Menginsafi Sebuah Perjalanan Bernama Kehidupan
10:53 PTG
Alhamdulillah, kita akhirnya berada di penghujung tahun. Dengan nikmat untuk hidup di muka bumi ketika ini, syukur kita panjatkan kepada Allah s.w.t. Samada yang kita lalui itu penuh dengan suka dan duka, riang tawa, duka cita, itulah lumrah kehidupan yang pada hakikatnya akan kita lalui dalam sebuah kehidupan.
Jadi, apa kata kita buat rumusan santai sahaja mengenai tahun ini. Sepanjang tahun ini. Dengan apa yang telah kita lalui, terlukis pelbagai potret kehidupan kita.
Ya benar, adalah lebih bagus sekiranya kita sentiasa membuat rumusan ataupun penilaian kehidupan kita pada setiap hari sebelum menjelangnya esok hari. Saya tidak nafikan perkara itu, namun untuk menyentuh secara keseluruhan, kita rumuskan segala pengalaman.
Mari kita tanya diri kita sendiri. Perkara yang utama adalah,
Apa kita benar-benar menghargai setiap detik yang dilalui?
Ya. Inilah perkara yang saya kira sangat penting untuk sama-sama kita bincangkan. Ayuh kita membuat renungan dan penilaian. Apabila kita lihat kalendar tahunan, kita akan perhatikan, nombor-nombor bulan akan terus berubah bukan? Kita tidak mampu untuk menyekat hari, mahupun membuat tarikh mengikut kehendak dan aturan kemahuan kita. Jika mahu sekalipun, kita sebenarnya sedang melakukan perkara sia-sia.
Kenapa begitu?
Kerana pada hakikatnya, masa itu akan terus berlalu. Umur kita sendiri juga akan terus bertambah. Bahkan, kita juga akan terus mengalami perubahan dari segi fizikalnya. Maka sedarilah kita, bahawa segala yang berlaku kepada diri kita, samada dari perjalan sebuah kehidupan, pengalaman yang kita daapat, semua itu tidak akan lari jika dikaitkan dengan masa.
Akan tetapi sahabat yang saya kasihi sekalian, kita harus tanya kembali kepada diri kita. Adakah kita benar-benar menghargai setiap masa yang kita lalui?
Hargai masa? Adakah cukup dengan kita mengatakan kita sudahpun menghargai masa hanya kerana kita banyak berseronok dengan masa tersebut. Melakukan aktiviti yang menyeronokkan. Tanpa dikira, bermanfaat atau merugikan. Melakukan aktiviti yang mengikut kemahuan kita. Tanpa dikira kesan baik atau buruk kepada diri kita.
Tanyalah, tanyalah kepada diri kita sendiri. Cara yang bagaimana yang menunjukkan kita benar-benar menghargai masa yang telah diberikan.
Seronok, kadangkala tidak bermakna bermanfaat. Mengikut segala kemahuan hati, tidak bererti baik untuk kita suatu hari nanti.
Lihatlah dalam diri kita. Apatah lagi sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t. Astagfirullah, bila mengaitkan dengan keimanan, adakah kita benar-benar mengarah dan memanfaatkan masa, untuk mempertingkatkan keimanan kita kepada Allah.
Perkara ini harus kita fikirkan bersama. Ikhlaslah kepada diri kita sendiri. Tanyalah dengan sejujur-jujurnya. Kerana masa itu adalah suatu nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita. Tidaklah menjadi kemahuan dan keinginan terbesar para penghuni neraka di akhirat kelak, melainkan untuk memanfaatkan masa demi meraih keredhaan Allah dengan menjadi orang-orang yang soleh.
Jika kesal yang kita rasa, maka manfaatkan masa yang masih ada. Sama-sama kita beristighfar dan mengharapkan keampunan daripada Allah.
Akan tetapi, andai kata kita merasa selesa, cerminkan kembali dengan kehendak Allah berpaksikan kitab suci Al-quran. Apa kita sememangnya telah berani mengaku gagah untuk mengiktiraf diri telah melakukan segala perintah-Nya, dan juga meninggalkan larangan-Nya? Renungilah sedalam-dalamnya di dalam diri kita. Apa pantas, kita layak mengaku kita sudah menjadi manusia yang sudah sebenar-benar taqwa?
Bertambah matangkah kita?
Apabila ingin berbicara mengenai masa dengan dengan usia, pasti kita tidak akan dapat lari daripada berbicara mengenai kematangan. Kerana apa dikaitkan dengan kematangan?
Kerana majoriti melihat peningkatan usia, seiring berlalunya masa. Apa itu perkara yang dominan berbanding perkara lain? Tidak mengapa, ada juga kebenarannya.
Pada tulisan sebelum ini, saya ada menyentuh soal Umur Iman Kita. Mungkin kepada sahabat yang belum membaca perkongsian itu, boleh merujuknya terlebih dahulu. Saya sangat gembira apabila mendengar perkongsian tersebut daripada sahabat saya. Terasa bagai sesuatu yang baru, walaupun mungkin sebelum ini pernah membacanya. Itulah kita sebagai manusia, kadangkala memerlukan nasihat untuk kembali mengingatkan. Pentingnya sahabat yang baik, dalam terus berkongsi manfaat dalam nasihat yang baik.
Sepanjang tahun ini, kita lihatlah kembali, bagaimana kita menguruskan kehidupan kita. Seperti yang dibincangkan sebentar tadi, mengenai masa salah satu contohnya. Lihatlah pada diri kita selama ini. Bagaimana kita melalui kehidupan bersama orang sekeliling kita. Keluarga kita. Sahabat kita. Mahupun masyarakat di sekeliling kita. Apa hati kita hidup dalam suasana tersebut?
Ataupun hati kita turut mati, ketika suasana tidak menghidupkan keimanan kita kepada Ilahi? Inilah salah satu cabaran kehidupan.
“Janganlah setiap orang daripada kamu menjadi imma’ah yang berkata, aku bersama orang ramai, jika mereka baik, aku akan menjadi baik dan jika mereka jahat, aku menjadi jahat. Akan tetapi pertegaskanlah pendirian kamu, sekiranya manusia baik maka hendaklah kamu membuat baik dan sekiranya mereka berbuat jahat, maka jauhilah kejahatan mereka.”
(Riwayat At-Tirmizi)
Carilah makna kehidupan, darinya hidup penuh dengan tujuan
Saya sangat tidak menafikan kehidupan dunia pada zaman ini. Banyaknya perkara-perkara yang menarik tumpuan kita dalam kehidupan. Keindahan dan keriangan yang dilihat semakin menjalar dalam kehidupan manusia. Akan tetapi, jika dinilai dari manfaat, semua itu hanyalah sementara.
Terjadinya perkara ini, kerana kita pada hakikatnya sedang tertipu dengan kehidupan kita. Sehingga kita lupa untuk memikirkan, apakah disebalik sebuah kehidupan? Jika ada sekalipun, kita sombong untuk mencari kebenaran. Apatah lagi kita yang sudah Islam, sudahkah kita berusaha untuk benar-benar meyakininya?
Perkara ini telah Allah jelaskan di dalam Al-quran, sebagaimana yang telah diragui oleh orang-orang yang terdahulu. Tidakkah kita menghayati di dalam surah An-Naba' dimana Allah menceritakan keraguan manusia yang mempersoalkan hakikat kehidupan?
بِِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Maha Pengasih, Maha Penyayang.
عَمَّ يَتَسَاءَلُونَ
1. Tentang apakah mereka saling bertanya?
عَنِ النَّبَإِ الْعَظِيمِ
2. Tentang berita yang besar.
الَّذِي هُمْ فِيهِ مُخْتَلِفُونَ
3. Yang dalam hal itu mereka berselisih.
كَلَّا سَيَعْلَمُونَ
4. Tidak, mereka akan segera mengetabui.
ثُمَّ كَلَّا سَيَعْلَمُونَ
5. Sekali-kali tidak, mereka akan segera mengetahui!
أَلَمْ نَجْعَلِ الْأَرْضَ مِهَادًا
6. Bukankah Kami jadikan bumi suatu hamparan yang luas.
وَالْجِبَالَ أَوْتَادًا
7. Dan gunung-gunung sebagai pasak?
وَخَلَقْنَاكُمْ أَزْوَاجًا
8. Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasangan.
وَجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًا
9. Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirahat,
وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ لِبَاسًا
10. Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian penutup,
وَجَعَلْنَا النَّهَارَ مَعَاشًا
11. Dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan,
وَبَنَيْنَا فَوْقَكُمْ سَبْعًا شِدَادًا
12. Dan Kami membangun di atas kamu tujuh buah yang kokoh,
وَجَعَلْنَا سِرَاجًا وَهَّاجًا
13. Dan Kami jadikan lampu yang menyala terik,\
وَأَنزَلْنَا مِنَ الْمُعْصِرَاتِ مَاءً ثَجَّاجًا
14. Dan Kami turunkan dari awan air yang melimpah,
لِنُخْرِجَ بِهِ حَبًّا وَنَبَاتًا
15. Supaya Kami tumbuhkan dengan air itu bijian-bijian dan tumbuh-tumbuhan,
وَجَنَّاتٍ أَلْفَافًا
16. Dan kebun-kebun yang lebat.
إِنَّ يَوْمَ الْفَصْلِ كَانَ مِيقَاتًا
17. Sesungguhnya Hari Keputusan adalah suatu waktu yang ditetapkan.
( dan seterusnya sehingga ayat yang ke 40. Bolehlah sekiranya sahabat ingin mengambil masa untuk menerunginya seketika. )
Lihatlah di dalam surah tersebut, Allah mengarah manusia untuk jujur dalam berfikir hakikat sebuah kehidupan. Dijelaskan sebuah hakikat penciptaan, seperti diterangkan daripada yang tiada kepada ada, dari yang satu kepada berpasangan. Untuk apa semua ini dijelaskan?
Agarnya manusia meyakini dan percaya, "17. Sesungguhnya Hari Keputusan adalah suatu waktu yang ditetapkan." Jika adanya kehidupan di dunia, tentu sekali ada kehidupan setelah berakhirnya dunia.
Cukuplah, cukuplah sebuah perjalanan yang pada tahun ini yang mungkin tidak jelas kepada kita. Janganlah kita persiakan peluang yang ada. Kerana segala peringatan itu sudah terbentang luas kepada kita. Bahkan kitalah yang berhak memilih, untuk mengendah atau mengabaikannya.
Jika kita masih dalam proses tarbiyah dan mujahadah, teruskan istiqamah. Jangan mudah berasa selesa, sedangkan Rasulullah yang maksum tidak pernah goyang kaki hanya kerana tahu dirinya terselamat. Kerana baginda mahu menjadi hamba yang benar-benar bersyukur. Terus berusaha untuk dekat dengan yang memberinya segala macam nikmat, apatah lagi kerana Pencipta kita menjadikan pelbagai nikmat di dalam sebuah taat.
Sama-samalah kita berdoa antara kita, agar Allah mengekalkan kita di atas landasan yang benar. Supaya perjalanan kehidupan kita terus berharga dengan jelasnya sebuah tujuan hidup yang sebenar.
Insyaallah. :)
0 comments