Suratan Buat Adik-adikku SKBJ

10:14 PTG


Adik-adikku,
Biarpun kau bukan serahim ibuku,
Namun kau tetap kukira satu,
Kerana kita memburu,impian itu,
Pada impian yang satu,rerantingnya beribu,

Adik-adikku,
Pernah kau dengarkan sebuah lirik lagu?
Marah bukan kebencian,tapi tanda sayang padamu,
Pernah kau dengar perumpamaan,ibarat irama dan lagu?
Makaku kira,kasih sayang dan rindu,tak semudah berpisah begitu,

Adik-adikku,
Nakalmu bukanku kira kerasnya hatimu,
Namunku kira,lembutnya selembut hempedu,
Apa yang perluku bantu,
Adalah membimbing dan menasihatimu,
Kerana abang juga mungkin,dahulunya begitu,

Adik-adikku,
Madah,terkadang tidak sebegitu indah,
Puisi,tak selalunya menyentuh hati,
Rindu,mungkin sekejap bertamu,
Namun yakinlah,pertemuan kita diaturkan Yang Maha Satu,
Maka kenapa tidak,perpisahan ini kita kira dekat,dengan sering berkongsi doa di kalbu,

Adik-adikku,
Ingin sekali aku menasihati,
Bahawa,bawalah diri dengan berhati-hati,
Pilihlah jalan kebaikan,sebagai pokok kebahagiaan,
Bahkan anggaplah keburukan,gergaji yang tajam,
Bila-bila masa,potongannya merebahkan dedahan,

Adik-adikku,
Ketika diuji,bersabarlah,
Allah pasti mendekat,
Ketika gembira,bersyukurlah,
Pasti Allah,menambahkan nikmat,

Adik-adikku,
Ingin sekali kupotret segalanya di sini,
Biarpun bisu,mungkin inilah bisikan kalbu,
Harapnya hati kita,saling berbisik,
Supaya telinga,tidak cemburu dengan apa yang abang kongsikan,
Supaya mata,menjadi saksi setia suratan ini antara kita,
Owh sungguh,sukarnya menurunkan noktah,
Maka adik-adik,anggaplah impian kita belum sudah,
Agarnya kita kembali bersama,di syurga Allah.

*****
   Adik-adik.Andai kata adik-adik membaca apa yang abang nukilkan di sini.Ingin sekali abang berpesan sepuas-puas hati kepada adik.Tapi,adik-adik jangan pula biarkan tulisan ini sebagai pelangi di siang hari.Indah sebentar,kemudian hilang pergi.

   Abang Syafiq sangat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berjumpa dengan adik-adik.Untuk adik-adik pelajar perempuan,mungkin abang tidak mesra.Itupun kerana,kakak-kakak fasilitator yang lain,sejantina dengan adik-adik,sudah sudi untuk menjaga adik-adik.Apatah lagi,adik-adik perempuan matangnya lebih awal berbanding lelaki.Harapnya adik-adik perempuan mengerti apa yang cuba abang maksudkan di sini.

    Selama tiga hari dua malam kita bersama.Melihat telatah adik-adik,yang kadang kala menguji iman di dada.Tapi,abang sempoi sahaja.Apakan daya,namanya pun sekolah rendah.(Jangan marah)

   Tapikan adik-adik.Abang sudah menganggapkan adik-adik sebagai sebuah permata yang sangat berharga.Mungkin abang tidak sempat mengenali semua.Tetapi ketahuilah,abang sudah sedaya upaya ingin mengenali semua adik-adik skbj.Maaf kalau abang ada buat lawak yang mungkin terguris hati adik-adik.Main gunting,batu,kertas pun asyik abang yang menang.Apa lagi adik-adik asyik cemburu dengan abang,katanya abang lagi handsome dari adik-adik.Alah,keluar pula bab ni.Nanti adik besar nanti pun,handsome juga.Banyakkan bersabar. 

   Sudahlah.Itu kiranya selingan.

   Abang nak pesan dekat adik-adik.Kehidupan ini ada banyak cerita.Mungkin adik punya cerita kehidupan yang sendiri.Ketahuilah adik-adik.Andai adik-adik tabah mengharungi ujian itu dengan banyaknya bersabar,Allah akan lebih dekat dengan adik-adik.

   Waktu program,abang ada dengar juga gosip-gosip pasal cinta-cinta ni.Macam mana ya mahu abang cakap.Beginilah adik.Setiap manusia,tidak terlepas daripada kesilapan bukan?Jadi,abang berpesan,jagalah hati adik-adik daripada mainan cinta yang tak penting dengan usia dan ketika ini.Adik ada banyak lagi benda yang harus difokuskan.

   Lebihkanlah cita-cita berbanding cinta.
   Lebihkanlah usaha berbanding mimpi semata,
   
   Semoga adik-adik semua buat yang terbaik dalam peperiksaan UPSR yang tak lama lagi.Hadiahkan ibu bapa dengan keputusan yang membanggakan.Jangan pernah mengalah.Adik tidak akan gagal,sehinggalah adik sudah berputus asa.

   Semoga kita bertemu lagi di lain hari.Insyaallah. :)


#skbj
#upsr2015
#kosmik

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments