Mengharap Mampu,Bukan Sekadar Tahu

12:02 PG



   Sebut pasal iman,kita mampu menyatakan maknanya.Samada definisi,mahupun teori.Kerana hal itu sudah tercatat dalam buku teks pengajian islam yang kita belajar di waktu sekolah rendah lagi.

   Bercakap mengenai akhlak yang baik,kita mampu menyatakan contoh secara jelas dan terperinci.Begitu juga berkaitan dengan akhlak yang buruk.Kita mampu menjelaskan satu persatu berbuatan buruk yang sangat dibenci dan memudaratkan kehidupan manusia.Jenayah yang dilihat sungguh menyulitkan kehidupan harmoni dalam kalangan masyarakat.Merompak,mencuri,membunuh,merogol,dan gejala-gejala sosial lain yang merosakkan erti bahagia dalam kehidupan seharian.

   Itu pun bagi mereka yang tahu.Namun,kerana kehendak nafsu yang hanya menginginkan kepuasan semata sehingga mengabaikan perkara yanng sudah diketahui,itulah cabaran jelas yang semakin dikaburkan dalam kehidupan.

   Apatah lagi bagi kita orang islam yang sudah terdidik dengan didikan agama di waktu kecil lagi.Jika bukan daripada ibu bapa,kita peroleh dari sekolah yang menuntut kita mempelajari subjek tersebut.Tidak cukup dengan ilmu agama,ditambah pula dengan pendidikan moral.Untuk apa semua ini diajarkan kepada kita?

   Tidak lain dan tidak bukan,demi sebuah aplikasi kehidupan yang sejahtera dan harmoni.

   Terus,gejala sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini kerana apa?

   Kurangnya didikan daripada ibu bapa?Sekolah?Program-program NGO?Iklan-iklan positif?

   Cukuplah beralasan.Kita renungi kembali kekurangan diri kita.Kerana itulah pentingnya kita mengharapkan kepada Allah s.w.t. agar memberi kekuatan mampu kepada kita dalam setiap kebajikan yang sudah kita ketahui.

   Tahu sahaja tanpa mampu,tidak akan membuatkan apa-apa.Ibarat pokok tanpa bunga dan buah.

   Sebagaimana kita mengetahui perkara kebaikan,tetapi jarang melakukannya.Kerana apa?Kerana kurangnya mampu dalam diri kita untuk berkorban dalam hal itu.

   Inilah perkara yang harus kita pertingkatkan dalam kehidupan kita sama-sama.Cukuplah kita berpaling daripada perkara yang kita tahu tanpa mengambil tindakan dengan melakukan perkara tersebut.Begitu juga dengan menggagahkan diri untuk meninggalkan perkara yang hanya membuang masa dan memperbodohkan diri sendiri.

   Seringkanlah diri kita untuk menginsafi diri kita.Sungguh Allah itu maha mengetahui.Kita tidak mampu menipu Dia.Maka dengan terus berikhtiar mempertingkatkan amal ibadah sahaja dapat menyuburkan rasa cinta kita kepadanya.

   Benar sekali,kita punya kelemahan yang begitu banyak untuk diubah.Maka teruslah bangkit daripada tersungkur dengan batu kelalaian.Agar luka yang tercalar tidak bertambah parah.Andai tersungkur lagi,ubatlah dengan keinsafan.

   Sama-samalah kita berdoa kepada diri sendiri dan orang lain,agar Allah s.w.t. memberikan kita kemampuan untuk melakukan segala perkara yang sudah kita ketahui.Mengharap mampu,bukan sekadar tahu.

   Diri kita,dan juga orang sekeliling kita,jika bukan kerana kehendak nafsu,kita pasti melakukan perkara yang baik yang sudah kita tahu.Kerana itu,sekali lagi,sama-samalah kita berdoa agar dianugerahkan mampu,demi kehidupan yang lebih bermutu.

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments