365 Butiran Tasbih

11:50 PTG



365 butiran tasbih telah tercantum,
Menghadirkan tali baru,
Untuk diteruskan ikatan berikutnya,
Butirannya penuh warna,
Bersama beribu makna,

Sudahkah diri menginsafi,
Setiap detik dalam butiran yang dilalui,
Pengalaman,
Adakah mematangkan diri,
Iman,
Adakah kerinduan bertambah terhadap Ilahi,

Jika tidak kerana ilmu,
Pastinya hati pahit sepahit hempedu,
Kerana manisnya iman,
Anugerah kepada mereka yang kasihkan tuhan,
Kehidupannya mengharapkan kebahagiaan,
Bukan sekadar diri,
Tetapi kepada mereka yang hadir dalam cerita kehidupan,
Bukan sekadar duniawi,
Tetapi bersama persiapan menghadapi mati,

Bukankah kita diberikan peluang?
Atau sanggup kita salahkan tuhan?
Jangan kira Allah itu tidak adil,
Ataupun hati kita yang selesa, bertambah degil?

Apa kita menyedari hikmah?
Dalam setiap, butiran musibah,
Apa kita mensyukuri hikmah?
Pada setiap, butiran nikmat,

Demi masa,
Manusia benar-benar dalam kerugian,
Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh,
dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran
dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran,

Sudahkah setiap 365 butiran ini,
Menjadi butiran tasbih kepada Ilahi,
Bukti pengabdian diri,
Pada erti syukur dan sabar,
Pada erti ikhlas dan ikhtiar,
Pada erti tarbiyah dan mujahadah.

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments