Satukan Hati Dengan Istiqamah

12:00 PG



   Dalam sebuah hadis Riwayat Muslim, diceritakan bahawa sahabat yang bernama Sufian bin Abdullah al-Thaqafi pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. "Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku suatu ungkapan tentang ajaran Islam yang tidak perlu lagi aku bertanya orang lain melainkan daripadamu?". Baginda menjawab: "Katakanlah, ' Aku beriman sepenuhnya kepada Allah', kemudian hendaklah kamu istiqamah."

   Sekali baca, seolah-olah perkara tersebt terlalu kecil. Tidak pula Rasulullah berpesan panjang lebar dengan soalan yang sebesar itu. Akan tetapi, sebenarnya apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu sudah cukup membawa suatu perkara yang sungguh besar. Hanya mungkin pemahaman kita mengenainya sahaja yang mungkin terlihat kecil.

   Kehadiran Rasulullah s.a.w, bukan dengan kata membawa fahaman dan ajaran yang mengikut pemikirannya membuta tuli. Bukan mengikut kehendak baginda pada apa yang baginda mahukan aturan kehidupan dunia ini berjalan. Bahkan, apa yang dibawakan oleh Rasulullah adalah sebuah kebenaran yang nyata daripada Allah, melalui baginda sebagai pesuruh-Nya.

   Islam yang dibawakan oleh Rasulullah s.a.w. telah banyak mengubah kehidupan manusia. Daripada jijiknya perbuatan manusia menyembah berhala yang langsung tiada membawa manfaat mahupun mudarat, kepada mengagungkan Yang Maha Kuasa Allah s.w.t. Mengubah manusia yang merasakan dengan arak hilanglah segala kekusutan, kepada mengingati Allah untuk memiliki hati yang tenang. Daripada kucar-kacirnya sosial masyarakat kerana perbezaan taraf manusia, kepada berkasih-sayang kerana ajarannya adalah manusia semuanya setaraf sahaja.

   Segala perubahan ini, apakah yang menyebabkan segala perubahan ini?

   Iman, itulah jawapan yang paling tepat. Beriman kepada Allah, bagaikan sebuah cahaya yang hadir kepada diri seseorang. Mendorong manusia untuk menjalani kehidupan mengikut ajaran yang benar daripada pencipta kehidupan, bukannya semberono megikut nafsu yang tak pernah puas dengan keingin dan kemahuan.

   Walaupun Rasulullah hanya menjawab persoalan yang diajukan sahabat tersebut dengan mengaitkan iman pada awalnya, akan tetapi disertakan juga dengan istiqamah kepadanya. Kerana pada iman itulah yang akan membuahkan segala bentuk amalan soleh dalam keperibadian dan tingkah laku, yang pada akhirnya menutup segala kemungkaran dan kerosakan yang ditegah oleh agama itu sendiri.

   Akan tetapi, Baginda juga pernah mengingatkan bahawa iman manusia, ada naik dan turun. Kerana itu, Baginda menyeru kita, untuk sering memperbaharui hati kita dengan keyakinan bahawa kita sebenarnya beriman kepada Allah s.w.t. kemudian berusaha untuk terus kekal bersamanya. Itulah istiqamah.

   Setiap tindakan baik yang dianjurkan oleh agama Islam, kita amalkan dengan sertakan hati dalam tindakan. Ikhlaskan niat demi mencapai keredhaan. Apa yang lebih penting, kita sedar, dengan segala yang kita lakukan sekarang ini, tidak menconteng arang kepada keimanan, dan tidak juga melemahkannya. Bahkan segala tindakan, demi kemanfaatan buat diri dan iman, apatah lagi untuk agama Islam.

   Akan tetapi, bagaimana kita mahu bersama iman ketika melakukan kebaikan, andai yang wajib kita lengah-lengahkan dan sambil lewa menunaikannya.

   Marilah, kita sama-sama berdoa dan berharap, agar Allah kurniakan istiqamah dalam diri kita, agarnya iman kita akan terus terpelihara.

   Allah berfirman :
 "Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, 'Tuhan kami ialah Allah', kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang lurus, maka akan turun malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa dengan memberi ilham, 'janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu bersedih,terimalah berita gembira bahawa kamu akan mendapat syurga yang telah dijanjikan kepada kamu." 
(Fussilat 41 : 30)

Sahabat Mungkin Juga Meminati

0 comments