Hilangnya Kecintaan Kepada Allah, Bersama Hilangnya Sebab

11:10 PTG



   Jika ditanya, siapakah yang membuat langit dan bumi kepada kita, pasti majoriti akan berkata, Allahlah sebagai pencipta yang menjadikan langit dan bumi. Apabila ditanya lagi, apakah kita mencintai-Nya? Pasti kita akan berkata kita sangat menyayanginya. Kalau ditanya lagi, apa kita yakin kepada-Nya? Pasti kita akan berkata dengan yakinnya kita percaya kepada kewujudan-Nya.

   Kerana kita yang semangnya dibesarkan dalam suasa yang mendidik mengenai agama, maka kita sudah mengetahuinya. Dari sekolah rendah, kita diajar mengenai kewujudan Allah. Allah sebagai pencipta kita. Tidak kurang juga ada mereka yang tidak dididik dengan agama dari kecil, pasti isu agama pernah disentuh dalam kehidupannya. Samada secara langsung daripada kenalannya, ataupun secara tidak langsung daripada kehidupan masyarakat sekeliling ataupun dari media sosial.

   Berbalik kepada persoalan sebentar tadi, kebanyakan kita sememangnya mengetahui hal tersebut. Akan tetapi, jalan kebenaran pastinya tidak akan sunyi daripada sebarang cobaan.

   Kita akui perkara tersebut, kerana kita mengetahuinya. Apabila ditanya mengenai keyakinan terhadap kewujudan Allah sebagai pencipta, dan agama Islam sebagai agama yang benar, kita yang pernah mempelajarinya, pasti akan berani mempertahankan, kerana kita ketahui kebenaran agama Islam sebagai agama yang lengkap, dengan keterangan yang jelas daripa Allah kepada Rasulullah, utusan Allah.

   Saya sangat tidak menafikan, indahnya dunia telah banyak mengalih perhatian kita daripada mengingati Allah. Walaupun kita tahu, antara fitrah yang ada pada diri manusia adalah fitrah bertuhan. Ingin saya ingatkan, apabila kita berbicara mengenai Tuhan, tidak bermakna melalui ritual kepercayaan secara lahiriah sahaja, kerana jika dilihat pada erti manfaat yang ada pada kata Tuhan itu sendiri, ianya sangat luas.

   Namun, walaupun punya jiwa ketuhanan, tidak semua berada dalam sebenar-benar kebenaran. Fitrah sekalipun, kadangkala akan pudar jika kita lebihkan pada sesuatu skop yang lain. Kita merasa lapar, kerana itu fitrah kita sebagai manusia apabila perasaan lapar itu hadir. Akan tetapi, jika kita selalu makan tanpa mengikut waktu yang sesuai. Selalu makan selang beberapa minit, maka rasa lapar itu akan hilang.

   Begitu juga keberadaan Allah dalam diri kita. Kebenaran telah jelas pada kita, akan tetapi kita yang sering terleka dengan dunia. Melebihkan dunia, akan menyebabkan kita terleka dengan akhirat. Inilah hakikat. Sedangkan Allah itu tidak pernah menjarak daripada hamba-Nya, akan tetapi, kitalah yang memilih untuk tidak mengendahkan-Nya. Namun, jangan pula kita mengira, bahawa dengan cintanya kita kepada Allah, maka kehidupan dunia kita tidak akan teratur. Kerana hakikat bahawa Islam itu lengkap mengatur kehidupan manusia, dunia dan akhirat.

   Samada kita yang mengerti, makna sebenar usaha, makna sebenar doa, begitu juga tawakal. Perkara ini hanya akan stabil mengimbangi kehidupan kita, apabila kita punya ilmu mengenainya.

   Kerana itu, hilangnya kecintaan kepada Allah, bersama hilangnya sebab. Sebab yang bermusim akan menjadikan keimanan kita seolah-olah bermusim. Boleh jadi hanya ketika peperiksaan, ataupun kerana berlakunya kematian seseorang yang tersayang, atau sebab-sebab yang lain.

   Jadi, bagaimanakah caranya untuk mengekalkan kecintaan kita kepada Allah? Adakah sehingga perlu meninggalkan terus kehidupan dunia? Pekerjaan? Keseronokan? Hiburan?

   Tidak, untuk mentarbiyah diri, kita memerlukan ilmu dan masa. Kadangkala, dengan tersilap langkah, kita akan tersalah memilih jalan. Silap-silap, perubahan yang ingin dilakukan tidak langsung kekal lama, kerana istiqamahnya tiada.

Jadikan Allah sebab kepada kehidupan

   Benar sekali. Apabila kita menjadikan Allah sebagai sebab kehidupan kita, kita akan bijak memilih tindakan. Bahkan jika tersilap sekalipun, kita akan merasa kesal. Perkara ini tidak akan berlaku sekiranya kita tidak merasa hina dihadapan Allah.

   Masalah kebanyakan daripada kita adalah, kita terlalu memandang ringan segala perintah dan larangan Allah. Hasilnya, tinndakan kita dalam kehidupan, mengikut selera kita. Asalkan kita rasa sudah cukup baik, dan tidak terlalu jahat. Sedangkan pada hakikatnya, yang benar itu tetap benar, dan yang salah itu tetap salah. Tidak boleh sewenang-wenangnya kita menetapkan hukum kehidupan mengikut fahaman kita sendiri.

   Saya sangat terkesan dengan bicara sahabat saya ketika saya bertanya, "Kenapa mudah sangat iman kita turun?". Jawabnya sangat ringkas dan padat.

Katanya.

   Tanya balik diri kita, apakah kita benar-benar menjadikan Allah itu tuhan kita. Ilah kita. Kalau betul Allah sebagai ilah kita, iman kita pastinya akan terpelihara. Bahkan jika jatuh sekalipun, kita akan segera bangkit, kerana kita gelisah dengan perasaan rasa bersalah.

   Benar sekali. Kadangkala, kita tidak menjadikan Allah sebagai sebab kehidupan. Jika kita lakukan sekalipun, suatu ketika kita akan kembali lupa. Kerana Allah itu, kita hanya hadirkan ketika solat. Ketika kematian. Ketika perkahwinan. Ketika berkhatan. Makanya, Allah itu akan cepat pudar dalam kehidupan kita.

   Marilah sahabat-sahabat sekalian. Kita kembali menjernihkan mana yang suram. Menyuluh mana yang gelap. Menasihati mana yang lupa. Melengkapi mana yang kurang.

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments