Pernah tak, suatu masa, kita merasakan seakan diri kita tidak layak untuk menyebarkan kebaikan? Mungkin kerana fakor kita lebih mengenali diri kita, ataupun kerana masih banyak kekurangan yang ada pada diri kita? Boleh jadi kerana rasa tidak layak disebabkan kita risau akan orang yang mungkin tidak selesa dengan kebaikan yang kita buat.
Boleh jadi kita ingin memberi nasihat, tetapi rasa berat. Kita ingin menulis status yang baik di laman sosial, tetapi risau memikirkan mereka yang mengenali baik buruk kita. Mungkin kerana sebelum ini kita seorang yang nakal. Seorang yang banyak mulut. Seorang yang bising dalam banyak perkara. Atau sebagainya yang membuatkan diri kita merasa seolah-olah, ini bukan diri kita. Atau juga risau, kalau kebaikan yang ingin dibuat, hanya akan berbau riak?
Untuk berlaku jujur, itulah masalah yang saya alami. Kalau sahabat juga merasakan perkara tersebut, maka kita memang satu kepala kata orang. Mungkin kerana saya yang bukanlah dari kalangan orang yang baik-baik. Atau kerana nakalnya saya suatu ketika.
Tetapi sahabat, mari kita fikirkan bersama. Apakah berdiam diri, menjadi silent reader di media sosial, menjadi si tahu yang bisu, terus menerus dalam kehidupan? Jika kita merasakan itu tidak menggangu urusan kita, maka kita harus merenungi dan memikirkan kembali.
Sahabat. Manusia adalah manusia. Sedangkan Allah s.w.t. adalah pencipta yang mengetahui segala-galanya. Sekalipun kita seorang yang mempunyai sejarah silam yang tidak begitu indah dan terpelihara, hari ini adalah anugerah untuk sentiasa membina kebaikan yang baru dalam kehidupan kita. Bukankah dalam setiap drama dan cerita-cerita yang ada, permulaan adalah pengenalan, pertengahan adalah konflik, penutup adalah kesudahan?
Jadi di sinilah kita. Kita berada di antara permulaan dan penutup cerita kehidupan kita. Kenapa begitu? Kerana yang lalu adalah sebuah permulaan. Dimana selalunya, permulaan adalah untuk menunjukkan watak cerita kehidupan kita. Iaitu diri kita sendiri. Dan penutup, boleh jadi esok, kerana kematian adalah suatu rahsia Allah yang tidak diketahui sesiapapun.
Maka, tidak mustahillah sekiranya kita merasakan pelbagai konflik yang berlaku dengan kehidupan kita sekarang. Kerana kita sedang berada pada peleraian sebuah cerita. Sudah banyak perkara yang berlaku. Dan selepas kita baligh, kita sudah lalui pelbagai peristiwa yang cukup membuat kita mengenali sebuah kehidupan secara beransur-ansur.
Biarlah apa yang berlaku kepada kita. Yang penting, kita sentiasa bersedia untuk mengambil pengajaran dan mematangkan kehidupan dari pelbagai pengalaman.
Sekarang, marilah kita teruskan mencipta kebaikan dalam kehidupan kita. Sekalipun banyak kelemahan dan kekurangan yang masih ada. Allah s.w.t. lebih mengetahui kehendak hati kita.