Seakan Menduakan Cinta

10:14 PTG




   Sesiapa sahaja,pastiya punya perasaan cinta kepada sesuatu yang sangat dikasihi.Seperti yang saya nyatakan sebelum ini,perkataan cinta tidak hanya terbatas antara perasaan ingin berkasih sayang antara dua manusia berlainan jantina sahaja,tetapi juga merangkumi perkara yang menjadi perhatian hati dalam kehidupan seharian.

   Lain orang,lain fokus dan perasaan minatnya untuk diletakkan.Pernah saya bertanya kepada seorang kawan di dalam kelas,segak bergaya orangnya.Ditanyakan kepadanya,apa dia tidak punya teman perempuan.Sekadar ingin menguji,tidak bermakna bersangka buruk.Lalu dijawabnya,tidak ada.Malah saya soalnya lagi,fokusnya apa?Ringkas sahaja dijawabnya,iaitu kepada motorsikal.Tidak hairanlah dia terkenal dengan sikap suka ubah-mengubah keadaan sedia ada pada motorsikalnya untuk memenuhi kehendak hari demi hari.

   Begitu juga dengan perkara yang lain.Sesuatu perkara yang mendapat perhatian kita dalam seharian.Apakah?Tanyalah pada diri sendiri.

   Begitu juga diri saya sendiri.Punya perhatian kepada perkara yang diminati.Tak salah kalau minat ini kita ertikan sebagai cinta bukan?

   Kata orang,kerana cinta,rela berkorban segalanya.Kerana cinta,semua ada.Begitulah dengan perumpamaan yang lain.Pokoknya,perasaan yang rela berkorban dengan perkara yang sangat diminati dan dikasihi.

   Maka tidakkah kita berfikir,sejauh mana besarnya pengorbanan kita dalam mencapai cinta Allah s.w.t.Andai perkataan mencapai itu dilihat terlalu berat,maka adakah kita sudah benar-benar bermujahadah dalam mengecapi cinta-Nya?

   Saya teringatkan perkongsian murabbi saya di suatu malam.Sedang kami bersama-sama menhayati keindahan malam dengan langsir langit yang bercorakkan manik-manik kilauan bintang,dia mengemukakan suatu payung ilmu untuk sama-sama dihayati.

   Katanya,cinta sebenar adalah suatu perasaan angau yang ada dalam diri seseorang.Maka saya kehairanan dengan ayat yang terbit dari mulutnya itu.Seakan menafikan istilah cinta selepas bernikah.

   Sambungnya lagi secara mudah,cinta itu boleh didefinisikan dalam pelbagai bentuk.Mungkin sahaja makna sebenar secara formal boleh dirujuk di dalam kamus dewan bahasa dan pustaka.Namun,pada hakikatnya masing-masing punya pendapat sendiri mengenai cinta.Kerana cinta itu fitrah kejadian manusia.Manusia di penjuru mana sekalipun akan mendefinisikan cinta tanpa merujuk kamus.

   Tambahnya lagi,apa yang dikatakan cinta itu adalah suatu perasaan yang menjadi angau kepada seseorang terhadap apa yang dicintai.Sekiranya yang dicintai itu adalah teman wanita,maka teman wanita itu akan sentiasa menjadi kerinduannya.Perkara itulah yang menyebabkan seseorang itu berkehendakkan untuk sering bertemu dan membelai kasih.Namun jika tidak mengikut syarak,itulah yang dikatakan fitnah kepada cinta.

   Orang yang sudah berkahwin bermakna mereka sudah berjaya memiliki apa yang menjadi cintanya selama ini.Maka kehangatan cinta akan bertukar makna dan situasinya.

   Apa yang ingin dikaitkan adalah,mahalnya cintakan ALLAH s.w.t. kerana selagi kita hidup di muka bumi ini,kita tidak akan pernah bertemu dengan-Nya.Inilah suatu angau yang akan membelenggu dalam diri kita sekiranya kita benar-benar mencintai Allah s.w.t. sebagaimana yang sering diperkatakan dibibir sendiri.

   Cinta  yang maha mahal ini hanya akan terjawab pada kehidupan abadi di dunia akhirat nanti.

   Namun,kata orang,cinta memerlukan pengorbanan.Pengorbanan itu adalah dengan melepasi beberapa rintangan.

   Maka,adakah kita sudah benar-benar berkorban untuk cinta ini?Saya akui dengan diri sendiri,perkara inilah yang harus kita pertingkatkan dalam kehidupan seharian kita.Jika kita merenung kembali bicara kita di dalam solat,sebagai mana di dalam bacaan iftitah,kita memperkatakan bahawa hidup dan mati kita ini hanya kerana Allah s.w.t. tetapi terleka seusai menunaikan solat.

   Apa kita angau untuk sering bertemu Allah?Rela berkorban masa untuk sujud kepada-Nya semata-mata dengan niat bertemu dengan-Nya?Apa kita rindu sehingga sering memuji-muji keagungannya di kalbu?

   Masyaallah...

   Cinta ini sangat memerlukan pengorbanan yang tinggi.Fokus dalam mencintai yang maha kuasa yang penuh dengan ujian yang melintangi.

   Kerana itu sahabat sekalian,ketulah pintu hati kita.Jangan berlama-lama dalam leka.Kerana apa?

   Kerana mungkin sahaja kelalaian itu yang mengalihkan diri kita kepada cinta yang sebenar.Jangan sampai kita seakan menduakan cinta,sedangkan darjatnya jauh berbeza.

   Astaghfirullah...

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments