Apa Yang Dikatakan Sebagai Petunjuk

9:44 PTG



   Memahami Al-Quran sebagai petunjuk kehidupan,harus berlandaskan kefahaman yang betul.Jika kita tersilap pandang,kita tidak akan dapat memahami fungsi dan mukjizatnya kepada kita.

   Sungguh manusia hanya akan mampu meneruskan kehidupan,apabila keperluannya dipenuhi.Ingat! Ada beza antara keperluan dan kemahuan.Kerana itu saya katakan,keperluan yang dipenuhi,akan meneruskan kehidupan kita di dunia ini.

   Asas keperluan manusia yang kita semua ketahui adalah tempat tinggal,pasangan hidup,begitu juga makan dan minum.Tempat tinggal adalah tempat untuk kita berlindung dari sebarang ancaman atau bencana.Pasangan hidup pula diperlukan dalam melahirkan generasi manusia yang seterusnya.Manakala makan dan minum,untuk mengelakkan manusia mati kerana kebuluran dek tuntutan jasmani tidak dipenuhi.

   Itulah serba ringkas keperluan manusia dalam meneruskan kelangsungan hidup.

   Perkara yang menjadi isu adalah,apabila kemahuan diberi perhatian yang tidak kurang pentingnya.Sehinggakan ada mereka yang berpendapat,mereka memerlukan teknologi seperti penggunaan smartphone,komputer,atau seerti dengannya untuk meneruskan kehidupan pada era moden kini.Kononnya,ada penambahan keperluan manusia,kerana perubahan zaman yang menuntut manusia untuk melakukan sedemikian.Pendapat masing-masing.

   Di sinilah manusia teruji dengan kemahuan masing-masing.Kemahuan yang berpaksikan nafsu,demi sebuah kepuasan.Demi sebuah pilihan keseronokan hidup,untuk menterjemahkan bahawa kita sudah gembira dan tidak berdukacita di dunia ini.

   Namun tidak semudah itu kemahuan berjalan dalam kehidupan seharian.Kerana apa saya mengatakan sedemikian?

   Kerana nafsu itu,jika tidak dijinakkan dengan agama yang membawa kebenaaran,pastinya akan mendatangkan kerosakan ke atas dunia ini.

   Oleh sebab itu,diturunkan al-quran dan as-sunnah(melalui para nabi sebagai utusan) untuk membimbing manusia,sebagai pemberitahu pengajaran dan panduan.Hal ini dikatakan demikian kerana,perbuatan manusia itu terbahagi kepada dua.Ada perkara yang tidak perlu diajar.Ada perkara yang perlu diajar.Jika tidak diajar,kehidupan manusia akan tergendala.

   Seperti mana keperluan manusia untuk memiliki pasangan.Jika tidak diajar hukum hakam dan adab dalam memiliki pasangan,tentunya manusia akan bertindak mengikut hawa nafsu semata.Mulalah berlaku kes anak luar nikah,sekaligus mengotorkan kesucian nasab seseorang yang bakal dilahirkan.Entah siapa yang mengandungkan ibu?

   Contoh mudah perkara yang tidak perlu diajar adalah makan dan minum.Sebab itu kita tidak jumpa hadis ataupun ayat Al-quran yang menyatakan "Sesiapa yang lapar,hendaklah dia makan."

   Kerana itu Nabi s.a.w. tidak mengajar perkara semua manusia sudah tahu.Sebaliknya membawa pengajaran dan peringatan dalam membezakan makanan yang boleh di makan(halal),dan perkara yang memudaratkan jika dimakan(haram).

   Maka sedarlah kita sebagai manusia yang memerlukan bimbingan yang lengkap dalam mendamaikan cerita kehidupan selagi bernyawa.Ketika kita merasakan islam terlalu membataskan,percayalah,itu adalah bisikan daripada syaitan yang bertujuan memporak perandakan kehidupan kita.

   Kerana itu saya ingin berpesan kepada diri sendiri,janganlah terlalu ego untuk mengambil pengajaran daripada al-quran.Sungguh,al-quran itu adalah petunjuk dan mukjizat yang jelas kepada manusia,tanpa mengira zaman dan ketika.

   Insyaallah,sama-sama kita mengambil ibrah dari kandungannya.


*Sedikit rujukan dari : Buku "Deme Wasap Ambe Reply" karya santai Ustaz Azhar Idrus.

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments