Hati Yang Merasakan Murahnya Syurga
11:30 PTG
Kita hidup di muka bumi ini, memerlukan pelbagai keperluan untuk meneruskan kehidupan. Kita perlu makan dan minum sebagai sumber tenaga kepada badan. Kita memerlukan tempat tinggal, sebagai tempat untuk berteduh. Begitu juga dengan keinginan-keinginan yang lain yang memudahkan kehidupan kita di atas muka bumi ini.
Tidakkah kita perhatikan, setiap barangan yang dicipta untuk kegunaan manusia, pasti akan dijadikan barangan yang dijual kepada orang yang menginginkan barangan tersebut. Penjahit baju, pastinya akan meletakkan harga untuk setiap baju yang dijahit. Penjual baju, juga akan meletakkan harga untuk dijual kepada pengguna lain. Maka manusia memerlukan kekuatan dari segi kewangan(mengikut sistem zaman sekarang), sebagai alat ganti untuk mendapatkan sesuatu barang keperluan.
Maka begitu juga dengan syurga yang Allah janjikan kepada hamba-hambanya. Betapa syurga itu bukanlah suatu kepastian di mata manusia, akan tetapi, Allah telah menetapkan syarat-syarat untuk kita memperolehinya.
Saya sungguh tersentuh dengan perkongsian seorang sahabat. Mana tidaknya, berbicara soal syurga adalah sesuatu yang ghaib, akan tetapi janjinya itu pasti. Kerana bukanlah kehidupan itu dijadikan sia-sia, melainkan sebagai satu tempat untuk manusia memakmurkan dunia dengan melaksanakan segala tuntutan Penciptanya.
Kita sebagai orang islam pada hari ini, mengalami beberapa masalah yang sangat mendasar, yang pada akhirnya membuahkan pelbagai masalah yang lain dalam melaksanakan tuntutan agama. Antara masalah tersebut, hati yang merasakan murahnya syurga. Kita telah diberitakan, bahawasanya dengan melafazkan bicara akur janji melalui ucapan kalimah syahadah, kita akan dijamin masuk syurga. Yang membezakan, lambat atau cepat, hanya kerana kita akan mungkin dihisab segala dosa yang pernah kita lakukan terlebih dahulu.
Maka kita akan memandang agama itu sebagai suatu ajaran yang sangat ringan. Selagi tidak haram, tiada masalah, sehinggakan kita terlepas pandang, perkara yang harus sendiri apabila diutamakan melebihi yang wajib, ianya akan menjadi haram. Tapi itu semua kita tidak dapat rasa, kerana kita rasa murahnya syurga.
Kalau kita bawa analogi kehidupan di dunia, untuk memasuki hotel lima bintang, bukanlah calang-calang orang semata. Bukanlah bagi mereka yang kurang hartanya, akan tetapi kepada mereka yang punya harta melebihi keperluan. Jika hotel hanya tempat untuk singgah beberapa hari, orang-orang biasa hanya akan berfikiran, biarkan hotel biasa, asalkan dapat dijadikan tempat persinggahan rehat dan tidur sementara. Akan tetapi kepada mereka yang kaya raya, hotel lima bintang tiada masalah dimatanya.
Bukankah syurga itu jauh lebih indah berbanding hotel lima bintang? Jadi, mana mungkin kita merasakan memasukinya hanya dengan cukup dengan percaya, tanpa mengumpul harta amal dan ketaatan sebagai bayar gantinya?
Inilah masalah kita pada hari ini. Kita merasa tenang, sedangkan kita sedang tertipu dengan dunia. Kita merasa tiada masalah, sedangkan masalah itu sudah sebati dengan kita. Hati yang sedang tenat, tetapi tertipu dengan nikmat. Cintakan dunia semakin meningkat, kerana pasti, syurga itu akan kita dapat. Hanya dengan mengaku Islam?
Kerana itu, kita harus merenungi kembali kehidupan kita. Adakah cukup segala amal kehidupan kita untuk menjadi mahar meminang syurga? Dengan amal yang hanya biasa-biasa? Atau khusyuk, yang sering tergendala?
Saya merisaukan perkara ini. Marilah kita sama-sama menginsafi diri. Sudahkah kita memasarkan nilai-nilai islam dalam kehidupan seharian kita. Sudahkah kita kuat untuk mengatasi tipu daya dunia walaupun tidak semua? Hiburan, adakah keterlaluan? Amalan, adakah bertambah matang? Hati, adakah merindui Allah? Sunnah, adakah kita hidupkan ajaran Rasulullah?
Kita sememangnya tidak sempurna, kerana agama Islam adalah sempurna. Untuk benar-benar membuktikan kita sedang menujunya, maka sudahkah kita berada di jalan mujahadah untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada? Atau lebih bagus, jalan mujahadah, untuk kita lebih berusaha memperbaiki amal ibadah kita.
Insyaallah, sama-sama kita pertingkatkan kualiti diri menuju Allah.
0 comments