Sinar Ramadhan
1:58 PG
![]() |
Assalamualaikum kepada sahabat-sahabat yang sudi membaca nukilan pendosa ini.Tiada manfaat daripada suatu pembacaan tulisan,melainkan ada ibrah dan pengajaran yang boleh kita ambil dan sampaikan.
Pertama sekali seperti ayat formal kebiasaan,marilah kita bersyukur,kerana pada ketika anda yang sedang membaca tulisan ini,beribu nikmat yang tidak terhitung sedang Allah kurniakan kepada kita.Mahu kita mengira?Dapat melihat adalah suatu nikmat bukan?Dapat memahami bahasa yang tertulis dengan mudah juga merupakan suatu nikmat bukan?Ada orang yang tidak mampu memahami,hannya mungkin kerana bahasa yang digunakan berbeza,lebih parah kepada mereka yang tidak pandai membaca.Lebih penting daripada itu,anda masih bernafas bukan?
Nikmat,nikmat dan nikmat.Sukar terhitung nilainya.Kali ini,Allah memberi nikmat kepada kita untuk bersama-sama melalui hari-hari yang sungguh berharga di bulan ramadhan.Apakah kita menghargainya?
Bagaimanakah pula cara menghargainya?Kita akan fikirkan bersama.
Pertamanya,suka untuk saya berceloteh mengenai ragam-ragam status yang berada di media sosial apabila ramadhan mula menjelma.Bukanlah status ucapan selamat yang cuba saya maksudkan,tetapi ragam status yang terkadang mencubit hati dan mencuit nakal rusuk fikiran.Apakah itu?
Kata mereka "Syaitan sudah diikat di bulan Ramadhan.Maka nilailah sendiri selama ini kau manusia atau syaitan?".Lebih kurang begitulah ayatnya.
Kononnya ayat itu mahu menyuruh diri kita untuk menginsafi diri sendiri.Apakah ada perbezaan diri kita di bulan Ramadhan dengan bulan yang lain?
Tidak mengapa.Bagi saya,status sebegitu mungkin hanya menghendakkan sentapan rohani barangkali.Namun,suka untuk saya ingatkan,tanpa syaitan sekalipun,kita tetap BUKAN MALAIKAT.Fitrah manusia itu banyak.Kemahuan manusia juga tidak kurang banyak menggalakkan manusia untuk melakukan apa-apa tindakan.
Lumrah manusia pastinya berdosa.Usahlah kita merasa hina kerana pernah melakukan dosa.Tetapi rasalah satu penghinaan yang cukup besar,beSAR dan BESAR apabila diri kita sudah tidak mampu untuk merasakan diri berdosa untuk terus bertaubat.Apabila hati tidak merasakan sakit untuk dirawat.Apabila diri sudah cukup untuk mengaku,"Aku bukan malaikat".Lalu adakah alasannya engkau tidak mahu bertaubat?Inilah penghinaan dan penyakit yang sungguh BERAT.Hati keras,malah berkarat.
Jangan begitu sahabat.
Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang.Tugas kita adalah untuk merasakan diri disayangi.Bukan merasakan aku sudah jauh dari Ilahi.Gunalah ayat yang mampu membenihkan motivasi,bukan membina ayat yang hanya mampu merosotkan prestasi.
Di bulan yang penuh barakah ini,cubalah kita hargainya dengan menjadikan bulan ini sebagai bulan mentarbiyah diri sendiri.Menjadikan bulan ini sebagai permulaan cerita untuk kisah-kisah yang baru selepas ini.
Benar kata orang,jangan menjadi hamba Ramadhan,jadilah hamba Allah.Maka setidak-tidaknya,kita meraikan janji-janji Allah s.w.t. bahawa dalam bulan ramadhan ini,adanya keberkatan-keberkatan yang seharusnya kita rebut dan mengambil kesempatan.Didiklah diri untuk sering mempertingkatkan iman.Ramadhan dijadikan teman.Janji pelbagai ganjaran,sebagai manisan.Lebih penting adalah,peluang untuk mendidik diri cintakan Tuhan.
Sama-samalah kita berdoa kepada Allah s.w.t. untuk menghidupkan hari-hari seluruh ummat Islam,dengan keampunan dan keberkatan Insyaallah.
Astaghfirullah....
*Mahu dapatkan jadual seperti gambar di atas?Sertakan email di ruang komen.Saya akan emailkan failnya bersama sedikit penerangan.Jadual amal, untuk nilaian sendiri."Ketika Catatan Amal Masih Menjadi Rahsia,Kita Nilaikan Sendiri Agar Lebih Bersedia". :)
0 comments