Ya,Lagi-lagi Rebah

12:03 PG




   Kerana syurga itu mahal,mendapatkannya bukan mudah.Kerana dunia itu indah,kita mudah terpedaya kepadanya.

   Kalian tahu,kadang-kadang saya rasa sangat bersalah dengan diri sendiri.Kerana apa? Kerana saya bukanlah manusia yang tidak tertipu dengan keseronokan dunia. Kadang-kadang, saya cuba untuk menunjukkan diri saya tidak menyukai dunia, hanya kerana saya takut saya terjebak dengannya.

   Jangan minta saya kemukakan contoh untuk apa yang saya katakan sebagai dunia.Kerana ianya terlalu banyak.Sangat banyak.

   Saya bukanlah orang yang baik.Tetapi apabila saya menulis coretan untuk tatapan anda semua, saya hanya menulis yang baik-baik sahaja. Saya menampilkan diri saya sebagai seorang yang ingin menjadi baik, walaupun saya tahu, dan mungkin anda yang mengetahui keaiban saya mengetahui saya bukanlah orang baik-baik.

   Namun,tahukah anda. Dunia ini adalah penjara buat diri kita. Kerana itu saya akan berusaha untuk tidak dirantai di dalamnya. Kerana sekali saya berada di situ, sungguh sukar untuk saya keluar.

   Hanya kerana secebis ilmu. Ya benar, secebis ilmu. Yang telah banyak membuka fikiran untuk mengetahui kebenaran. Hakikat hidup sebenar yang selama ini saya pelajari. Agama Islam bukan dongengan. Kerana itu dalam setiap tindakan yang melekakan, hati akan memberontak mengemis kebenaran.

   Saya tidak dapat menilai, anda yang membaca tulisan ini pada tahap yang bagaimana. Kekuatan hati anda sejauhmana. Tapi saya yang menulis ini, cuba untuk menulis untuk diri sendiri, dengan harapan, pengajaran dapat diambil secara umumnya.

   Anda tahu, saya sememangnya manusia biasa.

   Ada ketika, saya merapu dalam menulis. Ya, mungkin kerana hati tidak sama dengan apa yang ingin jemari tuliskan.

   Sahabat, ingin sekali saya mengingatkan. Hakikatnya saya cuba untuk menyedarkan diri saya kembali, jangan berlama dalam kealpaan. Kembalilah untuk berfikir, dunia ini sememangnya bertuhan. Allah tidak menciptakan dunia ini dengan sia-sia. Bahkan manusia mereka dan mencipta sesuatu punya kegunaan dan sebabnya yang tersendiri.

   Saya selalu berpesan. Kita sememangnya bukan malaikat. Tetapi kita bukan syaitan. Fitrah kita adalah menuju kebaikan. Maka bukankah Syurga itu terkumpulnya segala kebaikan?

   Wahai hati.
   Marilah kita kembali,
   Bukan keinginan sebenarmu jika hanya kesenangan duniawi,
   Tetapi hakikat yang sebenar adalah kembai kepada Ilahi.

Ketika kau merasakan Allah sudah jauh dari kehidupanmu.Sedarlah,Dia tidak pernah menjarak.Tetapi kamu yang tidak merasai kasih sayang-Nya.Hanya kerana hatimu,kasihkan dunia.

Astaghfirullah....

Sahabat Mungkin Juga Meminati

1 comments

  1. JANGAN BERSEDIH, JANGAN BERPUTUS ASA. firman Allah dalam surah al-ankabut “Adakah manusia itu menyangka bahwa mereka dibiarkan saja setelah mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami ( Allah) telah menguji orang-orang yang sebelum mereka". BERTABAHLAH DUHAI SAHABAT.

    BalasPadam