Hargai Diri Sendiri

12:58 PG



   Terasa rindu untuk saya meluahkan kalam hati di teratak ini. Saya gembira, apabila kata-kata yang terbuku, akhirnya menjadi tulisan. Namun, perkara tersebut bukan perkara yang mudah. Saya harus terlebih dahulu melepasi beberapa kekusutan. Menulis bagi saya, begitu indah jika bahasa dan susunannya berada dalam keadaan tenang.

   Saya memerhatikan, kehidupan yang semakin berjalan tanpa henti. Masa yang tidak boleh dibeli. Tidak hairanlah kenapa Allah berbangga dengan masa yang diciptakan oleh-Nya. Mana tidaknya, tidak boleh tidak, ianya tidak bisa diundur. Betapa banyak produk kecantikan yang ingin mengekalkan rupa paras untuk kelihatan lebih muda. Akan tetapi, tiada produk yang dicipta manusia untuk membenarkan  seseorang kembali ke masa muda mereka. Itulah hakikat masa yang sungguh hebat penciptaannya.

   Betapa banyak teori yang cuba dilakukan untuk membenarkan manusia meyakini masa itu boleh diundur, atau juga untuk kembali ke masa lampau. Tetapi, tidak pula berhasil hanya kelemahan-kelemahan yang ada pada fizikal manusia itu sendiri. Banyak cerita-cerita yang direka memaparkan kebolehan untuk kembali ke masa lepas atau masa hadapan, namun, tiada lagi rialiti yang membenarkan mana-mana teori yang tercipta. Hebat, maha hebat pecipta masa itu sendiri.

   Saya kini melalui zaman dewasa. Pra dewasa mungkin. Banyak perkara yang saya sendiri lalui. Bersama keluarga, kawan-kawan ataupun orang sekeliling. Pelbagai ragam manusia yang saya temui.

   Namun kali ini, bukan soal manusia yang ingin saya ceritakan, akan tetapi, penghargaan manusia terhadap masa yang diperolehi. Jujur saya katakan, saya bukanlah orang yang layak untuk menceritakan kepentingan masa. Apatah lagi mengemukakan tip-tip pengurusan masa yang berkesan. Kerana pada diri saya sendiri, saya cuba mempertingkatkan potensi dan mendisiplinkan diri.

   Sahabat yang saya kasihi, tak salah kalau kita sama-sama berbincang untuk kebaikan diri bukan?

   Saya kadang-kadang berada di dalam dilema sahabat. Kadangkala, saya kekurangan kekuatan untuk meluahkan segala-galanya. Rasa kasih dan sayang saya kepada orang yang berada di sekeliling saya, terkadang membuatkan saya sendiri keliru. Yang pasti, saya sayangkan mereka. Kawan-kawan, ataupun orang yang berada di sekeliling saya. Mana tidaknya, kita sebenarnya bersaudara, tapi kerana tenggelamnya budaya menyayangi antara satu samalain, kita hidup bagaikan berasing-asingan.

   Cukuplah mungkin untuk saya berbicara. Namun nasihat saya, sejauhmana sekalipun kita berada, kita harus sentiasa memasang niat dalam hati kita, untuk sentiasa memanfaatkan masa yang ada. Sangatlah rugi, andai kata masa yang kita ada, hanya digunakan untuk menghiburkan diri semata, tanpa memanfaatkannya untuk kebaikan diri sendiri.

   Kita yang beragama Islam, apatah lagi. Kita punya tujuan hidup yang sangat berpandangan jauh. Kita hidup, bukan untuk memuaskan hati kita, melainkan sebagai seorang hamba untuk sentiasa cuba meraih kecintaan daripada-Nya. Allah itu maha memahami. Usahlah kita berputus asa dengan diri sendiri. Tidak perlu untuk kita merasakan diri kita sudah cukup baik, sedangkan hati kecil kita mengakui kita hidup bukan sepenuhnya kerana Allah.

   Saya sendiri? Apa kurangnya. Maka marilah sama-sama kita menghargai diri kita, dengan sentiasa berusaha untuk lebih jelas tentang penciptaan kita. Tujuan hidup kita. Allah menjadikan kita sebagai manusia, bukan malaikat. Maka tidak usah diam dengan kerana kesukaran kita menguruskan kehidupan, yang pasti, kita sering menunjukkan usaha untuk kita perbaiki kehidupan sebagai seorang yang beriman.

   Saya melihat, dunia ini sangat menguji kita. Keindahan-keindahan yang hanya sementara, menyebabkan kita terkadang memperjudikan maruah masa yang ada pada diri kita. Akhirnya, yang rugi diri kita sendiri.

   Astaghfirullah... Marilah sama-sama kita memasang niat yang sedalam-dalamnya. Kita hidup, bukan hanya untuk bersuka ria. Tapi kita pada hakikatnya hanyalah seorang hamba. Usahalah diri untuk membuang segala keegoan yang membarah dalam diri, agarnya kebaikan-kebaikan tidak terhalang untuk memasuki dalam diri kita.

   Usahlah kita merasa selesa dengan iman kita yang tidak seberapa. Apatah lagi kualiti ibadah masih ditakuk lama. Sudahlah! Tiba masanya untuk kita menghargai diri sendiri. Dengan mensyukuri segala nikmat yang diberikan ketika ini, untuk menambahkan lagi pengabdian kita kepada Allah s.w.t. Insyaallah.

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments