Antara Syukur dan Sabar
2:48 PTG
Satu perkongsian yang cukup menarik untuk saya kongsikan kepada kalian semua pada kali ini.Sungguh,saya merasakan tiada keadilan andai keindahan ilmu ini tidak dikongsikan kepada kita bersama.
Sebelum saya meneruskan perkongsian,izinkan saya bertanya khabar akan kalian semua.
Apa khabar iman pada hari ini?
Jawapannya simpan di dalam hati.Insyaallah,masing-masing mengetahui kondisi iman masing-masing.Adakah segersang padang sahara di timur sana?Atau mungkin berbunga indah bak musim bunga yang menyimbah.
Melihat kepada syukur dan sabar,apa yang tergambar dalam fikiran kalian?Bersyukur mungkin kita takrifkan sebagai berterima kasih kepada tuhan atas nikmat-nikmat yang telah diberikan.Sabar pula mungkin diertikan sebagai bertahan dalam suatu kondisi yang mungkin menguji iman dan sangat memeritkan.Seringkali ketika ditimpa musibah,orang berpesan,sabarlah!Ketika mendapat limpahan nikmat,syukur alhamdulillah.
Tidak begitu pemahaman kita?
Namun kali ini,saya sangat menyedari suatu perkara.Mungkin saya sendiri pernah mendengar nasihat yang berbau seperti ini.Namun mungkin antara tidak sedar barangkali.
Orang yang benar-benar beriman itu adalah mereka yang sentiasa bersangka baik kepada Allah s.w.t.Jadi,penerimaan mereka yang benar-benar beriman terhadap ujian yang menimpa kehidupan mereka adalah suatu perkara yang dirasakan adalah yang terbaik oleh Allah sendiri.
Kita boleh mengatakan,ujian yang teruji dalam bentuk keperitan atau kesakitan memerlukan kita untuk bersabar dengan ketentuan yang telah berlaku.
Perkara yang membezakan antara syukur dan sabar adalah sesuatu yang sangat ketara cara penerimaannya.
Kita perhatikan.Ada orang yang bersabar saat diuji.Ada orang bersyukur saat diuji.
Bersabar ketika diuji merupakan suatu kebiasaan dalam kehidupan kita.Rata-rata mereka yang menasihati kita ketika ditimpa musibah juga adalah menyuruh kita untuk terus bersabar dan bersabar.Maka kita mengira keperitan yang diterima itu adalah suatu ujian untuk menguji kesabaran kita.
Berbeza pula dengan mereka yang bersyukur saat diuji.Penerimaan mereka kepada ujian tersebut adalah dengan merasakan ujian tersebut sebagai anugerah.Masyaallah,bagaimanakah situasi orang ini?Orang ini berkehendakkan dirinya untuk fokus kepada pengajaran ataupun iktibar daripada ujian yang menimpa dirinya.Dengan merasai adanya sekelumit hikmah,dirasakan ujian itu bukan lagi sebab kepadanya untuk lemah,bahkan merupakan satu nikmat daripada Allah s.w.t. untuk membenihkan iman yang sering bercambah.
Saya tidak menafikan bahawa kita dididik untuk terus bersabar dalam segenap perkara yang berlaku dalam kehidupan kita.Namun,apa yang cuba saya bawakan pada penulisan kali ini adalah sejauh mana hebatnya situasi sabar dan syukur.
Pernah juga saya mengemukakan kenyataan,
Saat diuji,kita bersabar.Saat diberi nikmat,kita bersyukur.Situasi berbeza,tetapi kebahagiaan kekal bersama kita kerana ada-Nya di dalam hati.
Sepertinya kali ini saya sudah punya sesuatu yang baru untuk menjadi prinsip kehidupan saat diuji.Saya mengharapkan,anda memahami.
Astaghfirullah.
0 comments