Zikrullah Menghadirkan Ketenangan Memahami Kebenaran
4:40 PTG
Terngiang-ngiang lagi perkongsian Ustaz Hafizul dalam ceramahnya berkaitan Isra' dan Mikraj.Isu yang dikupaskan berbeza dari kebiasaan yang diadakan di sekolah rendah mahupun sekolah menengah.Isu yang bentangkan masih berkisar dalam ruang lingkup asal,tapi penakkulan isi tidak seperti kebiasaan de dengar saat Isra' dan Mikraj tiba.Lantaran itu,ramailah yang memasakkan pemerhatian kepada perkongsian ustaz itu.
Antara perkara yang cukup menarik perhatian saya untuk dikongsikan dalam artikel ini adalah berkaitan zikir dan fikir.Sebagaimana hadis yang diceritakan oleh ustaz,bagaimana seorang yang miskin mendatangi Rasulullah yang menyatakan hasratnya yang cemburu akan golongan kaya yang mampu untuk membelanjakan harta mereka ke jalan Allah sedangkan mereka yang kurang mampu tidak berkesempatan untuk melakukan hal sedemikian.
Lalu apa yang Rasulullah kemukakan jawapan dan penyelesaian?
Rasulullah hanya mengajar si miskin itu untuk berzikir dan fikir dalam mengingati Allah.Ramai daripada kita sudah mengetahui mengenai zikir.Ayat-ayat zikir dan sebagainya.Namun,adakah kita mendalami erti kata sebenar yang ada pada zikir itu?Inilah persoalan yang memerlukan diri sendiri untuk dijawab.
Mana tidaknya,semenjak kita lahir lagi,terngiang-ngiang di telinga kita akan ayat-ayat zikir yang mungkin dibacakan oleh kedua ibu bapa kita.Mungkin kerana pembesaran kita dalam situasi sebegini menyebabkan kurangnya pemahaman yang tepat mengenai zikir.
Malah ketika ditimpa sebarang musibah sendiri kita digalakkan untuk berzikir.Maka di sini,ustaz telah membuka sedikit minda saya walaupun mungkin pernah mendengari tentang hal ini dan berkemungkinan telah melupakannya.
Subhanallah yang membawa erti Maha Suci Allah.
Hakikatnya semasa kita melafazkan kalam ini,kita seharusnya sedar,bahawa Maha Suci Allah,merangkumi banyak aspek.Maha Suci Allah daripada sifat pekak,tidak mengetahui,pandangan yang terbatas,pengaturan yang tidak adil atau sewaktu dengannya.Ini bererti,Rasulullah mengajar kita untuk berbaik sangka kepada Allah akan hakikat kita hidup di muka bumi ini.Maha Suci Allah daripada sifat pekak.Maka,mustahillah Allah tidak pernah mendengar isi hati kita.Jelas di sini,ia akan membawa kita merenungi kesilapan diri kita sendiri,bukan menyalahkan takdir yang tertulis ke atas kita.Maaha Suci Allah daripada sifat zalim.Maka sedarlah kita,Allah tidak pernah menzalimi kita,sebaliknya kekurangan yang belum kita pertingkatkan terhadap diri kita yang menyebabkan kita lemah,dan sepertinya dizalimi dalam kehidupan kita.Begitulah seterusnya yang berlegar dalam luar lingkup Maha Suci Allah.
Alhamdulillah yang membawa maksud segala puji hanya bagi Allah
Setelah subhanallah,diikuti dengan alhamdulillah.Dalam lafaz ini,Rasulullah mengajar kita untuk mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita.Kita ditimpa masalah,tetapi Allah masih mengurniakan akal untuk berfikir dengan waras jalan penyelsaian,bukannya terus menjadi gila kerana masalah yang entah tidak bermakna.Kita miskin,maka syukur kepada Allah kerana masih dikurniakan kaki dan tangan untukmenjadi aset dalam mencari rezeki.Di sini terdidiklah kita untuk memandang nikmat yang dikurniakan oleh Allah,bukannya memandang kepada ujian yang diberikan ke atas kita semata-mata.Katakanlah segala puji hanya bagi Allah.Allah yang berhak kita puji atas segala nikmat yang telah diberi.
Allahuakbar yang ditafsirkan sebagai Allah Maha Besar
Mengakhiri zikir kita,kita diajar untuk mengagungkan Allah atas segala-galanya.Maha Besar Allah bukan merujuk kepada saiz,tetapi merujuk kepada kekuasaannya atas sekalian makhluk.Dengan ini,kita diajar,walaupun kita sudah berharta,berkedudukan,mempunyai anak-pinak yang ramai,namun,kita harus kembali kepada Allah Yang Maha Mengatur segenap pelusuk alam.Kita hanya manusia yang lemah.Maka,ucaplah Allahuakbar sebagai pengabdian kita kepada Allah,walaupun kita masih lemah ataupun sudah cukup lengkap di atas dunia ini,namun hakikatnya,kekuasaan Allah yang Maha Besar.
Namun disebalik zikir,Rasulullah sebenarnya menggalakkan kita berfikir.Hakikat hidup berlandaskan syariat dan penghayatan dan pengabdian seorang hamba kepada Allah s.w.t.
Begitulah saya tertarik dengan ulasan yang Ustaz Hafizul bawakan mengenai salah satu topik yang dibincangkan dalam ceramah beliau.Marilah kita bersama-sama menyedari hakikat sebenar dalam melafazkan zikir,bukan sekadar meniti di bibir,membazirlah air liur,atau sekadar ngiur di telinga.Insyaallah,amalkan setiap kali selepas solat,ataupun dalam keadaan kelapangan daripada menyanyikan lagu yang tidak bermanfaat,apatah lagi merugikan.
Indahnya Zikir ke atas Mu
Dalam kesesatan,
Hadirnya engkau membawa erti ketenangan,
Dalam kealpaan,
Namamu terungkap menyedarkan jiwa bukan keseorangan,
Dalam keghairahan,
Lafaz kebesaran mengetuk nafsu kehinaan.
Zikrullah penyeri waktu,
Pengubat rindu,
Walaupun diri bernafsu,
Zikrullah mampu menjadi guru,
Mengajar erti mengesakan Yang Satu,
Mengembalikan akal,nafsunya jangan terburu.
Walau lemah dibadai ombak,
Walau sakit yang tidak terkata,
Zikrullah hadir setajam tombak,
Dihunus ke hati penghapus alpa.
0 comments