Tertulis Sakti
11:30 PTG
Kelopak mata itu seakan berat untuk dibuka. Kening cuba membela mata dari peritnya silauan cahaya yang memancar. Argh! Tangan cuba diangkat. Perlaha-lahan. Dengan pergerakan yang menggigil tangan itu cuba menghalang sinaran itu dari menerobos ke anak mata.
Kali ini, digagahkan badan untuk bangkit dari baringan. Sendi-sendi seakan berselirat lama tidak dibetulkan. Tangan kanan menggapai belakang tengkuk. Kepala dipalingkan ke kanan dan kiri. Lalu didongak ke atas. Silauan cahaya yang menembusi daun-daun pokok sedikit menyilaukan mata. Sepertinya matahari benar-benar di atas kepala. Diperhatikan suasana sekeliling.
Dalam benak lelaki itu, masih tertanya-tanya, di manakah dia berada?
Tapi lenguh badan masih menjadi fokus utama berbanding di mana dia berada. Dia cuba bangkit. Kakinya sedikit menggigil. Tangan kirinya yang menjadi tongkat sebelum baringan tersentuh sesuatu.
Buku?
Ditepuk-tepuk buku tersebut sambil bangkit dari baringan. Debu-debu bertempiaran ke udara. Tangannya membelek-belek buku itu, membezakan mana muka depan dan belakang.
Nama: Fahri
Nama itu, bukankah? Fikirannya tiba-tiba tergambar sesuatu. Sebuah memori yang berkucar-kacir. Nama itu? Nama dia. Mindanya cuba meneruskan memori yang tercalar-calar dengan gangguan yang mengganggu.
"Arghhhh!!!!!" Fahri berteriak. Kepalanya sakit. Mindanya tidak dapat pergi jauh dengan memorinya sebelum ini. Matanya dipejamkan sekuat-kuatnya, menahan perit minda yang berpusing-pusing cuba mencari memori kembali.
Lututnya terasa berat, lalu rebah kembali ke atas tanah. Nafas semakin kencang. Jantungnya berdegup laju. Tahan. Dan dihembus kuat.
Fahri membuka buku tersebut secara rawak. Buku kosong? Dibelek lagi dan lagi. Tiada apa-apa yang tertulis. Lalu dibelek dari awal. Muka surat awal itu tertulis sesuatu. Matanya melirik membaca tulisan yang sedikit pudar dek kotoran yang melekat.
"Binalah kehidupanmu yang baru"
Apa maksud semua ini? Kenapa dia keseorangan di tengah hutan ini? Tiada terdengar bunyi makhluk lain selain daun-daun yang bergeser antara satu samalain kerana angin yang mengusik.
"Arghhhhh!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!" Fahri berteriak tanpa tujuan. Kebingungan yang bermain dengan pelbagai persoalan membuatkan dia hilang tujuan.
Dia pantas bangkit dan cuba berlari. Sakit sendi yang sedikit ditahan. Tangannya menggenggam erat buku itu. Berlari dan terus berlari. Tiada arah, tapi sekurangnya dia tahu dia berada di mana sekarang.
Lari dan LARI!!!
"Arghhh..." Fahri berhenti secara mengejut. Kaget melihat tiada lagi tanah di hadapannya. Nasib, dia sempat sedar. Jalan yang dilalui ini jalan mati. Dia berada dipuncak hujung bukit.
Matanya memerhati sejauh mata memandang.
Tempat apakah ini?
Terlihat lautan berwarna merah jambu di dasar, beberapa pulau.... Pulau terapung...Pulau yang terapung di atas laut itu. Air dari pulau itu terjum menjunam ke laut. Air sungai dari pulau-pulau itu seakan bergabung dengan lautan itu dan bertukar warna menjadi merah jambu. Burung-burung riuh berterbangan. Matahari di atas. Apakah di tepinya itu? Bulan? Dekat sekali bulan itu dengan matahari, hanya bersebelahan.
Dunia apakah ini?
Kakinya mengundur perlahan. Langkah demi langkah. Bersama persoalan yang masih berlegar dalam fikiran. Dia tiada pilihan.
"Arghhh!!!" sambil berteriak, dia membuka langkah seribu lagi. Diredah segala semak samun yang ada di hadapan. Nafas kencang itu penuh dengan penat dan lelah. Dia tidak faham, dan yang pasti, dia ingin lari dari semua ini.
"Atau ini cuma mimpi?" Fahri berhenti berlari kerana terfikir andaian itu. Lalu dia melihat sekeliling. Hanya pokok-pokok dan semak yang menjalar di permukaan. Lengang tanpa bunyi haiwan. Mahupun cengkerik.
"Mungkin hanya mimpi." andaian itu terasa paling logik. Melihat cindawan yang aneh dari kebiasaan. Pokok duit-duit yang seperti syiling emas melingkari pokok besar. Bunga yang berkelip-kelip seperti lampu neon. Daun yang baru sahaja gugur menyembah bumi, bertukar menjadi debu dengan sekelip mata.
Apakah semua ini?
Tak! Yang penting dia harus sedar dari mimpi ini. Buku aneh itu masih di tangannya. Dicampakkan ke tepi. Langsung tidak memberi jawapan dengan apa yang berlaku kepadanya sekarang.
Dia berlari kembali. Ingin menuju ke hujung bukit itu tadi.
Ya. Di sini. Dia harus terjun dari sini. Lalu jatuh dan tersedar dari mimpi ini. Matanya dipejam. Dia sudah bersedia.
LOMPAT!!!
Tinggi, memang terlalu tinggi. Daratan di bawah masih jauh. Dia merasa gerun. Dijeritnya sepuas hati dan tenaga yang ada.
Tiba-tiba ada sesuatu yang menyambarnya.
"Urghhh..." sesuatu yang menyambarnya itu terlalu tangkas. Dia terasa loya.
Dan... tak mampu... tak mampu tahan... dia terasa gelap... dan... pengsan...
*Bersambung
1 comments
Sambungannya tiada ya?
BalasPadam