Hati dan Bahagia

12:49 PG




   Hati mana yang tidak mendambakan bahagia? Hati manakah yang rela dalam sengsara? Bukan erti rela kerana terpaksa, tetapi dengan erti kata rela kerana memilih derita? Siapakah orangnya?

   Sudah pasti tiada. Manusia diciptakan dengan fitrah berkasih sayang antara satu samalain. Bukankah berkasih sayang itu adalah suatu sifat yang menunjukkan manusia sangat memerlukan pendamping untuk menjadi tempat meluahkan segala rasa dan percaya? Bagaimana pasangan suami isteri yang sedang hangat bercinta. Ibu yang sentiasa sayang akan anaknya. Bapa yang sanggup mengerah tenaga untuk menyara keluarga.

   Bukankah ini menunjukkan suatu keterikatan manusia untuk merasai bahagia. Suami isteri yang seronok bercinta kerana rasa yakin dan percaya antara mereka. Ibu yang sangat menjaga seorang insan yang bernama anak untuk dijaga untuk memastikan anaknya membesar dengan baik. Seorang bapa yang tidak merungut bekerja, kerana mahu menyara keluarga yang disayangi.

   Pengorbanan-pengorbanan manusia ini menunjukkan, dalam tindakan yang dilakukan dalam kehidupan, masing-masing mengharapkan bahagia. Jika ditanya, apa itu bahagia, masing-masing pasti akan tidak dapat menjawab dengan satu jawapan yang sama. Barangkali begitu.

   Kerana apa? Kerana bahagia itu sangat subjektif. Kamus dewan belum tentu dapat memuaskan semua rasa. Kerana manusia itu, punya pelbagai citarasa. Kerana itu ada yang terasa sempit, walaupun punya harta yang banyak. Tidak hairan juga kepada mereka yang tertekan dengan kehidupan, kerana punya banyak hajat yang tidak kesampaian.

   Namun, jangan terlepas pandang. Ada juga mereka yang merasa cukup, ketika mereka hanya memiliki apa yang patut. Bahkan untuk berlebih, seolah-olah baginya, itulah nafsu yang diturut.

   Jadi bagaimana kita ingin menilai bahagia dalam diri kita? Adakah kita punya rujukan yang tepat untuk menilai kebahagiaan? Sebagaimana ada ukuran untuk menilai pendek dan panjang?

   Untuk merasai kebahagiaan yang sebenar, kita harus mengenali pencipta kepada kebahagiaan. Kenapa pencipta kebahagiaan? Kerana segala objek yang ada di bumi ini, sifatnya tidak kekal. Kerana itu sekiranya manusia meletakkan kebahagiaan kepada sesuatu perkara yang ada di muka bumi ini, tidak mustahil suatu hari nanti, kebahagiaan palsu yang dirasai itu akan hilang dari mereka. Mulalah rasa putus asa yang amat sangat menerkam jiwa.

   Dekatkan diri kepada Allah, kita akan merasa tenang. Kerana harapan yang diletapkan tidak akan pernah hilang. Bahkan, jika diuji sekalipun, keyakinan yang mengharapkan kehidupan yang kekal selepas mati, akan terus membuatkan seseorang itu tekad dengan amal ibadahnya.

   Kerana itu, ikhlas adalah suatu perkara yang sangat mencabar untuk kita perolehi. Tetapi yakinlah, andai kita benar-benar jelas dengan kehidupan yang sementara ini, kita akan mampu untuk membina rasa ikhlas tersebut. Dengan ikhlas kerana Allah itulah yang akan membuahkan rasa bahagia dalam setiap amal, yang pada akhirnya, akan membuahkan kekuatan dan asa yang sangat padu untuk meneruskan. Yakinlah Allah sentiasa bersama kita.

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments