Sesiapa sahaja,pastiya punya perasaan cinta kepada sesuatu yang sangat dikasihi.Seperti yang saya nyatakan sebelum ini,perkataan cinta tidak hanya terbatas antara perasaan ingin berkasih sayang antara dua manusia berlainan jantina sahaja,tetapi juga merangkumi perkara yang menjadi perhatian hati dalam kehidupan seharian.
Lain orang,lain fokus dan perasaan minatnya untuk diletakkan.Pernah saya bertanya kepada seorang kawan di dalam kelas,segak bergaya orangnya.Ditanyakan kepadanya,apa dia tidak punya teman perempuan.Sekadar ingin menguji,tidak bermakna bersangka buruk.Lalu dijawabnya,tidak ada.Malah saya soalnya lagi,fokusnya apa?Ringkas sahaja dijawabnya,iaitu kepada motorsikal.Tidak hairanlah dia terkenal dengan sikap suka ubah-mengubah keadaan sedia ada pada motorsikalnya untuk memenuhi kehendak hari demi hari.
Begitu juga dengan perkara yang lain.Sesuatu perkara yang mendapat perhatian kita dalam seharian.Apakah?Tanyalah pada diri sendiri.
Begitu juga diri saya sendiri.Punya perhatian kepada perkara yang diminati.Tak salah kalau minat ini kita ertikan sebagai cinta bukan?
Kata orang,kerana cinta,rela berkorban segalanya.Kerana cinta,semua ada.Begitulah dengan perumpamaan yang lain.Pokoknya,perasaan yang rela berkorban dengan perkara yang sangat diminati dan dikasihi.
Maka tidakkah kita berfikir,sejauh mana besarnya pengorbanan kita dalam mencapai cinta Allah s.w.t.Andai perkataan mencapai itu dilihat terlalu berat,maka adakah kita sudah benar-benar bermujahadah dalam mengecapi cinta-Nya?
Saya teringatkan perkongsian murabbi saya di suatu malam.Sedang kami bersama-sama menhayati keindahan malam dengan langsir langit yang bercorakkan manik-manik kilauan bintang,dia mengemukakan suatu payung ilmu untuk sama-sama dihayati.
Katanya,cinta sebenar adalah suatu perasaan angau yang ada dalam diri seseorang.Maka saya kehairanan dengan ayat yang terbit dari mulutnya itu.Seakan menafikan istilah cinta selepas bernikah.
Sambungnya lagi secara mudah,cinta itu boleh didefinisikan dalam pelbagai bentuk.Mungkin sahaja makna sebenar secara formal boleh dirujuk di dalam kamus dewan bahasa dan pustaka.Namun,pada hakikatnya masing-masing punya pendapat sendiri mengenai cinta.Kerana cinta itu fitrah kejadian manusia.Manusia di penjuru mana sekalipun akan mendefinisikan cinta tanpa merujuk kamus.
Tambahnya lagi,apa yang dikatakan cinta itu adalah suatu perasaan yang menjadi angau kepada seseorang terhadap apa yang dicintai.Sekiranya yang dicintai itu adalah teman wanita,maka teman wanita itu akan sentiasa menjadi kerinduannya.Perkara itulah yang menyebabkan seseorang itu berkehendakkan untuk sering bertemu dan membelai kasih.Namun jika tidak mengikut syarak,itulah yang dikatakan fitnah kepada cinta.
Orang yang sudah berkahwin bermakna mereka sudah berjaya memiliki apa yang menjadi cintanya selama ini.Maka kehangatan cinta akan bertukar makna dan situasinya.
Apa yang ingin dikaitkan adalah,mahalnya cintakan ALLAH s.w.t. kerana selagi kita hidup di muka bumi ini,kita tidak akan pernah bertemu dengan-Nya.Inilah suatu angau yang akan membelenggu dalam diri kita sekiranya kita benar-benar mencintai Allah s.w.t. sebagaimana yang sering diperkatakan dibibir sendiri.
Cinta yang maha mahal ini hanya akan terjawab pada kehidupan abadi di dunia akhirat nanti.
Namun,kata orang,cinta memerlukan pengorbanan.Pengorbanan itu adalah dengan melepasi beberapa rintangan.
Maka,adakah kita sudah benar-benar berkorban untuk cinta ini?Saya akui dengan diri sendiri,perkara inilah yang harus kita pertingkatkan dalam kehidupan seharian kita.Jika kita merenung kembali bicara kita di dalam solat,sebagai mana di dalam bacaan iftitah,kita memperkatakan bahawa hidup dan mati kita ini hanya kerana Allah s.w.t. tetapi terleka seusai menunaikan solat.
Apa kita angau untuk sering bertemu Allah?Rela berkorban masa untuk sujud kepada-Nya semata-mata dengan niat bertemu dengan-Nya?Apa kita rindu sehingga sering memuji-muji keagungannya di kalbu?
Masyaallah...
Cinta ini sangat memerlukan pengorbanan yang tinggi.Fokus dalam mencintai yang maha kuasa yang penuh dengan ujian yang melintangi.
Kerana itu sahabat sekalian,ketulah pintu hati kita.Jangan berlama-lama dalam leka.Kerana apa?
Kerana mungkin sahaja kelalaian itu yang mengalihkan diri kita kepada cinta yang sebenar.Jangan sampai kita seakan menduakan cinta,sedangkan darjatnya jauh berbeza.
Astaghfirullah...
Sebut pasal iman,kita mampu menyatakan maknanya.Samada definisi,mahupun teori.Kerana hal itu sudah tercatat dalam buku teks pengajian islam yang kita belajar di waktu sekolah rendah lagi.
Bercakap mengenai akhlak yang baik,kita mampu menyatakan contoh secara jelas dan terperinci.Begitu juga berkaitan dengan akhlak yang buruk.Kita mampu menjelaskan satu persatu berbuatan buruk yang sangat dibenci dan memudaratkan kehidupan manusia.Jenayah yang dilihat sungguh menyulitkan kehidupan harmoni dalam kalangan masyarakat.Merompak,mencuri,membunuh,merogol,dan gejala-gejala sosial lain yang merosakkan erti bahagia dalam kehidupan seharian.
Itu pun bagi mereka yang tahu.Namun,kerana kehendak nafsu yang hanya menginginkan kepuasan semata sehingga mengabaikan perkara yanng sudah diketahui,itulah cabaran jelas yang semakin dikaburkan dalam kehidupan.
Apatah lagi bagi kita orang islam yang sudah terdidik dengan didikan agama di waktu kecil lagi.Jika bukan daripada ibu bapa,kita peroleh dari sekolah yang menuntut kita mempelajari subjek tersebut.Tidak cukup dengan ilmu agama,ditambah pula dengan pendidikan moral.Untuk apa semua ini diajarkan kepada kita?
Tidak lain dan tidak bukan,demi sebuah aplikasi kehidupan yang sejahtera dan harmoni.
Terus,gejala sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini kerana apa?
Kurangnya didikan daripada ibu bapa?Sekolah?Program-program NGO?Iklan-iklan positif?
Cukuplah beralasan.Kita renungi kembali kekurangan diri kita.Kerana itulah pentingnya kita mengharapkan kepada Allah s.w.t. agar memberi kekuatan mampu kepada kita dalam setiap kebajikan yang sudah kita ketahui.
Tahu sahaja tanpa mampu,tidak akan membuatkan apa-apa.Ibarat pokok tanpa bunga dan buah.
Sebagaimana kita mengetahui perkara kebaikan,tetapi jarang melakukannya.Kerana apa?Kerana kurangnya mampu dalam diri kita untuk berkorban dalam hal itu.
Inilah perkara yang harus kita pertingkatkan dalam kehidupan kita sama-sama.Cukuplah kita berpaling daripada perkara yang kita tahu tanpa mengambil tindakan dengan melakukan perkara tersebut.Begitu juga dengan menggagahkan diri untuk meninggalkan perkara yang hanya membuang masa dan memperbodohkan diri sendiri.
Seringkanlah diri kita untuk menginsafi diri kita.Sungguh Allah itu maha mengetahui.Kita tidak mampu menipu Dia.Maka dengan terus berikhtiar mempertingkatkan amal ibadah sahaja dapat menyuburkan rasa cinta kita kepadanya.
Benar sekali,kita punya kelemahan yang begitu banyak untuk diubah.Maka teruslah bangkit daripada tersungkur dengan batu kelalaian.Agar luka yang tercalar tidak bertambah parah.Andai tersungkur lagi,ubatlah dengan keinsafan.
Sama-samalah kita berdoa kepada diri sendiri dan orang lain,agar Allah s.w.t. memberikan kita kemampuan untuk melakukan segala perkara yang sudah kita ketahui.Mengharap mampu,bukan sekadar tahu.
Diri kita,dan juga orang sekeliling kita,jika bukan kerana kehendak nafsu,kita pasti melakukan perkara yang baik yang sudah kita tahu.Kerana itu,sekali lagi,sama-samalah kita berdoa agar dianugerahkan mampu,demi kehidupan yang lebih bermutu.
Seusai menunaikan solat maghrib berjemaah,seorang ahli jawatankuasa surau barangkali sedang berdiri membaiki microfon.Ada pengumuman yang ingin disampaikan.
Tidak salah lagi,hari ini juga pengisian daripada seorang ustaz.Ustaz itu adalah pensyarah di universiti tersebut sendiri yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam.Ada sedikit kekesalan di dalam hati Faruq,memandangkan malam ini dia punya kelas yang harus dihadiri.Kalau ikutkan hati,mahu sahaja terus berada di surau,namun tidak boleh terlalu berfikiran kolot begitu.Ada waktu,dia harus fokus kepada fardu kifayah untuk memakmurkan bumi Allah ini.Itu juga merupakan suatu kewajipan untuk dirinya.
Walaupun begitu,dia akan terlebih dahulu menghubungi pensyarah yang mengajarkan subjek pada malam ini.Esok cuti Taipusam,selalunya pelajar-pelajar akan minta kelas digantikan pada hari yang lain agar mereka bisa melayani cuti yang sedikit panjang untuk bersama keluarga.Memandangkan subjek ini adalah subjek tambahan,dia sememangnya sedikit sukar untuk mendapat informasi daripada ketua kelas.
Dia menapak laju ke bilik.Ustaz Tengku Arif,pensyarah yang sangat diminati.Penyampaian yang bersahaja,tetapi padat dengan sesuatu yang baru.Tidak baru,ianya mungkin peringatan yang baik bagi manusia yang sering lupa.Sudah kejadian manusia yang memerlukan peringatan yang berterusan.Malah,Ustaz Tengku Arif bijak dalam membawakan isu semasa untuk direnungi.Walaupun kadang-kadang kedengaran seperti ada buah-buah politik,tapi hakikat jelas yang harus diterima itu membuatkan para pelajar berfikir secara jujur.
Lekas dia menghubungi pensyarah yang mengajarnya pada malam ini.Syukur,nombor telefon Madam Aina sudah tersimpan dalam telefon bimbitnya.Beberapa kali dicuba menghubungi Madam Aina,tetapi kakak 'voice mail box' yang sering membalas.Faruq mula memilih baju untuk dipakai pada malam ini.Kain pelikat yang dipakai dilonggarkan sedikit.
Tiba-tiba kedengaran telefon bimbitnya berdering.Pada nama yang tertera,tidak salah lagi,Madam Aina sedang menghubunginya.Dalam kuntum senyuman itu,bukan kelas cancel yang diharapkan,sekurang-kurangnya dia boleh mengesahkan lebih awal.Dia tidak selalu berfikir untuk membatalkan kelas.Tetapi jika firasatnya merasakan perlu tahu lebih awal,dia akan cuba ikhtiarkan.
*****
Kali ini,Faruq menapak sedikit laju daripada dia pulang ke bilik sebentar tadi.Daripada pembesar suara di luar surau,kedengaran suara Ustaz Tengku Arif sedang memberikan ceramah.Apa yang bisa didengarkan itu boleh sahaja,tetapi untuk mendapatkan fokus dan hikmah yang lebih baik,adalah turut serta dalam majlis tersebut.
Nampaknya,dia boleh menghadiri majlis ilmu pada malam ini.Kelas Madam Aina,bukanlah cancel kosong untuk diteriakkan dengan sorakan gembira,kerana kelas tersebut akan digantikan pada hari yang lain.Itulah keputusan yang baru didengarinya daripada Madam Aina dalam perbualan melalui telefon bimbit sebentar tadi.
"Kita sebagai orang islam,punya perbezaan dalam kehidupan." kalimat yang disampaikan kali ini lebih jelas daripada berada di luar surau.Ustaz Tengku Arif melihat Faruq masuk lalu mengambil bahagian di hadapan.Rasa bersalah pula Faruq apabila melihat majlis seakan beralih fokus kepada dia sebentar.
"Orang biasa menjadi engineer,punya alasan yang tersendiri.Samada untuk mendapatkan kekayaan,ataupun untuk memenuhi cita-cita dan minatnya yang tersendiri." Ustaz Tengku Arif menyambung bicaranya yang tergantung sebentar tadi.Benar,ceramah ustaz selalu dekat dengan kehidupan para pendengarnya.Faruq selesa dengan cara pembawaan Ustaz Tengku Arif.Mudah untuk dikaitkan dengan kehidupan sendiri.
"Tetapi tidak bagi kita orang yang beriman.Kita menjadi seorang engineer,kerana utnuk memakmurkan bumi Allah s.w.t. disamping untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia.Lihatlah kepada niat yang kita bawakan dalam kehidupan.Antum membaiki kapal terbang.Itu suatu bentuk memakmurkan bumi Allah.Memenuhi hajat manusia untuk ke sesuatu tempat."
Ada sesuatu yang berlegar di fikiran Faruq dengan kenyataan terakhir itu.Apatah lagi ustaz seakan menoktahkan bicara hal tersebut.
"Tetapi kalau ada yang menuju ke tempat maksiat,maka itu tidak termasuk dalam urusan kita.Kerana apa yang kita bawakan adalah untuk memenuhi tuntutan manusia untuk menggunakan pengangkutan yang kita baiki,untuk ke destinasi."
Faruq mengangguk.Fahamlah apa yang ingin dimaksudkan.Tidak bermakna segelintir yang ingin menuju ke tempat maksiat,maka yang ingin menunaikan haji,tergendala kerana tiadanya golongan profesional dalam membaiki atau punya kaitan dalam bidang tersebut.
Ceramah yang seterusnya berlanjutan dalam bab solat.Solat yang merupakan jalan kepada orang mukmin,menjadi isu yang dilihat sangat berat pada masa kini.
Apatah lagi,undang-undang dunia yang seakan mula memporakkan suruhan syariat.Lihatlah bagaimana isu semasa yang memaparkan ibu bapa yang merotan anak itu dilihat suatu jenayah.Benar sekali ianya suatu jenayah jika merotan anak untuk melempiaskan amarah.Bergaduh suami isteri,anak yang menjadi mangsa,itu memang jenayah.Namun langkah undang-undang menjatuhkan hukuman kepada ibu bapa yang merotan anak tanpa berkira alasan tindakan tersebut,seakan bercanggah dengan syariat Islam yang sebenar.
Kaitannya dengan solat adalah tuntutan agama yang berkehendakkan ibu bapa yang merotan anak yang melebihi umur 7 tahun yang meninggalkan solat.Maka rasional tindakan tersebut terganggu dek undang-undang manusia yang semberono meletakkan hukuman tanpa mengikut tuntutan agama.Inilah bahaya.
Pandai sekali Ustaz Tengku Arif menceritakan kronologi yang dilihat cuba menjatuhkan ummat islam pada hari ini.Kita lihat sendiri bagaimana dakyah orang kafir cuba merosakkan pemikiran orang Islam.Mereka tahu,orang islam kuat kerana solat.Solat yang menjadi tunjang kepercayaan agama kita.Maka langkah menetapkan undang-undang mengharamkan ibu bapa merotan anak-anak,seakan-akan cuba menghalang ibu bapa yang ingin mendidik anak dalam melaksanakan solat.
Maka ada bicara daripada mulut-mulut busuk manusia yang mengatakan,sekadar untuk menyuruh anak bersolat,tidak semestinya dengan rotan.Masyaallah sahabat.Janganlah sampai kita terlalu kurang cerdik dalam menilai tuntutan yang dibawakan agama.Benarkan saya berkata begini."Kalau begitu kenapa perogol yang merogol adik-adik atau ibu kamu harus disebat dan digantung sampai mati.Tidakkah kita boleh mengajar perogol itu dengan cara lain?"
Lihat apa yang cuba saya maksudkan.Rotan itu adalah ancaman.Memang benar mendidik anak itu harus berhikmah.Itu adalah apa yang diajarkan sebenar-benarnya oleh agama Islam.Tetapi saya mengulang sekali lagi,itu adalah ancaman kepada yang ingin melanggar tegahan agama.Itu juga termasuk dalam tuntutan agama dalam mendidik manusia.
Tulisan ini mungkin tidak dibaca oleh pemerintah negara.Namun apa yang ingin saya tekankan kepada pembaca adalah dengan melihat,bagaimana dunia pada hari ini,semakin hari semakin menipu kita.Maka yang menipu itu siapa?Yang menipu itu,adalah mereka yang menolak ajaran agama Islam yang sebenar.
Perkara ini harus kita fikirkan.Sebagai persiapan untuk generasi yang akan datang.Generasi manusia dalam kalangan masyarakat kita.Begitu juga negara kita.
Astaghfirullah...
"Terimalah dengan penuh kerelaan apa yang Allah berikan kepadamu.Pasti kamu menjadi manusia yang paling kaya"
(Riwayat Ahmad)
Hari demi hari kita lalui kehidupan di dunia ini berbekalkan cebisan umur yang berbaki.Setiap saat yang menjadi memori,dirasakan masih berada di belakang diri.Difikirkan,andai tertoleh ke belakang,perkara yang sudah bertahun-tahun berlalu,bagaikan dekat dengan hebusan nafas.
Setiap detik yang bersilih ganti,punya hikmah yang tersendiri.Samada disedari,ataupun tidak.Allah menciptakan sesuatu perkara itu,kerana punya manfaatnya yang tersendiri.Tetapi kita yang terkadang tertipu dengan tafsiran sendiri melalui bisikan nyaring,yang tak kelihatan di mata rialiti.
Hati itu,berbolak balik sifatnya.Punya kelemahan dan kekuatan yang tersendiri.Andai pandai kita mencari kekuatan,kita akan temui satu kenikmatan.Andai lemah yang menjadi perhatian,maka mujahadahlah dan perbaikilah kekurangan tersebut.
Hari ini menyaksikan lagi,sebuah perjalanan melihat dunia.Dikala pengangkutan yang menjadi tunggangan adalah pengangkutan awam,diri bersesak-sesak dalam kesibukan.
Di luar tingkap itu,tersegam bangunan-bangunan yang tinggi.Seakan-akan berlumba-lumba untuk menggapai awan.Awan dicapai,bintang pun mungkin menjadi sasaran.Manusia yang punya aturan langkah yang laju,entah apa yang sedang ingin dituju.Masing-masing punya alasan sendiri dalam meneruskan kehidupan.
Hati.Diri hanya berbisik dengan hati disaat menjadi sang pemerhati.
Yang bersama diri sepanjang usia berjalan,adalah hati.Begitu juga akal yang cuba meraih kematangan dalam kehidupan.Hatilah tempat mentafsirkan segala emosi.Dari kecil,sehingga saat diri ini menulis,hatilah yang menjadi pulau rasa,untuk tersadarnya kapal-kapal cerita.
Kamu,dan juga saya.Bagaimana hati kita ini?Apa sihat atau baik-baik sahaja?
Alhamdulillah bagi kalian yang punya istiqamah dalam cinta-Nya.Bagi saya,kelemahan masih memalu-malu hati,walaupun bertubi-tubi keinsafan membuli qalbi.
Kita hidup,punya tujuan yang harus kita kecapi.Mungkin erti kata kecapi itu terlalu tinggi.Tetapi hakikatnya kita hanya seorang musafir di dunia ini.
Lambakan manusia di sini.Memerhatikan lagak-lagak manusia yang punya karenah sendiri.Riang gembira.Ada juga yang bersandar kosong di tepian,entah apa yang sedang difikirkan.
Berbalik kepada hati.Apa yang kau inginkan dalam kehidupan?