antaranya melalui pembacaan yang pastinya membicangkan pelbagai masalah yang tersedia.
   
   Semoga kita sama-sama ikhtiar menuju keredhaan-Nya.


Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments