Kononnya Mengelak Riak

12:21 PG



Astaghfirullah...
Maha Suci bagi Allah.

   Ketika ini,saya menonton satu video yang cukup menyentuh hati.Menggerakkan jemari untuk turut berkongsi sekecil-kecil dakwat di teratak ini.Ilmu yang hadir untuk menjentik hati,pastinya menyentapkan akal.

   Saat kita bimbang akan amalan yang selama ini yang kita lakukan adalah bakal timbulnya perasaan riak,terus kita meninggalkan amalan tersebut dengan andaian,riak tidak akan bertandang.Maka sedarlah sahabat sekalian bahawasanya itu adalah riak yang sebenar-benarnya.

   Pernah juga terdetik perasaan itu dikala kita dalam proses mempertingkatkan amal ibadah dalam kehidupan seharian kita.Ikhtiar kita untuk lebih dekat kepada Allah s.w.t.Usaha kita untuk menabung lebih banyak amal dalam neraca amalan kebaikan.Maka sedarilah syaitan itu sungguh licik perancangannya.

   Perasaan yang cuba mengkategorikan amalan tersebut sebagai riak mula mengganggu fikiran.Kita mula tertanya-tanya harga sebuah keikhlasan.Maka kita buntu memikirkan jawapan.Sehingga mengambil alternatif untuk meninggalkan amalan tersebut semata-mata kerana riak yang mungkin bertandang.

   Percayalah sahabat.Itu adalah sebenar-benarnya tipu daya syaitan untuk menyekat kita daripada terus mempertingkatkan amalan,ataupun memperbaiki amalan yang kita lakukan.

   Perkara yang harus kita fikirkan adalah rialiti iman kita sebagai manusia biasa.Dari zaman sekolah lagi kita telah didedahkan tentang kategori-kategori iman ini kepada kita.Begitu iman para malaikat,manusia dan syaitan.Kita adalah manusia yang diketagorikan sebagai iman yang punya naik dan turun.Terimalah hakikat ini.Namun tidak bererti kita harus terleka dalam kehidupan.Kerana itu petingnya kesedaran dalam diri kita.

   Menjadi cabaran untuk kita istiqamah dalam amal ibadah yang punya banyak cabang daripadanya.Terkadang kita melakukan amalan sunat,demi mempertingkatkan amalan dan ibadah kepada Allah.Maka itu adalah suatu usaha yang baik.Tetapi jika perasaan takutkan riak itu bertandang,apa yang harus kita tanamkan dalam diri kita adalah supaya terus berdoa agar Allah menjaga amalan kita.Ketika kita terjatuh,kita mohon agar dibagunkan.Ketika kita tersungkur,kita bangkit untuk mengubati.

   Apa yang pasti,jangan kerana perasaan was-was yang hadir dari musuh utama manusia itu,melenyapkan usaha kita untuk merasakan kemanisan-kemanisan  dalam amalan-amalan sunat yang lain.Yakinlah,Allah mengetahui niat kita.Mungkin benar kata orang,amalan harus mengikut keupayaan.Namun kita hidup hanya sekali untuk merasai kemanisan beribadah.Mungkin kita akan tersungkur di medan istiqamah,jangan sampai kita iktirafkan diri sebagai lemah,sehinggah menghalang diri untuk melakukan ibadah.

Astaghfirullah...Sama-sama merenungi diri yang punya kelemahan yang tersendiri.Insyaallah.

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments