Terbuka Sebuah Jendela

3:04 PTG



   Hati manusia itu, jika tidak mencintai, maka mustahil merindui. Mana tidaknya, yang mencintai, pastinya akan terasa kosong apabila yang dicintai itu tiada di sisi. Jika berjauhan sahaja, pasti angau mula menerjah diri.

   Tetapi aneh sekali saya kadangkala pada diri sendiri. Kerana itu, saya sering mengingatkan diri sendiri, tanpa cinta, tiada rindu. Maka tiada kehangatan untuk sering mengambil peluang untuk mendekati. Dalam skop yang saya maksudkan ini, adalah kecintaan kepada Ilahi. Dunia ini, walaupun hakikatnya hanya sementara, bererti segala isinya adalah tipu daya, maka ianya akan menjadi kegilaan kepada mereka yang tertipu dan yang merasakan indahnya dunia. Tiada terasa sedang tertipu atau sedang bermandikan keindahan yang sementara. Saya tidak ingin tertipu.

   Perkara ini sukar diterangkan kepada orang lain. Mana tidaknya, perkara ini harus dijernihkan oleh rasional akal terhadap tujuan hidup masing-masing. Ada yang merasakan, dengan kekayaan, kehidupannya punya segala-galanya. Dengan arak hilanglah segala kekusutan. Akhirnya tiada terfikir bahawa dunia itu sementera. Hanya kerana keseronokan yang menipu diri sendiri. Baik buruk untuk diri sendiri, tiada dihiraukan. Apatah lagi adakah perkara tersebut memberi kesan kepada orang lain.

   Al-Quran. Itulah surat cinta daripada Allah, pencipta sekalian makhluk. Setiap inci yang berada di dalamnya, tiada tersangkal dengan bukti yang nyata. Jadi, jika benar mencintai Allah, pastinya hati akan sentiasa dekat dengan talian yang mampu menghubungkan hati kita kepada-Nya. Inilah perkara yang harus direnungi kembali. Kadang-kadang, kita sayang kepada Al-quran, sehingga quran yang berada di kaki kita rasa suatu penghinaan. Sedangkan Al-quran tiada di hati, tidak pula kita risaukan. Aneh bukan?

   Maka saya cuba untuk berpesan kepada diri saya. Agar saya dan sahabat semua juga, jangan terlalu menjarak daripada Al-quran. Kerana risau, lama kelamaan, kerinduan kita kepada Allah akan beransur hilang. Ruginya siapa? Diri sendiri.

   Saya sangat berharap, agar diri kita semua sama-sama istiqamah dengan membaca Al-quran. Hayatilah setiap pengajaran yang ada di dalamnya. Supaya hati kita sering disirami keberkatan. Keberkatan dengan sebuah kerinduan kepada Allah. Agarnya, jendela hati kita sentiasa terbuka untuk menerima segala ketentuan hidup. Kerana meyakini, ada hikmah di sebalik perkara yang berlaku.

   Lagi pula, kita pada hakikatnya hanyalah seorang hamba kepada Allah. Bagaimana kita sanggup memberontak, sedangkan Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita. Jangan sampai kita berprasangka buruk, sedangkan Allah itu tidak bersifat zalim terhadap hamba-hambanya.

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (Ar-Rum: 41) 

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments